Showing posts with label filem. Show all posts
Showing posts with label filem. Show all posts

Thursday, December 22, 2011

Ombak Rindu Vs Hafalan Shalat Delisa: Salah Siapa Karya KitaTerkebelakang?

Adalah normal bagi sesebuah karya yang menjadi fenomena untuk memasuki ruang diskusi yang akan diisi dengan kritikan, pujian dan kutukan. Ianya membuktikan bahawa karya tersebut mempunyai aura tersendiri sehingga diperdebatkan sebegitu rupa.

Sebelum ini, satu ulasan berkenaan filem Ombak Rindu (OR) telah dinaikkan di blog ini. Ulasan ini sebetulnya cenderung menyentuh isu adaptasi karya novel ke filem. Ia sama sekali tidak memberi tekanan terhadap isu moral yang menjadi kontroversi dalam filem ini. Namun kemelut Ombak Rindu yang dimainkan beberapa pihak di sana-sini telah membangkitkan beberapa persoalan di benak saya. Malah, sewaktu artikel ini ditulis, beberapa status di facebook yang memaut trailer Hafalan Shalat Delisa (HSD) telah dinaikkan dengan sebahagian besarnya mengaitkan atau membandingkannya dengan OR. Hampir kesemua status ini termasuk deretan komen yang diberikan menjurus kepada kritikan yang menonjolkan kerendahan mutu dan nilai karya filem anak tempatan. Situasi ini benar-benar membuatkan saya terfikir, salah siapa semua ini?



Bukan tidak ada karya kita yang bermutu tinggi. Tetapi bagaimana dengan sambutannya? Kita sendiri yang banyak mengkritik kebobrokan karya tempatan, kita sendiri juga sebenarnya tidak sedar dengan kewujudan karya-karya terbaik yang pernah terbit atau telah diharamkan.

Adakah fenomena OR membuka mata kita untuk mencari karya-karya ini? 

HSD berkait rapat dengan tragedi alam. Malah, kalau kita amati, Indonesia sendiri akrab dengan pelbagai tragedi tidak kira tragedi alam mahupun tragedi manusia. Rakyat negara jiran ini telah bertahun bergelumang dengan tragedi dan perjuangan sebagai rencah kesinambungan hidup. Sedarkah kita bahawa tragedi dan perjuangan ini telah sekian lama mencorak pemikiran seterusnya menjadi pencetus kepada lahirnya karya mereka?

Bagaimana dengan pemikiran kita?

Kalau kita fikir pengkarya perlu menghasilkan karya yang bernilai, bermoral, kritis dan menonjolkan tahap pemikiran yang tinggi, maka kita perlu mula membuktikan telah menjadi manusia yang bernilai, bermoral, kritis dan mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Kerana pengkarya tidak mahu rugi menghasilkan karya yang tidak boleh dijiwai oleh penontonnya seterusnya merencatkan keuntungan.

Perhatikan sahaja facebook kita. Isu apakah yang paling banyak kita naikkan? Kisah peribadi? Dialog suami isteri? Perkembangan anak-anak? Maklumat agama? Isu semasa? Isu politik? Ekonomi? Ilmiah? Nah, masing-masing lebih tahu facebook sendiri. Itulah antara cerminan pemikiran kita. Dan kita tidak malu pula memperlekeh karya tempatan yang hakikatnya mencerminkan jiwa dan minda sebenar kita. Maka bagaimana pula anda mengandaikan pemikiran pengkarya kita?

Hanya pengkarya dengan jati diri yang tinggi sahaja yang sanggup menongkah arus. Tetapi berapa ramai yang sanggup melaburkan berjuta-juta ringgit untuk mengangkat moral, etika dan pemikiran manusia yang belum tentu memberi pulangan? Sedangkan penonton/pembaca hanya melabur RM8 - RM30 untuk menghadam idea dan usaha insan lain.

Saya tentu sekali bukan seorang pengkarya semasa. Namun pengalaman menghasilkan beberapa karya kecil membuatkan saya faham perit jerih berkarya. Ianya umpama anda bersusah-payah memasak, dan orang yang menghadam makanan itu dengan mudah memberi komen "tidak sedap! Sedap lagi makanan Indonesia".
Seperti mana saya bukan peminat Aaron Aziz (telah disebut dalam ulasan OR), saya juga bukan peminat OR. Namun saya kira, menghukum OR sebagaimana yang dilakukan ramai sekarang ini agak tidak adil. Berapakah peratus kerosakan dilakukan oleh OR sehingga disifatkan sebagai tragedi murahan di sini? Berapa banyakkah penderhakaan plot OR terhadap nilai agama dan kemanusiaan? Adakah di antara anda di luar sana yang pernah cuba membandingkan jumlah kerosakan itu dengan tingkat kerosakan dan penderhakaan yang disajikan dalam banyak filem Melayu yang lain? Jika tidak, anda sama sekali terlalu bias!

Cuba kaitkan sebentar perenggan di atas dengan tragedi Superman Faizal Tahir yang telah dihukum Vs trend pakaian tidak senonoh sesetengah selebriti wanita tanah air yang tidak pernah dihadapkan ke muka pengadilan sebagai satu bentuk pengajaran kepada diri sendiri dan individu lain. Dapatkah anda menterjemahkan konotasinya? Adilkah kita menghukum satu pihak sedangkan pihak yang lain terus ghairah berkarya dalam kemaksiatan?

Di sisi saya, OR memang bukan sebuah filem moral. Ia hanya sebuah filem yang mempertaruhkan idea asal sebuah novel yang laris, barisan pelakon pujaan dan dendangan lagu yang menusuk jiwa untuk bermain dengan emosi penonton rakyat Malaysia yang memang gemarkan melodrama. Ia adalah kehendak pasaran sendiri.

Sekiranya kita masih diulit perkembangan lilitan terbaru hijab muslimah, ghairah mempromosi konsert rock tanah air, masih hanyut mengulit majalah fesyen/keluarga terkini, rasanya lebih molek kita muhasabah diri. 

OR bagaimanapun masih lebih baik dalam beberapa sisi moralnya berbanding lambakan filem-filem tempatan sebelum ini. Ia telah menunjukkan satu peningkatan dan telah pun mendapat sambutan (di sini saya menegaskan bahawa saya 100% menolak keperluan wujudnya adegan ranjang atas sebab apa sekalipun). Sebagai penonton/pembaca yang menikmati hasil kerja pengkarya, buktikan bahawa kita telah bersedia untuk menerima dan memberi sambutan terhadap sebuah karya yang kuat dengan isu kemanusiaan, jati diri dan moral hasil dari ilmu dan pemikiran yang tinggi. Dan semoga lebih ramai pengkarya filem/novel kita akan mampu menghasilkan karya bermutu yang bukan hanya mampu menjadi medan sebaran dakwah dan moral, tetapi mampu meraih keuntungan berganda hasil sambutan pasaran yang hakikatnya adalah terhad.

Berilah peluang kepada karya kita untuk bergerak di atas landasan 'sokong dan dorong' rakyatnya sendiri. Kurangkan kritikan membunuh. Keparahan nilai moral dalam karya perlu dibimbing, dipapah, dimotivasikan serta dirawat. Jangan biarkan ianya jadi seperti pokok-pokok yang mati selepas dicaci-maki oleh satu kaum di Pulau Solomon (sumber).

Karya kita, cerminan bangsa kita. 


Friday, December 9, 2011

Menangis Lelaki - Edisi Ombak Rindu dan Aaron Aziz

Saya tiba-tiba teringat istilah 'menangis lelaki' yang keluar dari mulut sorang sahabat. Bunyinya janggal tetapi unik. Bukan tidak biasa melihat lelaki menangis. Dalam hindustan terutamanya. Tetapi kebanyakannya tak begitu menepati kedalaman maksud 'menangis lelaki'. Sehinggalah saya menemuinya dalam Ombak Rindu versi filem.

Membaca ulasan daripada pengkritik filem/wartawan nyata lebih adil. Ulasan begini hampir menyeluruhi segenap aspek Ombak Rindu termasuk novel dan penulis. Kerana apa yang boleh didapati daripada ulasan kebanyakan bloggers lebih cenderung kepada isu aksi ranjang dan Aaron Aziz.

Jujur, saya bukan peminat Aaron. Tapi, sebab utama saya keluar menonton Ombak Rindu adalah Aaron juga. Akibat terlanjur menonton klip video OST-nya, naluri 'orang awam' saya jadi penasaran untuk menonton.

Advantage untuk saya pada kali ini ialah, saya tidak pernah membaca novel Ombak Rindu. Maka risiko filem ini menjadi pemusnah jurus bayangan memang tidak ada sama sekali. Tetapi, meskipun tisak pernah membaca novel Ombak Rindu, saya memang dapat rasakan babak-babak dalam filem ni melompat-lompat. Pastinya untuk memampatkan isi cerita yang agak panjang sedangkan durasi filem yang dibenarkan hanyalah 2 jam.

Sebenarnya, amat menakutkan untuk menonton sebuah filem yang diadaptasi daripada sebuah novel. Saya pernah membebel mengenai perkara yang sama (Ayat-ayat Novel Versi Filem). Saya percaya, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak terutama pembaca tegar sesebuah novel yang diadaptasi ke filem. Novel dan filem memberikan impak yang berbeza terhadap corak penceritaan masing-masing. Filem memberikan cerita dan imej visual secara serentak. Penonton secara langsung akan mendapat gambaran latar tempat dan watak hasil garapan produksi filem. Contohnya, sekiranya watak Hariz dalam Ombak Rindu dipegang oleh Aaron Aziz, maka itulah gambaran yang terpaksa diterima oleh penonton mengenai watak Hariz. Ianya berbeza dengan novel yang memerlukan pembaca membina imaginasi tersendiri berbekalkan panduan penulis. Bermakna, setiap pembaca akan mungkin mempunyai imaginasi yang berbeza terhadap latar tempat dan watak. Oleh itu, gambaran watak Hariz dalam novel Ombak Rindu juga adalah berbeza-beza bagi setiap pembaca.

Hanya pembaca tegar sahaja yang tahu bagaimana seronoknya melayari pembacaan dengan lakaran imaginasi sendiri.


Di antara beberapa karya adaptasi novel ke filem, saya kira hanya Ketika Cinta Bertasbih sahaja yang betul2 menepati kisah sebenar tanpa terlalu merosakkan imaginasi pembaca. Tapi ini tidak bermakna filem perlu menurut sepenuhnya intipati novel. Adunan semula untuk meringkas, memperbaik dan memperkemas jalan cerita dan latar watak adalah juga penting kerana tidak mungkin setiap plot dalam novel sesuai dimasukkan ke dalam filem. Asalkan cerita asal dan watak-wataknya tidak dirosakkan, ayat-ayat novel versi filem pasti setidak-tidaknya mampu memberi kepuasan minimum.

Ombak Rindu mungkin tidak sebaik dan sekemas yang saya harapkan. Cukuplah ianya berjaya meringkaskan jalan cerita versi novel tanpa mencacatkan. Malah perubahan pada beberapa latar watak juga saya kira satu usaha untuk memperbaik. Ini berbeza dengan apa yang saya kesalkan dalam filem Ayat-Ayat Cinta yang ketara merosakkan beberapa latar watak terutama watak Aishah isteri Fahri. Begitu juga kelihangan watak bapa Maria telah merosakkan jalan cerita termasuk maklumat dakwah yang sangat penting.


Alangkah bagus kalau filem Melayu Malaysia boleh melebar lebih dari 2 jam asalkan plotnya disusun kemas, skrip yang baik dan tidak meleweh2.

Secara peribadi, saya rasa kekuatan Ombak Rindu versi filem ini adalah pada Aaron Aziz. Lakonan Aaron adalah terbaik. Terbaik kerana sangat bersahaja. Seperti yang saya katakan tadi, saya bukan peminat Aaron. Maka harapnya tidak timbul unsur bias di sini. Saya bukan pengikut tegar Aaron dalam sebarang drama bersiri. Malah, saya pernah berasa hairan melihat kegilaan orang ramai terhadap Aaron. Sebab sebelum ni, saya tidak tahu apa hebatnya Aaron Aziz.

Nak kata hensem, hensem lagi Hans Isacc.

Tetapi saya mula mengagumi beliau dalam filem KL Gangster. Lakonan selamba. Effortless.

Melalui Ombak Rindu, saya lebih mengagumi lakonan beliau. Terutamanya babak Hariz dan Izzah di dalam bilik di rumah Pak Dolah. Serta-merta saya rasa ralat kenapa beliau bukan warganegara Malaysia yang dengan tidak adilnya menghalang beliau daripada dicalonkan di dalam FFM.

Maya Karin bagi saya not bad. Cuma masih canggung melihatnya bertutur dengan intonasi Bahasa Melayu yang asli. Saya membayangkan watak Izzah inidipegang oleh Fazura. Lebih klasik, kekampungan dan effortless.

Lisa Surihani juga tidak kurang bagus. Hanya untuk watak Mila, imaginasi saya melihat alangkah cantiknya jika watak ini dilembutkan sedikit lagi. Tak perlulah Mila terjerit-jerit memberontak setiap kali keinginan tak dipatuhi. Dengan kedudukan, kuasa dan pesonanya, Mila mungkin hanya perlu bertegas dalam nada yang lembut tetapi persistent.

Secara keseluruhan, Ombak Rindu adalah Aaron Aziz. Tanpa Aaron Aziz, Ombak Rindu mungkin tidak berombak mana pun. Kerana saya amat pasti, sekurang-kurangnya separuh jumlah penonton yang berkejar ke panggung untuk menonton filem ini adalah kerana Aaron. Tetapi itu tidak pelik kerana kombinasi ego dan air mata Hariz yang diperan Aaron adalah pesona yang langsung tidak menghampakan.

Kerana Aaron Aziz, saya mengerti apa itu 'menangis lelaki'.


Friday, December 17, 2010

Essei Film Critics 2005

Entri ini dedikasi untuk put sebab memuji saya (puji ke?) dalam satu entri di blog beliau mengenai essei film untuk subjek film critics di msu pada tahun 2005. Selain Mr. Norman yang vogue dan kelasnya yang tak ubah seperti sardin dalam tin, kejadian bertukar-tukar pringles (yang kemudian diketahui tiada logo halal) semasa sesi menonton filem juga adalah detik-detik terindah sepanjang menjadi pelajar universiti.

Esei 13 muka surat ini adalah satu tulisan serius kerana ianya merupakan assignment yang menyumbang kepada A untuk subjek ini (Alhamdulillah). Semoga bermanfaat.

Monsoon Wedding: Mengangkat Nilai Sosial Dan Budaya Masyarakat Di India

Ideologi dalam konteks filem secara amnya bermaksud kepercayaan atau fahaman. Dengan kata yang lebih luas, ideologi merupakan satu set idea dan kepercayaan yang didokong oleh seseorang individu, kumpulan, kelas dan masyarakat. Secara umumnya, ideologi dalam filem boleh dipecahkan kepada bangsa/etnik, kelas sosial, umur, agama dan jantina. Esei ini akan memberi kritikan berkenaan aspek ideologi dalam filem Monsoon Wedding.


India di dalam Monsoon Wedding mendekati India yang asli – masyarakat pelbagai agama, pertembungan antara budaya lama dan gaya hidup kontemporari, dan tentu saja tidak mengetepikan realiti sistem kelasnya (1). Filem arahan Mira Nair ini mengangkat kehidupan kontemporari masyarakat Punjabi di bandar Delhi dengan pendekatan terhadap budaya dan cara hidup masyarakatnya secara maksimum.

Sejak permulaan filem, cerminan terhadap kehidupan masyarakat India terutamanya di bahagian utara ditonjolkan melalui penggunaan bahasa yang pelbagai. Watak-wataknya yang begitu fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris sememangnya memberi gambaran yang tepat terhadap penduduk di bandar itu yang begitu banyak menggunakan bahasa bekas tinggalan penjajah British sebagai bahasa komunikasi harian. Memang benar, penggunaan Bahasa Inggeris di India cukup dominan malah terdapat antara rakyatnya yang lebih fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris berbanding bahasa kebangsaan mereka sendiri, Bahasa Hindi. Namun ini tidak bermakna bahasa ibunda itu dilupakan terus. Watak-watak yang mewakili generasi lama atau veteran dalam filem ini didapati banyak bertutur dalam Bahasa Hindi selain turut menyelitkan Bahasa Punjabi sekali-sekala. Malah pada satu-satu masa, watak-watak dalam filem ini akan bertutur dalam ketiga-tiga bahasa tersebut langsung menambahkan kesan realistik masyarakat India Delhi masa kini(1).

Perlambangan watak sebagai budaya boleh diketengahkan bagi menggambarkan kedudukan sosial dan budaya masyarakat India di dalam filem ini. Meneropong ke dalam kehidupan sebuah keluarga dari kelas menengah bawah di Delhi, Lalit (Naseeruddin Shah) merupakan ikon seorang bapa yang resah memikirkan persiapan perkahwinan anak perempuannya Aditi (Vasundhara Das) yang memakan belanja besar dengan kewangan yang terhad (1). Apatah lagi, upacara perkahwinan dalam msyarakat Punjabi merupakan satu temasya yang besar dan penting di mana ia menghimpunkan sanak saudara dan kaum keluarga dari jauh dan dekat. Pelaburan yang besar untuk satu upacara perkahwinan bukanlah suatu yang pelik jika dibincangkan dalam konteks masyarakat India.

Persiapan yang besar digambarkan dengan wujudnya watak P.K. Dubey (Vijay Razz) perunding majlis perkahwinan yang menguruskan segala hal dari penyediaan khemah dan segala perhiasannya. Permintaan besar dari Lalit untuk menyempurnakan majlis perkahwinan anaknya itu sehingga beliau sendiri terpaksa meminjam untuk mencukupkan segala perbelanjaan. Lalit ingin memastikan segala persiapan adalah yang terbaik supaya majlis berjalan dengan sempurna untuk menjaga air muka keluarga di hadapan pihak lelaki di samping menjaga statusnya dalam kumpulan sosial yang beliau sertai.

Watak Aditi pula menjelaskan gadis kontemporari India yang memiliki cinta di luar pengetahuan ibu bapanya tetapi sanggup menerima perkahwinan yang diatur kerana percaya kisah cintanya tidak akan membawa ke mana-mana. Meski terbelenggu dengan desakan emosi sendiri, Aditi tetap mengharungi apa sahaja yang diaturkan untuknya sebagai rasa hormat dan kasih terhadap keluarga yang membesarkannya selama ini. Aditi juga menjadi gambaran gadis India moden yang bersifat terbuka, jujur dan bijak apabila dia tanpa memerlukan masa yang panjang mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Vikram dan mengambil risiko berterus-terang dengan bakal suaminya Hemant (Parvis Dabas).

Delhi yang digambarkan oleh Nair dalam Monsoon Wedding adalah begitu jelas. Suasana bandarnya yang sesak, kecoh, hingar-bingar, panas, hiruk-pikuk, bising dan berdebu menjadi latar tempat dalam banyak adegan yang ditunjukkan berkali-kali dari waktu pagi, tengah hari, senja sehinggalah menjelang malam. Delhi yang dipenuhi manusia sepanjang waktu ini merupakan cerminan negara India sebagai sebuah negara yang mempunyai peratus kepadatan penduduk yang terbesar di dunia.

Elemen muzik, lagu dan tarian dengan masyarakat India ternyata tidak boleh diasingkan. Tidak seperti filem-filem Bollywood, Nair telah memanfaatkan elemen muzik, lagu dan tarian dalam filem ini tanpa dipaksa-paksa lantas memperlihatkan kesan realistik padanya.

Penggunaan muzik dan lagu adalah dari lagu-lagu klasik, lagu-lagu lama kepada lagu-lagu moden di mana kebanyakannya adalah lagu-lagu tempatan. Penonton mungkin sedar bahawa lagu-lagu yang terdapat dalam filem ini juga diambil daripada filem-filem Bollywood yang lain. Adegan menyanyi secara spontan boleh dilihat ketika ahli keluarga berkumpul bersama pada malam selepas majlis pertunangan Aditi dan Hemant. Apabila salah seorang ahli keluarga mula menyanyikan bait-bait lagu, ianya disambut oleh beberapa ahli keluarga yang kemudian turut sama menyanyi dan menari. Malah seluruh ahli keluarga boleh menyanyikan lagu Gori Gori Banki Chori yang merupakan lagu daripada filem Bollywood lama termasuklah anak-anak muda yang secara luarannya kelihatan tidak menonjolkan ciri-ciri anak tempatan. Ini menjelaskan betapa kuatnya elemen muzik dan betapa berkesannya pengaruh filem Bollywood dalam hati masyarakat India secara umum.

Penggunaan elemen muzik yang agak banyak dan pelbagai ini memberi seolah-olah satu kepuasan bagi penonton untuk menterjemahkan keunikan budaya masyarakat India yang begitu akrab dengan lagu-lagu dan bunyian. Lagu tradisional contohnya dinyanyikan sewaktu upacara berinai yang dihadiri oleh kaum wanita yang sekali-sekala akan berlagak seperti lelaki. Lagu klasik pula dialunkan dengan begitu gemersik pada malam hari menceritakan kesedihan anak gadis untuk berangkat keluar dari rumah ibu bapanya setelah berkahwin kelak. Manakala lagu rancak yang lebih moden ditarikan dengan meriah pada malam sebelum upacara perkahwinan berlangsung dan ketika upacara perkahwinan sendiri. Muzik dan lagu seolah-olah menjadi satu simbol pengukuhan masyarakat ini di mana ianya menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka (2).

Upacara perkahwinan Aditi dan Hermant yang meriah dan perkahwinan kecil-kecilan P.K. Dubey dan Alice (Tilotama Shome) yang berselang-seli antara keduanya memperlihatkan perbezaan kelas atau kasta sosial India secara tidak langsung. Persoalan tentang kelas ini turut boleh dilihat sewaktu adegan Alice cuba bergaya dengan aksesori milik majikannya semasa mengemas salah sebuah bilik. Keinginan Alice yang besar dengan kemampuannya yang terbatas ini diperhatikan oleh P.K. Dubey dan pekerja-pekerjanya yang kemudian menganggap perbuatannya itu sebagai cubaan mencuri. Watak Alice digarap sebagai seorang wanita pendiam, pemalu, berpenampilan suram, tidak cantik, tidak mengenakan sebarang solekan, yang mana merupakan gambaran watak seorang pembantu rumah. Ini termasuklah keadaan rumah P.K. Dubey yang kecil, kosong, tidak cantik dan kekampungan meski berada di tengah-tengah ibu kota Delhi. Semua ini menceritakan secara tidak langsung akan perbezaan taraf kehidupan berdasarkan kasta dalam masyarakat meskipun mereka masih mampu berada dalam satu bumbung dan saling bergaul mesra.

Nair turut memanfaatkan elemen warna semaksimum mungkin untuk menggambarkan kerencaman manusia dalam masyarakat ini. Paling ketara, warna-warna garang dan terang banyak dipakai oleh watak-watak wanita terutamanya. Ia adalah simbol kepada kemeriahan, kemewahan dan keceriaan dalam masyarakat itu sendiri. Malah dalam satu adegan Lalit tidak bersetuju apabila P.K. Dubey mahu menyediakan khemah berwarna putih dan meminta menggantikannya dengan warna merah menguatkan lagi gambaran kepercayaan mereka terhadap warna sebagai salah satu simbol dalam kehidupan.

Pakaian dalam filem ini merupakan satu perbincangan yang lebih menarik. Penonton boleh melihat bagaimana sebahagian besar watak-wataknya dipakaikan dengan kostum-kostum yang dengan secara jelas menggambarkan identiti bangsa India itu sendiri. Ia turut memberitahu kita bahawa masyarakat India begitu akrab dengan pakaian tradisi mereka seperti salwar dan kurta berbanding pakaian-pakaian ala barat yang lebih banyak dipakai di mana-mana negara Asia yang lain. Sari, kurta dan salwar dipakai ke mana-mana sahaja. Majlis rasmi, upacara keagamaan, ke luar berjalan hatta membuat kerja di dapur sekalipun, pakaian-pakaian kebangsaan ini tidak pernah dipinggirkan(2).

Keunikan budaya India yang tidak terdapat dalam budaya mana-mana bangsa di dunia yang lain tentunya pada budaya menyentuh kaki yang seakan-akan menyembah orang yang lebih tua atau berpangkat lebih tinggi dalam keluarga untuk memohon restu. Setelah itu, orang yang diberi penghormatan itu akan meletakkan tangan ke atas kepala oarang yang menyentuh kakinya sebagai tanda memberi restu. Sebagaimana filem-filem Bollywood lain mahupun filem-filem berkisar masyarakat India, tradisi ini tidak pernah ditinggalkan kerana ia merupakan cerminan paling berkesan untuk menggambarkan masyarakat ini. Lebih menarik, sewaktu adegan tari-menari, ada watak-watak yang memusing-musingkan duit di atas kepala penari atau mana-mana ahli keluarga sebelum melemparkan duit tersebut, juga sebagai tanda restu mereka(2).

Mengetengahkan watak adik Aditi, Varun (Ishaan Nair), yang mempunyai minat yang agak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya akan mempersoalkan keterbukaan golongan ibu bapa di India untuk menerima perubahan dalam dunia mereka. Mungkin tidak ada janggalnya bagi seorang lelaki untuk menjadi tukang masak profesional di mana-mana negara lain seperti di Malaysia atau negara-negara barat tetapi gambaran yang diberikan Nair melalui Monsoon Wedding menerangkan betapa keadaan ini masih sukar diterima oleh masyarakat India. Budak lelaki yang bercita-cita menjadi tukang masak mungkin dianggap lelaki lembut, lembik dan sebagainya.

Hal yang sama turut memperjelaskan berkenaan pemikiran masyarakat India apabila Nair cuba melontarkan kritik sosialnya tentang isu sumbang mahram yang masih dianggap tabu dan selalu disembunyikan dalam masyarakat ini(1). Hal ini digambarkan melalui watak Ria (Shefali Shetty) yang mengalami trauma oleh kejadian dirinya dirogol oleh pakciknya pada usia yang masih kecil(1).

Kepelbagaian agama dan perkahwinan campur yang berleluasa di India ditonjolkan secara halus dan hampir tidak kelihatan dalam filem ini. Alice, penganut Kristian yang berasal dari Bihar mengahwini P.K. Dubey yang beragama Hindu yang dilakukan melalui upacara agama Hindu pada akhir cerita. Malah penyelitan bangunan masjid di tengah bandar secara tidak langsung menceritakan tentang terdapatnya kepelbagaian anutan agama dalam negara tersebut.

KESIMPULAN

Kritikan terhadap aspek ideologi budaya masyarakat dan sosial dalam filem Monsoon Wedding telah memberi gambaran yang cukup jelas melalui garapan yang dibuat dalam filem ini. Monsoon Wedding merupakan gambaran India yang begitu tulen dan telus dengan mengangkat gaya hidup masyarakat Punjabi moden di tengah-tengah bandar Delhi.

Persoalan terhadap ideologi ini dilihat daripada beberapa sudut termasuklah penggunaan bahasa dan watak-watak di dalam filem. Masyarakat India dalam Monsoon Wedding dilihat bertutur dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Hindi dan Bahasa Punjabi. Dari segi watak, Lalit digarap sebagai ikon bapa dalam masyarakat India yang stereotaip manakala watak gadis India moden yang menghormati keputusan ibu bapa ditonjolkan melalui watak Aditi.

Suasana kehidupan masyarakat India di Delhi diperlihatkan secara jelas dengan adegan latar bandarnya. India yang padat dengan manusia ini begitu sesak, sempit dan bising sekaligus menggambarkan sikap masyarakat itu sendiri.

Penggunaan elemen muzik, lagu-lagu dan tarian yang secara spontan merupakan perlambangan terhadap keakraban budaya India dengan elemen yang disebutkan tadi. Kesan yang diberikan begitu ketara apabila kita sebagai penonton turut terbawa-bawa oleh kerancakan muzik dan lagu-lagu yang terdapat di dalamnya.

India dan sistem kasta adalah isu yang paling sinonim di mana persoalan ini ditonjolkan secara halus. Cerminan terhadap India melalui isu ini memberitahu bahawa dalam era masa kini yang sepatutnya bersifat terbuka, kedudukan kelas dan kasta masih berleluasa dalam masyarakat di India.

Elemen warna turut menjadi gambaran masyarakat India yang gemarkan warna-warna ceria dan terang dalam apa jua keadaan tidak kira pakaian mahupun perhiasan dalam upacara dan perayaan. Warna-warna ini mencerminkan keghairahan masyarakat ini dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Selain itu, pakaian adalah cerminan identiti paling ketara dalam filem ini. Penggunaan pakaian-pakaian tradisi secara maksimum seolah-olah merupakan satu kebanggaan dan dedikasi pengarah filem ini terhadap negaranya.

Keunikan budaya India yang mana warga muda akan menyentuh kaki warga tua sebagai memohon restu ada diselitkan dalam filem ini. Hal ini merupakan satu kemestian yang tidak boleh ditinggalkan kerana ia adalah gambaran asas mengenai budaya tradisi India.

Persoalan pemikiran masyarakat India yang mula membangun dan kadang kala masih sempit dalam beberapa perkara boleh dilihat contohnya berkenaan cita-cita seorang remaja lelaki untuk menjadi tukang masak dan isu sumbang mahram yang dianggap begitu memalukan bagi si mangsa.

Akhir sekali, filem ini turut menceritakan kepelbagaian anutan dan kepercayaan agama yang terdapat dalam masyarakat India meski mereka hidup sebagai satu bangsa yang sama dan dari rumpun yang serupa.

Kesimpulannya, persoalan ideologi berkenaan budaya dan kemasyarakatan yang begitu menyeluruh dalam filem Monsoon Wedding ini telah memungkinkan penonton untuk berkongsi pengalaman dan memahami tradisi kebudayaan India dengan begitu jelas.

RUJUKAN

1. Noor Azam Shairi, Filem Bollywood Gaya Mira Nair, Enjin Carian Utusan Online, www.utusanonline.com.my

2. Culture of India - Wikipedia, the free encyclopedia, http://en.wikipedia.org


Tuesday, October 13, 2009

10 Bahaya Terlalu Kenyang


Semasa membaca novel Laskar Pelangi, saya menemui banyak quote yang menarik untuk dikongsi bersama. Antaranya dialog yang diucapkan Lintang dalam Bab 11: Langit Ketujuh (m/s: 108) berbunyi;

"Jangan kekenyangan kalau makan malam, itu akan membuat telingamu tuli dan otakmu tumpul"

Terkesan dengan dialog itu, saya segera teringat akan kata-kata Imam Ghazali tentang perut yang kenyang, yang pernah saya baca entah di mana. Dengan bantuan search engine, saya menemui ini (sumber: Madrasah Ad-Diniah Al-Bakriah);

Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin telah menukilkan tentang 10 bahaya terlalu kenyang:

  1. Banyak makan menyebabkan hati menjadi keras
  2. Banyak makan membangkitkan segala anggota dalam berbuat perkara yang sia-sia dan kejahatan
  3. Banyak makan membinasakan kecerdikan dan kepintaran serta menyebabkan sedikit faham dan kurang pengetahuan
  4. Banyak makan mengurangkan amal ibadat kerana manusia apabila banyak makan menyebabkan berat badannya yang membawa kepada mengantuk dan malas
  5. Banyak makan menyebabkan kurang selesa ketika menunaikan ibadat
  6. Banyak makan ditakuti jatuh kepada yang haram atau syubhat
  7. Banyak makan menyebabkan hati sentiasa risau berkenaannya, memenatkan badan untuk mencari serta menyediakannya. Begitu juga untuk memakannya dan melepaskan mudharatnya
  8. Banyak makan menyebabkan bersangatan sakit ketika mati kerana kesakitan dan kesusahan ketika mati bergantung kepada sekadar mana kesedapan dunia yang dinikmati oleh kita
  9. Banyak makan menyebabkan kurang pahala akhirat
  10. Banyak makan menyebabkan banyak hisab diakhirat


Thursday, February 26, 2009

Ayat-ayat Novel Versi Filem


Sekiranya korang seorang pembaca tegar, maka korang akan bersetuju dengan pendapat aku. Bahawasanya, adaptasi ayat-ayat novel ke filem adalah merupakan pemusnah jurus bayangan.

*ambek napas*

Aku baru je abes baca twilight bila dengan tergedik2nya menonton movienya secara bernafsu. Aku maklum terlebih dulu bahawa aku akan kecewa. Bahawa imaginasi aku akan musnah. Bahawa kerakusan aku terhadap new moon akan pudar. Tapi apakan daya, lakaran stephanie meyer terhadap susuk edward cullen terlalu mempesona. Maka aku pun membesarkan 2 biji mata, menonton sambil membaca subtitle english yang begitu durjana terjemahannya. Tuhan, rupanya aku 2 kali kecewa. Lebih kecewa berbanding selepas menonton versi filem ayat-ayat cinta.

*mengalirkan air mata*

Kerosakan kisah novel di dalam filem adalah satu pengkhianatan. Setidak-tidaknya kepada jalan cerita itu sendiri. Aku benci adaptasi novel ke filem. Betol2 benci ni. Benci benci!