Thursday, July 14, 2016

Sultan

Jika dibandingkan dengan populariti Shah Rukh Khan (SRK), jenama Salman Khan (SK) kurang mendapat tempat di Malaysia. Terima kasih kepada gabungan SRK-Kajol melalui Dilwale yang kemudian telah mencetus fenomena Bhajrangi Bhaijaan (BB). Sekurang-kurangnya respon pelik yang saya terima sepanjang mengaku sebagai peminat SK sedikit berkurang.

*nota: BB viral di Malaysia selepas kegilaan Dilwale meskipun Dilwale ditayangkan lewat 6 bulan selepas BB

Saya tidak menonton filem Bollywood sekadar mengikut trend semasa. Saya sememangnya pengikut tegar industri Bollywood sejak hujung 90-an. Majoriti penonton filem Bollywood di Malaysia mungkin menggilai SRK atas pelbagai alasan - kualiti lakonan, romantis, kacak? Saya pula melawan arus, meminati SK tanpa sebab yang jelas. Mungkin itu yang dinamakan cinta. Haha.

Lebih dikenali dengan gelaran 'Bhai' atau 'Bhaijaan' di India, SK merupakan pelakon yang menerima bayaran tertinggi dalam industri Bollywood pada ketika ini (dianggarkan sekitar RM35 juta bagi satu filem selain menerima percentage keuntungan filem). 10 daripada filemnya melepasi kutipan 1 bilion rupee berbanding 6 filem SRK. Filem-filem SK sangat sinonim dengan tayangan pada musim perayaan terutama Aidilfitri. Tayangan pada hari perayaan melibatkan kos tempahan yang tinggi menyebabkan penerbit hanya berani mempertaruh filem-filem pelakon bertaraf bintang. Malah filem Raees lakonan SRK yang asalnya mempunyai tarikh tayangan yang sama dengan filem Sultan (6 Julai 2016), terpaksa menangguh tarikh tersebut bagi mengelak risiko kerugian sekiranya bertembung dengan filem lakonan SK.

Semenjak 2012, keluarga saya telah terbiasa dengan perancangan saya untuk ke panggung dari minggu awal Hari Raya. Orang lain sibuk berziarah raya, saya kemaruk nak tengok hindustan. Orang lain bajet untuk duit raya, saya pula terpaksa menambah bajet bagi menonton di panggung. Kerana selalunya pada musim perayaan, saya tidak boleh ke panggung sendiri, atau hanya bersama suami dan anak-anak. Pakej Hari Raya wajib ada emak, adik-beradik, makcik-makcik, dan anak-anak buah sekaligus. Satu tiket sahaja berharga RM15 tidak termasuk popcorn.

Di Malaysia, panggung yang menayangkan filem lakonan SK biasanya terhad. Sungguh selama ini saya terpaksa menempuh susah payah ke tengah KL kerana hanya panggung yang terletak di lokasi padat sahaja yang menayangkan filem Bollywood terutama filem bukan lakonan SRK. Yang bagusnya, filem-filem sebegini tidak mempunyai ramai penonton. Maka pembelian tiket dan pemilihan tempat duduk juga bukan masalah. Hanya selepas fenomena BB pada 2015 menyebabkan saya terpaksa merancang pembelian tiket dengan lebih teliti kerana secara tidak langsung penonton Malaysia mula tertarik untuk menonton filem lakonan SK. Pasca-BB membolehkan filem terbaru beliau - Sultan, ditayang di lebih banyak lokasi. Ternyata pemilik panggung wayang di Malaysia telah merasa yakin akan kemampuan filem SK memandangkan tayangan tengah malam yang saya hadiri (11.40pm) turut memuatkan hampir setengah panggung.



Sultan adalah sebuah filem klise yang diadun dengan cemerlang. Filem ini memfokus kepada watak Sultan Ali Khan, juara sukan gusti dari Haryana yang mana kejayaan dalam kerjayanya telah mencetus konflik dalam hidupnya. Plot filem berkisar cinta pandang pertama, bangkitnya seorang lelaki yang tidak berwawasan setelah dihina orang yang dicintai, masalah tingkah laku setelah menempa kejayaan, pengorbanan kareer demi keluarga, kepentingan mendahulukan keluarga berbanding yang lain, konflik diri, kisah si gagal (loser) yang bangkit bekerja keras, malah topik feminisme turut diketengahkan.

Saya tidak berminat untuk menulis sinopsis filem ini secara khusus. Sultan adalah sebuah filem yang berbaloi untuk ditonton selama hampir tiga jam. Di sisi saya, acuan paling pintar dalam filem ini adalah penggunaan korus title tracknya yang begitu serasi meski diulang berkali-kali. Tambahan lagi apabila disertakan dengan sari kata yang menjelas maksud setiap bait lirik, sekaligus membawa penonton 'masuk' ke dalam cerita.


khoon mein tere miTTi
miTTi mein tera khoon
oopar Allah neeche dharti
beech mein tera junoon
re sultan! 

there is this earth in your blood
and your blood in this earth
there is God above, and the earth below
and in between, there is your passion
O Sultan!

Secara peribadi, saya menyukai Sultan. Filem ini bukanlah filem terbaik SK tetapi adalah antara lakonan terbaik beliau yang pernah saya tonton. Sebagai peminat SK, saya arif dengan kualiti lakonan beliau yang tidak seberapa. Selain kesesuaian watak Sultan dengan peribadi SK, kerja keras beliau menjayakan watak Sultan terlahir pada fizikalnya. Apabila Sultan murung, fizikal SK sendiri tampak sangat letih dan berserabut. Malah fizikal letih ini turut mengekori beliau di luar lokasi penggambaran pada ketika itu (penggambaran sekitar awal 2016, SK sedang menjadi hos sebuah program realiti TV). Buat pertama kalinya, beliau kelihatan 'tua' di dalam filem, selari dengan kehendak jalan cerita.



Oleh kerana saya mengikuti berita penggambaran filem ini, saya tahu bahawa penggambaran dimulakan dari adegan belakang, iaitu pada masa Sultan telah tua, berjambang dan lesu. Watak Sultan pada usia muda dilakonkan kemudian, di mana beliau muncul dengan wajah yang segar dan bersih. Ini antara bukti profesionalisme, komitmen dan kemajuan teknologi industri Bollywood.



Sebahagian daripada plot filem ini berlokasi di Haryana, sebuah negeri yang terletak di utara India. Watak utamanya, Sultan dan Aarfa merupakan Muslim. Terdapat beberapa adegan berhampiran atau di dalam masjid serta sebuah majlis pernikahan dalam budaya Muslim India yang biasa ditonton dalam filem-filem Bollywood. Penonton dari kalangan Muslim Malaysia yang tidak banyak menonton filem Bollywood mungkin akan mudah mempersoal akidah Muslim yang digambarkan dalam filem sebegini kerana ritual penganut Islam yang dipaparkan adalah berbeza dengan ajaran syariah di Malaysia. Semasa BB menjadi viral di Malaysia, saya mendapati ada sesetengah komen netizen meminta agar penonton lain berhati-hati kerana Islam yang digambarkan dalam BB dikatakan syiah atau sesat.

Saya ingin berkongsi pengalaman dan sedikit pengetahuan berkenaan perkara ini (kredit kepada sahabat saya atas perkongsian maklumat ini). Cadangan saya, apabila menonton filem terutama dari negara luar, lapangkan dada dan kepala. Dalam perkataan lain, buka hati dan fikiran. Apa yang dipaparkan dalam sesebuah filem adalah gambaran keadaan dan kehidupan sesuatu bangsa, negara, budaya, dan agama di sana. Ia memberitahu kepada kita bahawa perkara sebegini wujud di atas bumi. Sama ada apa yang dipaparkan itu menepati syariah atau pun tidak, anggaplah itu sebagai peluang untuk kita berfikir dan menambah ilmu. Paling penting, sebagai manusia yang beragama, setiap seorang daripada kita perlu memiliki akidah yang kukuh sebagai benteng pertahanan daripada dipengaruhi ajaran yang tidak sesuai. Dengan akidah yang kuat, tidak kira apa yang kita lihat, dengar atau baca, kita tidak akan mudah terpengaruh.

Sekiranya saya boleh menukar apa yang ada di dalam filem ini mengikut acuan sendiri, saya mahu kemuncak cerita diubah. Menjelang kemuncak, Aarfa melawan arus menyokong Sultan ke perlawanan akhir ketika doktor dan sahabat memberi nasihat agar beliau menarik diri. Saya lebih gembira sekiranya jalan cerita disudahkan secara anti klimaks, iaitu Aarfa sendiri memohon Sultan untuk menarik diri. Plot twist bakal memberi satu pelajaran lain, bahawa perlawanan dalam hidup tidak mesti disudahkan di tengah gelanggang. Sebagai manusia, kita terkadang berhadapan dengan pilihan yang sukar. Mengalah memang bukan pilihan seorang pemenang. Tetapi ada sesuatu yang perlu disampaikan dengan mengalahnya seorang pemenang. Menarik diri demi mengelak risiko kecederaan lebih parah, merendahkan diri untuk menurut permintaan isteri yang pernah dikecewakan, dan mengorbankan impian demi keluarga, adalah pelajaran yang saya harap boleh disampaikan melalui Sultan.


Tetapi pengakhiran sebegitu tidak berlaku. Sultan adalah pemenang. Dan perlu terus menang. Bagi Sultan, mengalah bukan pilihan. Pilihan yang ada hanya dua, menang atau kalah secara terhormat. Sultan berubah dari seorang lelaki berperangai badut kepada seorang ahli gusti tegar dalam tempoh tiga minit title tracknya. Oleh yang demikian, kemenangan sebagai ending sudah dijangka. Menariknya, kemuncak yang stereotaip itu disegarkan melalui monolog Sultan berkenaan pelajaran yang beliau terima dari kisah hidupnya sendiri.

Saya tidak mampu mengingat kesemua tiga perkara yang dipelajari Sultan sewaktu menghampiri gelaran juara Pro-Takedown. Namun yang paling terkesan pada diri saya adalah mesej berikut:

  • "Sekiranya kamu mahu dihormati, kamu harus terlebih dahulu menerima penghinaan". - Falsafah ini sedikit berbeza berbanding yang selalu diajarkan kepada kita iaitu sekiranya kamu mahu dihormati, kamu harus terlebih dahulu menghormati orang lain. Belajar menerima penghinaan mempunyai risiko tersendiri. Adakah dengan menerima penghinaan itu kita belajar untuk tidak menghina orang lain, atau kita akan menghina pula apabila kita telah berada pada kedudukan terhormat? Sultan berubah kerana rasa terhina, kemudian menjadi angkuh setelah menempa kejayaan. Lalu Tuhan menghantar peringatan dengan sedikit ujian hidup, kembali merasa terhina. Hikmahnya, ujian itu membimbing Sultan menghargai sesuatu dengan nilai.
  • "Musuh sebenar adalah diri sendiri." - Betapa seringnya kita berperang dalam diri sendiri ketika memilih, membuat keputusan, mahupun memahami perasaan sendiri. Malah di dalam agama Islam, jihad yang paling tinggi tahapnya adalah jihad melawan hawa nafsu sendiri. Sultan menempa kejayaan atas kecekalannya mengatasi musuh yang disedarinya sebagai diri sendiri iaitu sikap tidak berwawasan (awal cerita), angkuh (pertengahan cerita), dan  kemudian putus semangat.



Banyak lagi pelajaran yang boleh diambil daripada filem ini. Meskipun secara asasnya ia sebuah filem biasa, adanya Ali Abbas Zafar sebagai pengarah dan SK sebagai watak utama membolehkannya sangat berjaya dalam kutipan box office. Kutipan minggu pertama di India sahaja (tidak termasuk luar India) mencecah RM122 juta (2.08 bilion Rupee), yang tertinggi setakat ini, berbanding filem Dhoom 3 yang mengutip RM112 juta bagi tempoh yang sama (sebelum Sultan, Dhoom 3 merupakan filem yang mendapat kutipan paling tinggi bagi tempoh satu minggu).

Sudah tentu Sultan jauh lebih berkualiti berbanding Dilwale. Mungkin tidak seunik dan secantik Bajirao Mastani, tetapi Sultan memenangi nilai moral dan pengajaran. Ia juga mungkin tidak sehebat BB yang menyentap perasaan melalui climax ending, tetapi ia mampu membuat penonton teruja menafsir makna pada pengakhirannya, beberapa saat sebelum tersiarnya perkataan "THE END".



Wednesday, May 4, 2016

Tuan Direktur oleh Hamka

Tuan DirekturTuan Direktur by Hamka
My rating: 3 of 5 stars

“Engkau mengerjakan pekerjaan itu, bukan mengharapkan wang, tetapi kerana engkau sebagai manusia wajib bekerja!”

Sebagaimana pemikiran P. Ramlee yang mendahului zamannya, nasihat Hamka terus relevant dipakai hingga hari ini. Meski terbitan pertamanya adalah pada tahun 1939, bahasanya ringan dan senang difahami.

Apabila membaca karya Hamka, saya sering tidak memfokus kepada jalan cerita. Bagi saya, nasihat yang dari perenggan ke perenggan itulah yang mahal, diperasakan pula dengan kecantikan susunan perkataan dan ayat.

“Engkau lupakan budi, padahal di atasnyalah tegak kemanusiaanmu, engkau lupakan agama, padahal dengan itulah engkau berbahtera ke akhirat, engkau lupakan temanmu, padahal di dalam hidup ini engkau tak sanggup tegak sendiri.”

Naskah kecil ini mengajarkan kembali tentang tujuan manusia tinggal di atas bumi. Antara lain diterangkan juga fungsi majikan dan pekerja yang sepatutnya diperintah budi, bukan diperintah wang serta celakanya penyakit takbur yang darinya menanti kesalahan yang lain.

“Kerana setinggi-tinggi melambung, tanah juga tempat kembali.”


View all my reviews

Saturday, April 30, 2016

Ada Apa Dengan Cinta 10

"Cinta bagi aku adalah redha antara satu sama lain", beritahu saya kepada seorang sahabat. Pertanyaan yang diaju lewat media sosial saya jawab secara spontan, laju mengalir namun jujur.

Semalam, genap sepuluh tahun pernikahan saya dan suami. Ucapan tahniah yang pertama seperti biasa datang daripada emak, yang seingat saya belum gagal melakukannya sepanjang sepuluh tahun ini. Saya di pejabat, mengisi sepuluh minit waktu wajib bekerja sebelum bergerak ke kampus universiti bagi menghadiri kelas pasca-siswazah. Dalam kelas yang saya hanya mampu fokus pada sepuluh minit pertama, seorang teman dari Padang Indonesia sempat terjerit kecil apabila saya memberitahu telah membeli tiket tayangan Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) dan bakal menontonnya pada petang hari yang sama, bersempena sambutan ulangtahun pernikahan. Beliau turut tertawa malu apabila saya memicit lengannya yang sedang membelek naskah Tuan Direktur milik saya, memberitahu yang Hamka itu berasal dari kampung halamannya, sedangkan beliau belum pernah membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.


HARI ULANGTAHUN PERNIKAHAN

Saya dan suami bergerak ke Alamanda Putrajaya dengan motosikal, mengharung kehangatan tengah hari. Kesuntukan masa, kami memesan beberapa makanan segera dari kaunter panggung wayang dan bersantap dengan gelojoh di dalam panggung. Tidak ada santapan di bawah cahaya lilin, tidak ada kiriman bunga, tidak ada kad ucapan, tidak ada hadiah, malah sejujurnya tidak ada ucapan selamat ulang tahun perkahwinan di antara satu sama lain. Mujur teringat untuk bergambar sebelum memasuki panggung, dan mujur juga wefie dengan satu kali ketik itu berhasil baik.

Sejak empat tahun kebelakangan, saya perlahan-lahan telah kurang aktif di atas talian. Satu keputusan yang menghadiahkan saya sebuah ketenangan. Namun saya beri pengecualian bersempena hari ulangtahun tersebut. Saya pos gambar berkenaan di ruang Facebook, sesuatu yang tidak saya lakukan secara rutin, tidak pada ulangtahun perkahwinan ke-7, ke-8 mahupun yang ke-9. Tindakan itu, didahului dengan niat untuk meraikan dan jujurnya, sedikit berkehendakkan perhatian.

Puluhan like dan belasan komen bukan sesuatu yang hebat bagi kebanyakan pengguna media sosial. Tetapi bagi saya yang telah memilih untuk pasif, jumlah tersebut umpama 'sesuatu'. Begitupun saya mengingatkan diri, perlakuan seumpama itu menyamai dadah - dalam dos yang terkawal, ia membantu dan merawat. Jika berlebihan, ia mengundang ketagihan, merosak lalu membunuh.


ADA APA DENGAN CINTA 2

Nicholas Saputra muncul di layar. Tidak setampan Rangga dalam mini drama terbitan Line pada 2014, namun lebih realistik. Dian Sastro, matang dan masih jelita. Keduanya kekal dengan kehendak watak yang sama sebagaimana versi 2002. Seorangnya seniman underground, seorang lagi seniwati berkelas. Keduanya unik, tersendiri.

Dari minit ke jam, saya masih dalam sedar penuh. Sedar bahawa saya sedang menonton sebuah filem di panggung, sedar yang hari berkenaan adalah hari Jumaat, 29 April 2016, hari ulang tahun perkahwinan saya dan suami yang ke sepuluh. Kesedaran ini menjelaskan yang saya tidak tenggelam dalam dunia filem, dunia cerita, dunia watak dan perwatakan, dunia Cinta dan Rangga - satu isyarat yang saya tidak akan keluar dari panggung dengan jiwa yang terkesan, atau bakal melara berhari-hari oleh sebuah kepesonaan.



Rangga 2016 adalah seorang pria dengan status yang lebih baik berbanding sebelumnya. Rambutnya kemas meski raut wajahnya sama - seringkali muram. Sebuah watak yang khas, hanya padan dimainkan Nicholas. Kesuraman raut wajah itu adalah pancaran isi hatinya. Sejenak saya terfikir, naskah seni agung sering terlahir dari detik suram dalam hidup seorang seniman. Syarat bagi menjadi ahli seni, seorang perlu berkorban bahagia, menghirup derita, menelan sengsara lalu berhasil mengenyangkan masyarakat.

Kami keluar dari panggung dengan perasaan senang. Kesudahan AADC2, boleh dijangka dan boleh diterima. Meski klise, itu bukan soal kerana penonton hanya mahukan kesudahan hubungan Cinta dan Rangga. Maka sama ada basi atau segar, yang penting adalah jawapan. Penantian itu berakhir dan diperasakan pula dengan jenaka kecil di penghujung.


PERJALANAN

"Aku tau aku cinta bila aku takut kehilangan orang tu." Beritahu saya lagi kepada sahabat tadi.

Jika kami datang dalam kepanasan, perjalanan pulang kami diiringi hujan. Begitulah perkahwinan, berpanas berhujan bersama. Detik yang mungkin tidak dialami pasangan yang tiada keperluan kepada motosikal. Kadang kala ia bukan soal tidak mampu berkereta, tetapi isu-isu kecil seperti kesuntukan masa kerana jika memandu kereta, kami akan bermasalah untuk pulang tepat waktu kerana perlu mengambil anak di sekolah dan rumah pengasuh. Tidak ada bibik, orang tua, atau adik beradik yang boleh ditumpangkan sementara kami berduaan menyambut anniversary. Maka berpeluh panas dan kemudian kebasahan sejuk itu menjadi satu bentuk pengorbanan serta kos yang perlu dibayar untuk empat jam berdua. Berdua ada masanya lebih baik.

"Cinta sampai syurga tu may be applicable kepada anak kepada emak, kepada bapak," tambah saya lagi. Pertanyaan sahabat saya dari awal tadi adalah pandangan saya terhadap petikan kata "cinta sampai syurga" yang sering dipakai dalam status dan kapsyen netizen - love you till jannah.

Menggunakan pengalaman sepuluh tahun pernikahan, saya dengan berani tidak meletak jaminan terhadap terma 'cinta sampai syurga' bagi pasangan suami isteri. Cinta sampai syurga berpinsipkan cinta tanpa syarat. Ia boleh terpakai untuk mengungkap cinta antara ibu bapa-anak-adik beradik. Logiknya, biar apa pun terjadi di antara mereka, air dicincang tidak pernah putus. Tuhan telah mengikat hati mereka umpama saraf yang mesti berhubung untuk tubuh berfungsi. Terputus bererti tubuh tidak akan berfungsi dengan sempurna.

"Bagi aku cinta sampai syurga tu terlalu tinggi... how nak justify?"

Mampukah anda bercinta tanpa syarat dengan pasangan yang halal? Bagaimana jika dikhianati? Curang? Disakiti? Ditinggalkan? Dinodai?

"Cinta bagi aku adalah redha antara satu sama lain. Be it saat manis atau pahit, tak kira betapa tercederanya perasaan, kau redha dan sanggup terus berdoa. Tapi tetap ada batas dalam perkara hak dan had. Selagi mana human-right tu dilunas sewajarnya, yang lain-lain kita boleh give and take. Afterall hidup ni memang takkan sempurna."

Apabila Rangga mengajak Cinta ke Punthuk Setumbu saat hari telah jauh malam, dia juga mengajarkan bahawa spontaneous adalah prinsip pengembaraan, garisan yang membezakan antara pengembara (backpacker) dengan pelancong (tourist). Pelancong mendatangi sebuah tempat dengan itinerari, manakala pengembara penuh dengan kejutan. Lebih penting, pengembaraan tidak menuju destinasi, sebaliknya menuju perjalanan.

Melayari kapal perkahwinan, adalah meletakkan lautan sebagai medan. Rumahnya kapal, yang berlabuh hanya sebagai persinggahan, terkadang sekejap, terkadang lama. Mungkin juga seperti perkhidmatan komuter KTM yang terkadang pantas dan cekap, terkadang rosak di pertengahan, terkadang lewat dan tidak efisien. Prinsipnya, kenderaan itu tidak pernah berhenti untuk bergerak, membentuk satu kitaran berulang dalam hayatnya. Hanya terpulang sama ada perkhidmatannya bertambah baik, mendatar sama, atau semakin buruk. Pengakhiran hanya terjadi apabila munculnya teknologi terkini yang tidak mampu ditambah baik kepada badan kenderaan yang telah tua. Lalu jalan terbaik adalah memberhentikan perkhidmatan dan dikuburkan. Begitulah hakikat rumahtangga. Perkahwinan adalah perjalanan, bukan destinasi.


DUM LAGA KE HAISHA

Ketika netizen tanah air dilanda wabak Dilwale dan Bhajrangi Bhaijaan, saya menonton Dum Laga Ke Haisha di Astro BollyOne HD. Saya rakamkan ke dalam dekoder Beyond dan sempat berkongsi jalan ceritanya dengan sahabat yang tadi (perbualan font biru). Jalan ceritanya ringan tetapi pelajarannya banyak.


Filem ini mengisahkan Prem yang terpaksa mengahwini Sandhya, si gempal yang berpendidikan tinggi. Prem dihimpit perasaan malu dan rendah diri, memikirkan jalan hidupnya yang tidak seindah temannya yang terlihat bahagia bersama isteri yang lebih cantik. Di penghujung filem, Prem dan Sandhya menyertai pertandingan "Dum Lagao", sebuah pertandingan di mana suami perlu memikul isteri di belakang badan dan berlari merempuh halangan. Bukan mudah bagi keduanya kerana Sandhya bertubuh gempal, logiknya berat untuk dipikul. Ironinya kemenangan bukan berfaktorkan ringannya isteri atau kuatnya suami. Kemenangan boleh terhasil daripada kerjasama antara keduanya. Justeru, perkahwinan bukan perlumbaan kecantikan dan kesempurnaan. Pasangan yang mampu berkerjasama dan mengurus dengan betul, itulah pemenang.

Prem tidak berhenti memikul Sandhya di tapak pertandingan sebaliknya terus berlari membawanya ke rumah. Kemenangan perkahwinan mereka tidak dipertontonkan di khalayak, sebaliknya dinikmati bersama, berdua. Mereka meraikan cinta, bukan kejuaraan.


SASTERA

Saya mungkin tidak dihadiahkan sejambak bunga sempena ulangtahun perkahwinan semalam. AADC2 juga tidaklah begitu mempesona. Saya pergi kepanasan, pulang kebasahan. Hanya membawa pulang naskah The Prisoners' Diaries bagi menambah koleksi Goodreads saya yang tidak seberapa.

Hadiah yang sebenar saya peroleh semasa perjalanan pulang, di atas motor, dalam kebasahan. Ia berupa sebuah ilham, percikan semangat, seolah momentum untuk mengembalikan saya kepada sesuatu yang saya paling inginkan - kembali menulis.

Terakhir saya menulis secara peribadi (tanpa keperluan akademik) adalah dua tahun lalu. Tulisan yang saya harapkan sebagai come back, tetapi sayang, berakhir di situ sahaja. Oh Tuhan, kebuntuan apakah yang membelenggu saya? Ke mana perginya bunga-bunga perkataan yang dulunya lancar di hujung jari ini?

Sebagaimana saya perlahan-lahan meninggalkan media sosial, begitu saya menjauhi sastera. Hanya kadang kala saya sempat berkelana melalui biografi atau travelog yang berkualiti. Malah terhadnya bunga bahasa yang boleh saya lakarkan lewat kertas cadangan dan kajian kesusasteraan tidak mampu membawa saya kepada penulisan peribadi. Akal dan jiwa saya seolah terkunci, terperosok sehingga susah dicari. Saya hingga berfikir, sekiranya saya boleh bahagia dengan membaca, maka tak mengapalah kalau saya bersara menulis.

Syukurlah Tuhan tidak mengizinkan.

"Resah di dadaku… 
Dan rahasia yang menanti di jantung puisi ini, 
dipisah kata-kata. 
Begitu pula rindu. 
Lihat tanda tanya itu. 
Jurang antara kebodohan dan keinginanku, 
memilikimu sekali lagi…"

Saya tidak tahu harus berterima kasih yang sebenarnya kepada siapa. Riri Riza atau Aan Mansyur? Terbitnya nukilan ini adalah hadiah ulangtahun perkawinan buat diri saya sendiri. Setidaknya boleh menjadi sebuah titipan sejarah hari esok. Antara cinta dan redha, AADC2 dan Dum Laga Ke Haisha, pengembara dan perjalanan, saya menyiapkan diri untuk menempuh berpuluh anniversary lagi.

Dengan izin Tuhan.



Jangan takut menghadapi cinta. Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah yang menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta. Jika hatimu diberiNya nikmat pula dengan cinta sebagaimana hatiku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut Tuhan kembali. Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain. Kalau dia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi - Tenggelamnya Kapal van der Wijck.


Thursday, April 28, 2016

Pilar Cahaya oleh Halimah Alaydrus

Pilar CahayaPilar Cahaya by Halimah Alaydrus
My rating: 5 of 5 stars

Empat pilar cahaya dalam dunia Islam yang dinukilkan dengan kehalusan seni bahasa dan ketinggian ilmu tasawuf. Air mata adalah pendamping sepanjang menjamah isi buku ini. Meskipun bukunya tipis dari segi halaman, namun kepuasannya umpama menghadam sebuah kitab agung yang tebal. Sangat disyorkan!

View all my reviews

Wednesday, July 23, 2014

SENI DAN ILMU DALAM KONSEP BERAGAMA

Merupakan artikel respond terhadap salah satu liputan majalah Xinguang isu ke-6 ("A man's heart plans his way. Do not be greedy" & "KNOWLEDGE is like gold, the more you get, the happier you will be") .






Pertama kali mengenali Madam Mah ketika Majlis Konvokesyen Kolej Universiti New Era ke-15 yang lalu, saya begitu teruja berkongsi kisahnya dengan ahli keluarga dan kenalan. Di sisi saya, hanya seorang yang berjiwa kental dan berani, mampu melakukan seperti Mah. Tidak seperti kebanyakan warga seusianya, Mah ternyata tidak letih menuntut ilmu lantas membolehkannya terus menyumbang kepada masyarakat.

Kekaguman saya terhadap Mah bertambah melalui liputan Xinguang Star baru-baru ini. Sikap realistik, rendah diri serta kepercayaan terhadap konsep ketuhanan yang tinggi jelas terpancar menerusi kata-katanya. Ini sekaligus menepati prinsip rukunegara Malaysia yang pertama iaitu “Kepercayaan kepada Tuhan”.

Meskipun saya bukan berlatar belakangkan bidang seni, saya amat menghormati dan menghargai nilai seni dalam kehidupan manusia. Namun, melihat kepada nilai seni yang dibawa generasi Y masa kini, begitu banyak yang tidak seiring dengan nilai manusia beragama. Hal ini mungkin disebabkan nilai seni hari ini banyak dipengaruhi oleh budaya Barat yang mempopularkan prinsip bahawa seni tiada hubungan dengan agama akibat dasar sekularisme mereka yang mengasingkan hal keduniaan dengan agama. Konsep seni ini lebih cenderung kepada ‘seni untuk seni’ dan bukannya ‘seni untuk masyarakat’ yang mana nilainya lebih besar dan bermakna.

Namun begitu, seni yang diungkapkan Mah ternyata berbeza dengan konsep ‘seni untuk seni.’ Seni Mah adalah ‘seni untuk masyakarat’. Ini jelas dinyatakan oleh Mah sendiri bahawa beliau ingin memupuk kesedaran terhadap kecantikan ciptaan Tuhan dan kasih sayangNya kepada manusia melalui setiap karya beliau.

Seniman yang mengamalkan konsep ‘seni untuk seni’ berpegang kepada prinsip kebebasan berkarya tanpa mengambil kira kesan positif atau negatif. Hal ini berbeza dengan kerangka dasar seni yang meliputi falsafah kehidupan manusia. Menerusi konsep ‘seni untuk masyarakat’ pula, seni bukan sahaja mampu membangunkan akhlak masyarakat, tetapi juga sesuai dijadikan sebagai bahan perantaraan yang dapat menghubungkan jiwa manusia kepada penciptanya.

Malah rekod sejarah ketamadunan Cina menyatakan bahawa orang Cina pada zaman kegemilangan dinasti beraja dahulu, tidak menerima seni (lukisan) yang cantik tanpa tema yang memberikan manfaat terhadap keimanan dan akhlak. Inilah yang membezakan seni timur dan barat.

Mensyukuri bakat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya, Mah mengibaratkan ilmu umpama emas, lebih banyak kita peroleh, kita menjadi lebih gembira. Perjalanan menuntut ilmu jaraknya adalah seluruh kehidupan. Justeru, ianya tidak terhad kepada sebarang peringkat umur. Namun bagi generasi muda, ingatlah bahawa usia muda juga tidak datang berkali-kali. Menghiasi seluruh perjalanan hidup dengan jalan ilmu adalah sebaik-baik pilihan yang ada bagi seorang belia yang berjaya. Ingatlah bahawa ilmu itu adalah lebih baik daripada harta kerana ilmu menjaga manusia dan manusia menjaga harta.

Hubungan ilmu dan agama sangat berkait rapat di antara satu sama lain. Sebagai manusia, kita memerlukan kedua-duanya. Malah ilmuan ulung seperti Albert Einstein juga pernah melafazkan kata-kata hikmat berbunyi “ilmu tanpa agama adalah lumpuh, agama tanpa ilmu adalah buta”. Begitu jelas betapa pentingnya meletakkan ilmu dan agama seiring di dalam apa jua bidang kehidupan.

Meskipun berbeza bangsa, agama dan bidang, kisah Madam Mah membuatkan saya begitu terinspirasi. Ya, dengan semangat satu Malaysia (1Malaysia), saya mengagumi Mah tanpa perlu menjadi Cina atau Kristian.







Wednesday, February 1, 2012

Ahmad Al Kebab

Buku yang paling senang nak baca. Cepat dan mudah. Tak perlu banyak fikir, tak perlu mengulang perenggan, tak perlu bukak Kamus Dewan. Pendek kata, senanglah!

Itulah Almad Al Kebab. Karya Wan Azlan - sebuah novel parodi, baca tak kering gusi.


credit gambar kepada KakWa (kakaknya dr. sudugarpu).

Akhir-akhir ini, istilah parodi jadi terkenal. Menurut Kamus Dewan Online, parodi adalah karya sastera, seni, dsb yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yg me­lucukan atau menyindir.

Novel ini bermula dengan watak Dimanosajo, seorang warga Thailand yang menjalankan perniagaan kebab sebagai punca rezeki di Kota Permaisuri. Unsur parodi hanya muncul dengan meluas (dan jelas) selepas terhentinya (seketika) watak Dimanosajo yang awalnya disangkakan sebagai watak utama dalam karya ini.

Parodi bermain di sekitar watak Sediakawal, Sakurakura, Sihuruhara, Mergastura, Murrahan dan Sifar. Kambing menjadi burung unta. Pening lalat menjadi Tahi Lalat. Sayuran menjadi ikan. Pintu menjadi perut (penyebab kepada munculnya Al Kebab).

Ya. Ahmad Al Kebab memparodikan Ahmad Albab.

Selain sesuai sebagai bacaan pelbagai peringkat umur, Ahmad Al Kebab boleh menjadi permulaan bagi yang mahu bermula atau mahu kembali berjinak2 kepada naskah penuh teks.

Mari jadi manusia lively.


Thursday, December 22, 2011

Ombak Rindu Vs Hafalan Shalat Delisa: Salah Siapa Karya KitaTerkebelakang?

Adalah normal bagi sesebuah karya yang menjadi fenomena untuk memasuki ruang diskusi yang akan diisi dengan kritikan, pujian dan kutukan. Ianya membuktikan bahawa karya tersebut mempunyai aura tersendiri sehingga diperdebatkan sebegitu rupa.

Sebelum ini, satu ulasan berkenaan filem Ombak Rindu (OR) telah dinaikkan di blog ini. Ulasan ini sebetulnya cenderung menyentuh isu adaptasi karya novel ke filem. Ia sama sekali tidak memberi tekanan terhadap isu moral yang menjadi kontroversi dalam filem ini. Namun kemelut Ombak Rindu yang dimainkan beberapa pihak di sana-sini telah membangkitkan beberapa persoalan di benak saya. Malah, sewaktu artikel ini ditulis, beberapa status di facebook yang memaut trailer Hafalan Shalat Delisa (HSD) telah dinaikkan dengan sebahagian besarnya mengaitkan atau membandingkannya dengan OR. Hampir kesemua status ini termasuk deretan komen yang diberikan menjurus kepada kritikan yang menonjolkan kerendahan mutu dan nilai karya filem anak tempatan. Situasi ini benar-benar membuatkan saya terfikir, salah siapa semua ini?



Bukan tidak ada karya kita yang bermutu tinggi. Tetapi bagaimana dengan sambutannya? Kita sendiri yang banyak mengkritik kebobrokan karya tempatan, kita sendiri juga sebenarnya tidak sedar dengan kewujudan karya-karya terbaik yang pernah terbit atau telah diharamkan.

Adakah fenomena OR membuka mata kita untuk mencari karya-karya ini? 

HSD berkait rapat dengan tragedi alam. Malah, kalau kita amati, Indonesia sendiri akrab dengan pelbagai tragedi tidak kira tragedi alam mahupun tragedi manusia. Rakyat negara jiran ini telah bertahun bergelumang dengan tragedi dan perjuangan sebagai rencah kesinambungan hidup. Sedarkah kita bahawa tragedi dan perjuangan ini telah sekian lama mencorak pemikiran seterusnya menjadi pencetus kepada lahirnya karya mereka?

Bagaimana dengan pemikiran kita?

Kalau kita fikir pengkarya perlu menghasilkan karya yang bernilai, bermoral, kritis dan menonjolkan tahap pemikiran yang tinggi, maka kita perlu mula membuktikan telah menjadi manusia yang bernilai, bermoral, kritis dan mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Kerana pengkarya tidak mahu rugi menghasilkan karya yang tidak boleh dijiwai oleh penontonnya seterusnya merencatkan keuntungan.

Perhatikan sahaja facebook kita. Isu apakah yang paling banyak kita naikkan? Kisah peribadi? Dialog suami isteri? Perkembangan anak-anak? Maklumat agama? Isu semasa? Isu politik? Ekonomi? Ilmiah? Nah, masing-masing lebih tahu facebook sendiri. Itulah antara cerminan pemikiran kita. Dan kita tidak malu pula memperlekeh karya tempatan yang hakikatnya mencerminkan jiwa dan minda sebenar kita. Maka bagaimana pula anda mengandaikan pemikiran pengkarya kita?

Hanya pengkarya dengan jati diri yang tinggi sahaja yang sanggup menongkah arus. Tetapi berapa ramai yang sanggup melaburkan berjuta-juta ringgit untuk mengangkat moral, etika dan pemikiran manusia yang belum tentu memberi pulangan? Sedangkan penonton/pembaca hanya melabur RM8 - RM30 untuk menghadam idea dan usaha insan lain.

Saya tentu sekali bukan seorang pengkarya semasa. Namun pengalaman menghasilkan beberapa karya kecil membuatkan saya faham perit jerih berkarya. Ianya umpama anda bersusah-payah memasak, dan orang yang menghadam makanan itu dengan mudah memberi komen "tidak sedap! Sedap lagi makanan Indonesia".
Seperti mana saya bukan peminat Aaron Aziz (telah disebut dalam ulasan OR), saya juga bukan peminat OR. Namun saya kira, menghukum OR sebagaimana yang dilakukan ramai sekarang ini agak tidak adil. Berapakah peratus kerosakan dilakukan oleh OR sehingga disifatkan sebagai tragedi murahan di sini? Berapa banyakkah penderhakaan plot OR terhadap nilai agama dan kemanusiaan? Adakah di antara anda di luar sana yang pernah cuba membandingkan jumlah kerosakan itu dengan tingkat kerosakan dan penderhakaan yang disajikan dalam banyak filem Melayu yang lain? Jika tidak, anda sama sekali terlalu bias!

Cuba kaitkan sebentar perenggan di atas dengan tragedi Superman Faizal Tahir yang telah dihukum Vs trend pakaian tidak senonoh sesetengah selebriti wanita tanah air yang tidak pernah dihadapkan ke muka pengadilan sebagai satu bentuk pengajaran kepada diri sendiri dan individu lain. Dapatkah anda menterjemahkan konotasinya? Adilkah kita menghukum satu pihak sedangkan pihak yang lain terus ghairah berkarya dalam kemaksiatan?

Di sisi saya, OR memang bukan sebuah filem moral. Ia hanya sebuah filem yang mempertaruhkan idea asal sebuah novel yang laris, barisan pelakon pujaan dan dendangan lagu yang menusuk jiwa untuk bermain dengan emosi penonton rakyat Malaysia yang memang gemarkan melodrama. Ia adalah kehendak pasaran sendiri.

Sekiranya kita masih diulit perkembangan lilitan terbaru hijab muslimah, ghairah mempromosi konsert rock tanah air, masih hanyut mengulit majalah fesyen/keluarga terkini, rasanya lebih molek kita muhasabah diri. 

OR bagaimanapun masih lebih baik dalam beberapa sisi moralnya berbanding lambakan filem-filem tempatan sebelum ini. Ia telah menunjukkan satu peningkatan dan telah pun mendapat sambutan (di sini saya menegaskan bahawa saya 100% menolak keperluan wujudnya adegan ranjang atas sebab apa sekalipun). Sebagai penonton/pembaca yang menikmati hasil kerja pengkarya, buktikan bahawa kita telah bersedia untuk menerima dan memberi sambutan terhadap sebuah karya yang kuat dengan isu kemanusiaan, jati diri dan moral hasil dari ilmu dan pemikiran yang tinggi. Dan semoga lebih ramai pengkarya filem/novel kita akan mampu menghasilkan karya bermutu yang bukan hanya mampu menjadi medan sebaran dakwah dan moral, tetapi mampu meraih keuntungan berganda hasil sambutan pasaran yang hakikatnya adalah terhad.

Berilah peluang kepada karya kita untuk bergerak di atas landasan 'sokong dan dorong' rakyatnya sendiri. Kurangkan kritikan membunuh. Keparahan nilai moral dalam karya perlu dibimbing, dipapah, dimotivasikan serta dirawat. Jangan biarkan ianya jadi seperti pokok-pokok yang mati selepas dicaci-maki oleh satu kaum di Pulau Solomon (sumber).

Karya kita, cerminan bangsa kita.