Sunday, September 25, 2016

Rudy Habibie: Mata Air Yang Lebih Besar Dari Sebuah Negara

Kalau Tuhan lebih besar dari agama, apa mungkin manusia lebih besar dari negara?

Saya berhasil menonton Rudy Habibie ketika akses kepada internet tidak berfungsi pada satu hari. Perancangan asal adalah menonton filem ini di pawagam, namun faktor masa dan tempat yang tidak praktikal mendorong kepada pelan B, iaitu menunggu tayangan di Astro First. Jujur, saya cenderung untuk menikmati sesebuah karya secara legal. Ia bukan hanya satu penghormatan, tetapi kewajiban. Namun apabila dikongsikan link kepada salinan filem ini, saya tidak menolak dan pantas memuat turun. Tidak cukup 2 jam 17 minit meladeni karya ini melalui desktop, saya melabur RM15.90 di Astro First bagi mengulang tonton di skrin televisyen dengan tambahan sari kata Bahasa Malaysia.




RUDY HABIBIE
Diinspirasikan dari kisah sebenar Bacharuddin Jusuf Habibie, presiden Republik Indonesia ketiga (1998-1999), filem ini dimulai dengan adegan jatuhan bom oleh pesawat tempur tentera Jepun di Parepare, Sulawesi Selatan. Rudy, seorang genius yang meminati bidang aeronautik, berkejar pulang ke rumah saat orang kampung berpusu melarikan diri ke tempat selamat, hanya untuk mengambil buku dan replika pesawatnya. Kecintaan Rudy terhadap ilmu sejak usia kecil dipaparkan seawal cerita sebelum plot dimajukan ke Aachen Jerman, lokasi yang menjadi 90% latar tempat filem ini.

Secara asasnya, Rudy Habibie memfokus kepada kisah BJ Habibie ketika beliau berstatus mahasiswa di RWTH Aachen University. Beberapa adegan imbas kembali diselit sepanjang filem, bagi membawa penonton ke masa kanak-kanak Rudy, mengenali bapanya Alwi, seorang ahli pertanian berbangsa Bugis Gorontalo dan ibunya Tuti, surirumah berbangsa Jawa. Rudy dibesarkan oleh kedua orang tuanya yang berpelajaran dan taat kepada agama Islam. Kehidupannya dipaparkan sederhana moden dengan beberapa dialog dalam Bahasa Inggeris oleh ibu bapa Rudy yang dipanggilnya papi dan mami.



Kematian dramatik bapa Rudy saat sujud solat Isyak, memperlihatkan ketokohan Rudy yang menginjak ke posisi imam menggantikan almarhum bapanya bagi menyelesaikan rukun yang berbaki (saat ini jenazah masih di sejadah). Adegan ini menjelaskan bahawa Rudy bukan hanya genius sebagai jurutera, malah berbakat menjadi pemimpin. Seorang genius seperti Rudy juga lazim bersifat yakin diri namun kadang kala sedikit ego memegang prinsip dan obses mengejar matlamat.

Rudy diangkat menjadi ketua PPI (Perhimpunan Pelajar Indonesia) Aachen, satu posisi yang digunakan beliau untuk melebarkan cita-citanya untuk membina industri pesawat di Indonesia. Rancangannya menerima tentangan oleh anggota PPI Achen yang rata-ratanya mahukan PPI berfungsi sebagai medan riadah berbanding diskusi serius. Tidak mahu berputus asa, Rudy tetap mengusahakan Seminar Pembangunan sebagai satu langkah menyusun masa depan Indonesia. Usaha keras Rudy diuji berkali-kali termasuk ketiadaan dana, ugutan pembatalan biasiswa sahabatnya dan kemuncaknya Rudy terlantar menderita tibi tulang sehingga menyebabkan Seminar Pembangunan Tahap 1 tersebut terpaksa berkompromi dan diselenggara oleh PPI Hamburg, sebuah hakikat perit untuk diterima oleh Rudy.

Pertemuan Rudy dengan Ilona dalam filem ini memainkan peranan yang signifikan. Adegan romantis mereka berjaya mengimbangi karakter Rudy sebagai manusia biasa. Beberapa keputusan penting yang diambil oleh Rudy dalam menentu perjalanan kareer dan cintanya adalah bukti kekuatan jiwa dan semangat nasionalismenya yang mengatasi semua tawaran berhujankan emas di rantauan. Ternyata, kepintaran dan bakat kepimpinan sahaja tidak mencukupi untuk menjadi negarawan ulung seperti B J Habibie.

Sesuatu yang menarik dalam filem ini apabila Rudy yang memulakan petisyen untuk memohon musholla bagi pelajar Muslim bersolat, terpaksa 'meminjam' masuk ke dalam gereja untuk menenangkan diri dan berdoa (kerana ketiadaan masjid). Sebelum melangkah masuk ke gereja, Rudy bermonolog sambil memohon keampunan Tuhan, "Ya Allah, saya yakin bangunan ini dibuat oleh orang-orang yang menyakiniMu. Tapi saya yakin orang itu menyedari bahawa hanya ada satu Tuhan. Ampuni saya. Saya hanya ingin memanjatkan doa untuk orang tua saya di sini, kerana tidak ada tempat lain. Saya tidak ingin mengganggu orang lain. Ampuni saya, ampuni saya ya Allah."

Ketika Rudy memohon maaf kerana 'meminjam' tempat untuk menenangkan diri, pastor gereja tersebut berkata,

"Kalau semua umat beragama seperti kamu, tak perlu lagi tempat ibadat. Tuhan itu lebih besar dari tempat ibadat. Malah lebih besar dari agama."

Rudy malahan menyoal,

"Kalau Tuhan lebih besar dari agama, apa mungkin manusia lebih besar dari negara?"



Terbitnya karya Hanung Bramantyo ini umpama mengangkat BJ Habibie sebagai tokoh yang lebih besar dari negaranya. Pengukuhan perjuangan seluruh hidupnya adalah berlandaskan mantra yang ditanamkan sang ayah sejak kecil,

Kamu harus menjadi seperti mata air.
Kalau kamu baik, pasti juga di sekitarnya akan baik.
Kalau kamu kotor, pasti juga di sekelilingmu akan mati.

Kemahuan untuk menjadi seperti mata air berfungsi sebagai pedoman dalam hidup Rudy, lakonan cemerlang Reza Rahadian. Kerana fitrah manusia adalah untuk saling membawa manfaat, membawa cinta.

"Kalau fitrah manusia adalah untuk memberi manfaat kepada manusia yang lain, dari mana harus saya mulai? Saya hanya mahu menjadi mata air."



Rudy Habibie adalah adaptasi satu bahagian kecil garisan hidup sang visioner BJ Habibie melalui sinematografi yang cantik dan lakonan yang mantap. Plot filem ini kemas dan padu justeru menjadikan dua jam lebih waktu tontonan dikuasai tarikan namun tidak melewah.

Kecemerlangan karya ini membuatkan saya secara peribadi memaafkan pengkhianatan Hanung terhadap Ayat-ayat Cinta, lapan tahun lalu.



Jika negarawan seperti BJ Habibie mahu menjadi mata air, apakah nilai yang kita pegang dan perjuangkan dalam hidup ini? Pernahkah kita bertanya kepada diri, bagaimana untuk menjadi manusia yang sentiasa memberi manfaat kepada manusia yang lain? Bagaimana untuk menjadi mata air yang kekal jernih, agar hidupan di sekeliling kita tidak mati?

Sedangkan Nabi SAW pernah bersabda,

"Khairunnas anfa'uhum linnas. Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat buat orang lain."

Lalu pastor Mangunwijaya pula mengingatkan, "mata air itu selalu muncul di tanah yang bergoyang (retak)."  

Mampukah kita menjadi seperti mata air? Itu bukan soalannya. Kerana dengan segala usaha, sudah tentu kita mampu.

Justeru soalan yang lebih tepat, adakah kita MAHU menjadi seperti mata air?




No comments:

Post a Comment