Friday, December 10, 2010

Sanggul Tinggi - Satu Pilihan

P/S: Entri ini adalah usahasama antara widura.org dengan sudugarpu.net


Ia memang satu pilihan.


Justeru kami merasa terpanggil untuk menyertai perbahasan ini setelah melihat perjalanan isu ini selama beberapa ketika. Ingin ditekankan di sini, apa yang ingin kami perkatakan bukan hanya mengenai isu bersanggul tinggi tetapi isu meletakkan dan menyebarkan hukum sesuka hati.


Juga ditegaskan di sini, ini hanyalah satu pandangan. Dan bukan hukum secara total. Kerana melalui tinjauan kami, individu yang layak tidak pernah melatakkan hukum terhadap isu bersanggul tinggi di internet. Sekiranya ada, hujah dan rujukannya diragui kerana tidak bersandar kepada ayat al-Quran atau penerangan hadis secara terperinci.


Namun melalui pertanyaan verbal, ada ahli agama (akademik) yang pernah menjatuhkannya sebagai haram dengan hujah bahawa hadis tersebut adalah hadis sahih dan bersanggul tinggi itu seumpama tubuh yang memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk badan di mana bentuk badan yang terpamer itu adalah aurat. Maka ianya tidak menepati konsep menutup aurat yang mengikut syariat. Berpakaian sehingga menutup semua punca aurat belum boleh dianggap sebagai menutup aurat. Konsep sebenar menutup aurat yang menepati syariat boleh dihadam di sini.


Ada yang memilih untuk bersanggul tinggi dengan alasan rambut yang di dalam tudung memang perlu disanggul. Kalau tak disanggul nanti serabut. Perlu pula disanggul tinggi kerana kalau disanggul rendah nanti panas. Munasabahkah alasan bersanggul rendah menyebabkan panas? Ramai wanita bukan Islam sendiri seringkali mengajukan pertanyaan adakah bertudung tidak panas dan kita sebagai muslimah Islam dengan bangga mengatakan bahawa bertudung langsung tidak menyebabkan panas. Malahan berapa ramai muslimah Islam yang menyanggul rambut mereka dengan rendah tidak pernah merungut panas.


Apakah rambut yang panjang itu tidak boleh disanggul ke dalam sebagaimana sanggul ibu-ibu zaman dahulu? Apakah perlu sanggul itu dinaikkan tinggi ke atas? Sekiranya muslimah tersebut pandai mengikat sanggul yang tinggi, mustahil tidak pandai mengikat sanggul yang rendah dengan rapi dan kemudian dikemaskan dengan anak tudung. Ianya langsung tidak akan mengganggu bahagian tengkuk sehingga menyebabkan panas.


Dan kalau betul yang disanggul tinggi itu adalah rambut sendiri, bagaimana dengan penggunaan getah berambut yang khusus untuk menebalkan rambut supaya sanggul itu nampak besar dan terletak? Lebih menyedihkan, ada pula anak tudung yang siap berspan untuk menampakkan efek sanggul yang tinggi. Dengan keadaan yang sebegini, layakkah menggunakan alasan bahawa sanggul tinggi itu adalah rambut sendiri?


Ramai juga yang menggunakan alasan bersanggul tinggi bukan atas niat menunjuk. Rasanya bukan asing kita dengar bahawa niat dan matlamat tidak menghalalkan cara. Sebagai contoh, wujud beberapa blogger di internet yang memberi tips bermekap dan kemudian mengeluarkan kenyataan berbunyi: bermekap/berhias untuk suami. Betul, niat itu murni. Tapi pelaksanaannya bagaimana? Kalau hanya bermekap dan berhias untuk tatapan suami, itu tersangatlah dianjurkan agama. Tetapi apabila gambar mata, hidung, mulut, pipi, dahi, dagu yang penuh berhias itu di uplod ke blog dan facebook umpamanya, adakah pelaksanaan seperti itu dianjurkan agama? Mungkin niat mereka untuk berkongsi tips berhias untuk suami itu bersama para isteri yang lain. Tapi bukankah gambar-gambar tadi turut menjadi tontonan jutaan lelaki yang sahih bukan muhrim?


Maka di mana konsep berhias hanya untuk suami itu?


Islam bukan tidak menggalakkan umatnya untuk berhias dan bercantik. Malah itulah yang sangat dianjurkan. Islam sangat menyukai kecantikan. Tetapi kecantikan yang dianjurkan itu cenderung kepada kesederhanaan. Dan bagaimanakah konsep kesederhanaan itu? Ini adalah isu yang jarang diperdebatkan berbanding isu tudung, sanggul, mekap, wangian dan legging.


Bersederhanakah kita sekiranya perlu bermekap sehingga sukar dibersihkan? Susah untuk mempercayai bahwa masih ramai muslimah yang jahil tentang status wudhuk yang tidak sah sekiranya air tidak melepasi kulit. Wudhuk yang sah juga tidak akan berhasil dengan kesan solekan yang masih cantik terlukis seperti eyeliner dan maskara yang kini terdapat dalam bentuk kalis air. Berapa ramai muslimah yang berasa leceh untuk bersolat di luar kerana merasa leceh untuk mencuci mekap dan menanggalkan lilitan tudung apatah lagi kalau bersanggul tinggi pula.


Kalaulah kita benar-benar mencari keserasian antara berhias tanpa mengetepikan syariat, kita akan mendapati bahawa konsep kesederhanaan yang telah lama dianjurkan Islam itu sangat menepati keperluan seorang muslimah.


Kami tahu sebab kami turut tersepit dalam kondisi yang sama. Rugi rasanya membersihkan solekan untuk berwudhuk.


Jika banyak di internet sebaran tentang sanggul tinggi itu membuatkan muslimah sekalian gundah gelana, meradang tanpa sebab atau apa sahaja perasaan kalian, sila jangan menyumpah seranah. Ini adalah satu informasi yang baik. Peringatan datang kerana Allah masih sayangkan kita. Soal suka atau tidak, demi kebenaran, kita perlu bangun mencari seorang yang berilmu bagi mendapatkan keterangan lanjut.


Selain merujuk dengan maklumat dari internet dan buku, sangat perlu untuk kita berusaha mencari Ustaz/Ustazah untuk mendapatkan jawapan atas segala persoalan selain dari mengkaji sendiri dengan didorong oleh perasaan ingin mendapatkan sesuatu yang akan memihak pada kehendak sendiri.


Allah SWT mengajar kita supaya beradab dalam menimba ilmu iaitu kita tidak boleh memandai-mandai menafsirkan sesuatu perkara yang kita tidak tahu. Oleh itu, Allah SWT menyarankan kita supaya bertanya kepada pakar-pakar ilmu jika kita tidak faham atau tidak tahu tentang sesuatu perkara seperti firmanNya yang bermaksud;


“…maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui” (Al-Anbiya’: 7)


Dari ayat ini dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa, jika kita tidak faham sesuatu permasalahan semasa membaca buku, carian di internet membuatkan keliru atau ingin kepastian lanjut, maka ketika itu, seharusnya kita bertanya kepada orang yang tahu iaitu pakar-pakar dalam bidang yang dibaca ataupun orang yang tahu permasalahan tersebut.


Sedarkah kita berapa banyak perkara agama yang tidak boleh disandarkan kepada lojik akal semata-mata disebabkan terbatasnya akal manusia untuk berfikir. Adakah kita akan berpuas hati jika hujah itu datang dari seorang yang juga pernah menghalalkan pelacuran? Cukup berpuas hatikah jika hujahnya juga pernah mengharamkan hukum hudhud yakni hukum Al Quran? Cukup puaskah jika hujahnya pula datang dari seorang penyanyi/pelakon? Atau dari seorang duta ‘slim body & kecantikan’? Mungkin juga dari seorang pembela wanita memakai selendang jambul terkeluar? Berpuas hatikah kamu?


Ini mungkin lebih bersifat peribadi tetapi kami lebih mengiktiraf kata-kata yang terbit dari lidah dan pena seorang ahli akademik. Dan tentunya bukan seorang ahli akademik bertaraf selebriti. Maksudnya bukan seorang ahli akademik yang part timenya sebagai politician, artis, penyanyi, komposer, pelakon atau apa sahaja yang berkepentingan luar dari asas akademik itu sendiri. Lebih tepat lagi, ahli akademik yang bersih.


Kerana seorang ahli akademik yang bersih akan mengeluarkan fakta atau pendapat yang tidak memihak kepada apa-apa kepentingan lain selain dari ilmu itu sendiri. Sebagai contoh, ahli akademik atau ulama yang juga merupakan ahli sesebuah parti politik akan pasti mengeluarkan hujah yang memihak kepada ideologi yang dibawa oleh parti yang dinaungi mereka. Begitu juga dengan selebriti.


Kami sedar yang kami bukan orang yang layak untuk bercakap pasal hal-hal membabitkan agama. Kerana itu dari awal telah kami tegaskan entri ini lebih bersifat pendapat. Namun kami tetap sempat bertanya secara verbal dengan ahli akademik dalam bidang agama yang berkaitan.


Oleh itu, secara peribadinya kami melihat hujah yang mengatakan sanggul tinggi itu ‘tidak haram’ adalah agak lemah dibandingkan dengan hadis-hadis yang telah dinyatakan oleh ustaz zaharudin tadi. Hujah yang digunakan lebih kepada lojik akal dan tidak disandarkan dengan penerangan daripada ayat Al-Quran dan hadis. Sedangkan lojik akal bila bertembung dengan nas, maka nas perlu diutamakan.


Entri ini tidak berniat untuk menjatuhkan sesiapa apatah lagi didorong oleh perasaan cemburu atas kejayaan orang lain. Entri ini berkaitan untuk menyedarkan diri sendiri dan kawan-kawan yang lain bahawa jangan sewenang-wenangnya meletakkan hukum tanpa benar-benar mendapatkan jawapan.


Jangan mengeluarkan keterangan yang kita sendiri belum jelas kesahihannya. Dan jangan mudah untuk terus meletakkan hukum. Halal atau haram bukan tugas kita. Itu adalah satu hal yang hanya boleh dijatuhkan oleh mereka yang ahli sahaja.


Untuk menyelidik, kita perlu tahu adakah hadis itu sahih atau tidak? Dari siapa perawinya? Apakah penafsiran hadis boleh diberikan hanya pada zahir kejadian masa kini?


Kita harus sentiasa sedar bahawa penyebaran berkenaan hukum menyebabkan kita menggalas satu tanggungjawab yang besar terhadap setiap individu yang membaca dan menjadi pengikut terhadap apa yang kita sebarkan. Sekiranya sebaran itu tepat, maka beruntunglah kita. Sekiranya tidak?


Walau berapa banyak pun perbahasan tentang isu ini, ia berbalik kepada tuan punya diri. Bersanggul tinggi atau tidak, itu satu pilihan. Tetapi menyebarkan dakyah dan pendapat yang konyol demi memihak kepada kehendak diri itu salah.


Bukankah kita semua tahu amaran Allah bahawa apabila yang bodoh mula berlagak pandai mengenai hukum maka kiamat akan tiba?


Rasulullah SAW pernah ditanya: “Bilakah akan berlaku qiamat?” Lalu Nabi s.a.w bersabda: “Apabila amanah dipersiakan, maka tunggulah qiamat”. Dan ditanya lagi: ”Bagaimana dipersiakan amanah?” Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Apabila diserahkan urusan pentadbiran kepada orang yang bukan ahlinya (tidak beriman dan tidak mahir), maka tunggulah qiamat (kehancuran)”.


Secara peribadi, kami melihat kebanyakan muslimah bersungguh benar menegakkan perihal sanggul tinggi itu, walhal adakah kita cuba menitik beratkan pakaian yang disarung ke tubuh kita ini menepati syariat atau tidak?


Entri ini tidak berniat sebagai satu pertikaman lidah atau yang seumpamanya. Sekali lagi, ini hanya satu pandangan yang dirasakan sesuai untuk dikongsi. Janganlah selepas ini kita pula bermusuh lantas membiarkan para syaitan melompat keriangan tatkala ada yang bermasam muka dengan isu yang masih tidak berkesudahan ini.


Hukum itu jelas!


Al Quran itu tidak pernah berubah walaupun zaman berubah.


Syaitan juga tidak akan berputus asa walaupun berjuta tahun makhluk durjana itu menggoda kerna janjinya akan merosakkan ummat hingga kiamat tiba untuk menjadi teman mereka di neraka.


Mari muhasabah bersama, jika masih ragu-ragu, apakata kita pegang beberapa ayat supaya kita dijauhkan dari sifat leka dan alpa..ayuh!


ADAKAH KITA FAHAM BAHAWA AURAT ITU ADALAH MENYEMBUNYIKAN SEGALA YANG ADA?


ADAKAH HANYA KERANA KITA INGIN DILIHAT TRENDY, CANTIK DAN BERGAYA MAKA HUKUM ALLAH ITU DIPERLEKEHKAN?


TAHUKAH KITA BAHAWA SYAITAN SENTIASA BERBISIK MENYATAKAN YANG HARAM ITU HALAL DENGAN BERMACAM CARA?


TAHUKAH KITA BAHAWA RASULLAH MENANGIS DI HARI AKHIRAT KERANA UMMATNYA RAMAI KE NERAKA?


TAHUKAH KITA UMMAT ITU KEBANYAKKANNYA WANITA?


ADAKAH KITA TIDAK TAKUT AKAN SEMUA ITU ATAU PALING TIDAK, TIDAKKAH KITA SEDIH MELIHAT RASULULLAH YANG KITA SAYANGI ITU AKAN MENANGIS KERANA UMATNYA MENGKHIANATINYA APA YANG DIAJARNYA?


Wallahua’alam.


saye: cikgu aku cakap tepuk dada tanya iman, bukan tanya selera



6 comments:

  1. aku sgt setuju babe...aku suke bersederhana tapi at the same time...takde la nampak selekeh sgt kan...hubby mmg tak bg aku berpesen begitu...kalo panas...potong je rambut tu...mcm aku buat..senang..hhee..

    ReplyDelete
  2. kan? laki aku da lama suh potong rambut cuma aku je yang rasa tak anggun sebab kalu aku potong rambut nanti rambut aku jadi macam rambut albert einstein... wakaka

    ReplyDelete
  3. Congrats. Satu penghuraian yg baik.

    ReplyDelete
  4. thx... moga bermanfaat kepada ramai

    ReplyDelete
  5. pergh..huraian yang bagus lagi pedas. Boleh dikatakan dapat dirasai ramuannyer....xpe alberenstein pun ok gak...abg tetap syg kat syg..wakah3..teruskan hujah2 bernas ini...

    ReplyDelete