Saturday, April 12, 2008

Detektif Indigo Kembali

Saya membeli novel ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Setiap tahun saya akan cuba untuk tidak terlepas acara ini. Malah kehadiran saya ke PWTC kali ini dengan tujuan yang lebih jelas. Bukan sekadar berlegar di situ sepanjang hari sebaliknya fokus untuk mendapatkan novel Faisal Tehrani (FT). Maka sebaik sahaja mendapatkan novel tersebut, saya terus pulang. Saya juga berkesempatan berjumpa dengan FT. Saya tahu dia tidak cam saya lagi. Semasa menandatangani novel yang saya beli, FT bertanyakan nama. Dan saya tidak terkejut yang dia masih ingat nama saya walaupun tidak ingat rupa saya (katanya saya sangat ‘lain’ kini). Memang ramai orang mudah meningati nama saya yang unik ini (thanks kepada mak dan ayah) berbanding rupa saya yang biasa-biasa. Hehe.


Detektif Indigo Kembali merupakan novel ketiga dalam siri Detektif Indigo. Oh saya mencampakkan novel ini entah di mana-mana selama beberapa hari sebelum mula mengunyah isinya. Kerana mahu benar-benar meladeni isi novel ‘word by word’, saya kini lebih suka bersabar dalam pembacaan. Oleh kesibukan dan kemalasan, saya memilih untuk membaca sekurang-kurangnya satu bab sebelum masuk tidur atau ketika menjamu lunch setiap hari. Satu sikap pemalas yang tidak boleh dimaafkan. Oh!

Saya sememangnya rindukan sebuah siri novel khas remaja yang boleh dibaca oleh segenap lapisan umur dan setanding siri Harry Potter. Dan ia mestilah karya asal yang ditulis dalam Bahasa Malaysia. Novel ini pastinya sangat hebat sehingga boleh membuat saya terbayang-bayang akan setiap wataknya di realiti dan kemudian timbul pula keinginan untuk menyambung ceritanya dalam versi saya sendiri. Itulah apa yang selalu saya lakukan selepas membaca novel atau menonton sesebuah filem yang hebat atau menyeronokkan di peringkat penilaian saya.

Di antara siri Detektif Indigo, novel ketiga ini lebih ‘mengghairahkan’. Perkataan ghairah saya gunakan bagi sebarang tulisan yang mampu membuat saya menjadi rakus untuk menghabiskan isinya secepat mungkin. Satu kelemahan saya, sentiasa sabar dan tekun di awal dan pertengahan cerita, namun rakus di penghujung. Saya sering tidak meladeni novel dengan baik di penghujung.

Saya kira dalam Detektif Indigo Kembali, FT mengalami masalah yang hampir serupa dengan masalah saya di atas. Sabar dan tekun di awal dan pertengahan, namun rakus di penghujung. Kekemasan dan keindahan plot di awal dan pertengahan telah dimusnahkan pada bahagian penamat. Seolah-olah kalau sedang berlumba lari, ia bermula dengan baik, tidak terlalu laju atau perlahan, tetapi begitu pantas ke penamat dan selepas itu tersembam.

Saya turut mendapati FT mempunyai watak favouritenya sendiri. Saya kira Chen Chung dan Mihrimah Maryam kerap muncul dalam banyak plot ceritanya. Mungkinkah kerana mereka mempunyai kuasa telepati dua hala, maka perwatakan mereka lebih senang diketengahkan memandangkan suara hati mereka boleh didengar? Saya kepingin mendampingi watak Rabiah Zaitun dengan lebih lanjut. Bagaimana isi hati wanitanya, kecekapannya juga tahap indigonya. Begitu juga dengan Isamu Nakamura dan Ruzbihan.

Watak-watak baru yang dibawa FT dalam siri kali ini tidak kurang menarik. Saya jadi sungguh-sungguh rakus untuk mendampingi watak Hasan dan Husin yang awalnya kelihatan misteri. Sayang sekali misteri itu tidak terus menambah misterinya lebih-lebih lagi novel ini menampakkan kemunculan sambungannya kelak. Apakah watak kembar misteri ini akan dikembangkan pada siri akan datang ataupun dimatikan begitu sahaja? Saya percaya FT tidak akan begitu mudah membuang watak yang cukup menarik ini.

Namun siri Detektif Indigo bagi saya tetap satu kebanggaan. Dalam pada penulis Bahasa Malaysia cuba melahirkan banyak novel remaja dan kanak-kanak, sekali lagi, garapan FT akan mengungguli dari segi kualiti. Iya, kualiti sesuatu karya tidak akan menjadi faktor besar untuk menarik ramai pembaca. Namun harus diakui, karya FT yang selalu ambitious sebiginilah yang menempatkan FT sebagai penulis prolifik muda yang tersohor meski hanya di kalangan pengikut sastera dan penulisan Bahasa Malaysia.

Saya mahu sekali mengelaskan siri Detektif Indigo sebagai Harry Potter Malaysia. Sayang, ia belum mencapai tahap itu. Saya perlu terus menunggu.