Thursday, February 26, 2009

Ayat-ayat Novel Versi Filem


Sekiranya korang seorang pembaca tegar, maka korang akan bersetuju dengan pendapat aku. Bahawasanya, adaptasi ayat-ayat novel ke filem adalah merupakan pemusnah jurus bayangan.

*ambek napas*

Aku baru je abes baca twilight bila dengan tergedik2nya menonton movienya secara bernafsu. Aku maklum terlebih dulu bahawa aku akan kecewa. Bahawa imaginasi aku akan musnah. Bahawa kerakusan aku terhadap new moon akan pudar. Tapi apakan daya, lakaran stephanie meyer terhadap susuk edward cullen terlalu mempesona. Maka aku pun membesarkan 2 biji mata, menonton sambil membaca subtitle english yang begitu durjana terjemahannya. Tuhan, rupanya aku 2 kali kecewa. Lebih kecewa berbanding selepas menonton versi filem ayat-ayat cinta.

*mengalirkan air mata*

Kerosakan kisah novel di dalam filem adalah satu pengkhianatan. Setidak-tidaknya kepada jalan cerita itu sendiri. Aku benci adaptasi novel ke filem. Betol2 benci ni. Benci benci!


Tuesday, February 10, 2009

PGL - Cinta Laksamana dan Puteri Yang Tidak Dirasakan

Andai tidak kerana produksinya yang bukan calang-calang, juga kerana pelakonnya bertaraf jaguhan, rasanya tidak sanggup melaburkan ringgit bagi kerusi paling murah untuk menonton dari sudut yang paling menyeksakan. Kelekaan dan sikap bertangguh memang mendatangkan akibat. Namun mujur, pementasan PGL dengan kemunculan Tiara yang terakhir ini sekurang-kurangkan dapat juga disaksikan.


Permulaan yang mantap meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap perjalanan pementasan ini. Keseluruhan separuh masa pertama dipenuhi dengan latar Majapahit yang pekat dengan suasana dan muzik Jawa. Agak bosan juga rasanya setiap kali berlangsungnya adegan cinta antara Puteri dan Laksamana. Entah kenapa, mungkin tiada keserasian antara keduanya. Tiada emosi yang sampai. Malahan saya berkali meminta diri supaya bersabar kerana percaya, apabila pementasan melangkah ke separuh masa kedua, latar cerita yang berpindah ke Melaka akan menjadi lebih baik. Mujurlah pegunaan magis dan ilusi yang diselitkan berjaya menyelamatkan pementasan ini daripada terus meredupkan hati saya yang telah berkobar lama dari saat membeli tiket. Dan yang paling mengesankan adalah lakonan dan nyanyian Bayan oleh Ida Mariana. Oh, two thumbs up!


Tidak seperti Teater Muzikal P. Ramlee, PGL sama sekali tidak banyak menggunakan prop. Prop pelbagai guna rekaan Raja Malik sememangnya praktikal kerana sentiasa berubah-ubah antara stupa, keraton dan gunung tetapi apabila berulang kali digunakan, menimbulkan perasaan bosan sehingga saya merasa muak dan berdoa semoga prop itu dibawa masuk dan tidak akan digunakan lagi.


Saya berharap akan jatuh cinta pada Hang Tuah. Namun, kemunculannya yang tidak gah ditambah kekangan yang saya hadapi di tempat duduk menyukarkan saya menyeluruhi raut tampan sang laksamana. Mujur, cinta saya pada Hang Tuah terbit melalui nyanyian mantapnya. Superb! Suara Stephen Rahman-Hughes mengatasi lakonannya yang jangan tidak itu. Mungkin ciri kemelayuan tidak ada pada Stephen dan sejujurnya cinta saya tidak lebih hanya pada rautnya yang tajam memikat. Hehehe!

Pujian harus diberikan pada AC Mizal dan Adlin Aman Ramli kerana tanpa keduanya, PGL seakan tidak bernyawa. AC Mizal sememangnya lebih menyerlah di pentas teater. Watak gila-gila dan riangnya hilang ditelan bengis Gusti Adipati Handaya Ningrat. Adlin pula berjaya menyuntik mood berbeza melalui watak Sultan Mahmud Melaka berbanding yang dilakukannya di dalam filem.


Selebihnya, saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak mampu menyelami cinta agung sebenar di dalam teater muzikal PGL ini. Menonton dari sudut tepi dan paling atas sekaligus mengecilkan ruang pandangan di beberapa sudut terutamanya bahagian paling hadapan pentas dan paling belakang pentas menyebabkan saya terpaksa menjenguk-jenguk dan ketinggalan dalam banyak adegan kerana tidak nampak atau tidak jelas. Saya kira, upper circle di IB adalah satu kerugian paling besar bagi penonton dan pembuat teater kerana sungguh, tidak akan ada pementasan atau persembahan berkualiti yang akan sampai ke atas sana. Saya memang patut kesal berkali-kali kerana masih gagal menghayati teater sepenuhnya kerana tidak dapat melihat wajah dan ekspresi pelakon sendiri apatah lagi mahu merasai emosi mereka. Pengajaran berulang kali, sila beli tiket untuk Grand Circle 2 supaya boleh berada selaras dengan pentas sekaligus menonton pementasan dengan lebih fokus dan beremosi.

Secara peribadi, saya lebih berpuas hati dengan pementasan Teater Muzikal P. Ramlee yang lalu. Tetapi untuk menyalahkan PGL sepenuhnya adalah tidak adil kerana sebagai penonton tiket paling murah, rasanya saya tidak layak mengkritik.