Showing posts with label buku. Show all posts
Showing posts with label buku. Show all posts

Wednesday, February 1, 2012

Ahmad Al Kebab

Buku yang paling senang nak baca. Cepat dan mudah. Tak perlu banyak fikir, tak perlu mengulang perenggan, tak perlu bukak Kamus Dewan. Pendek kata, senanglah!

Itulah Almad Al Kebab. Karya Wan Azlan - sebuah novel parodi, baca tak kering gusi.


credit gambar kepada KakWa (kakaknya dr. sudugarpu).

Akhir-akhir ini, istilah parodi jadi terkenal. Menurut Kamus Dewan Online, parodi adalah karya sastera, seni, dsb yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yg me­lucukan atau menyindir.

Novel ini bermula dengan watak Dimanosajo, seorang warga Thailand yang menjalankan perniagaan kebab sebagai punca rezeki di Kota Permaisuri. Unsur parodi hanya muncul dengan meluas (dan jelas) selepas terhentinya (seketika) watak Dimanosajo yang awalnya disangkakan sebagai watak utama dalam karya ini.

Parodi bermain di sekitar watak Sediakawal, Sakurakura, Sihuruhara, Mergastura, Murrahan dan Sifar. Kambing menjadi burung unta. Pening lalat menjadi Tahi Lalat. Sayuran menjadi ikan. Pintu menjadi perut (penyebab kepada munculnya Al Kebab).

Ya. Ahmad Al Kebab memparodikan Ahmad Albab.

Selain sesuai sebagai bacaan pelbagai peringkat umur, Ahmad Al Kebab boleh menjadi permulaan bagi yang mahu bermula atau mahu kembali berjinak2 kepada naskah penuh teks.

Mari jadi manusia lively.


Friday, December 9, 2011

Menangis Lelaki - Edisi Ombak Rindu dan Aaron Aziz

Saya tiba-tiba teringat istilah 'menangis lelaki' yang keluar dari mulut sorang sahabat. Bunyinya janggal tetapi unik. Bukan tidak biasa melihat lelaki menangis. Dalam hindustan terutamanya. Tetapi kebanyakannya tak begitu menepati kedalaman maksud 'menangis lelaki'. Sehinggalah saya menemuinya dalam Ombak Rindu versi filem.

Membaca ulasan daripada pengkritik filem/wartawan nyata lebih adil. Ulasan begini hampir menyeluruhi segenap aspek Ombak Rindu termasuk novel dan penulis. Kerana apa yang boleh didapati daripada ulasan kebanyakan bloggers lebih cenderung kepada isu aksi ranjang dan Aaron Aziz.

Jujur, saya bukan peminat Aaron. Tapi, sebab utama saya keluar menonton Ombak Rindu adalah Aaron juga. Akibat terlanjur menonton klip video OST-nya, naluri 'orang awam' saya jadi penasaran untuk menonton.

Advantage untuk saya pada kali ini ialah, saya tidak pernah membaca novel Ombak Rindu. Maka risiko filem ini menjadi pemusnah jurus bayangan memang tidak ada sama sekali. Tetapi, meskipun tisak pernah membaca novel Ombak Rindu, saya memang dapat rasakan babak-babak dalam filem ni melompat-lompat. Pastinya untuk memampatkan isi cerita yang agak panjang sedangkan durasi filem yang dibenarkan hanyalah 2 jam.

Sebenarnya, amat menakutkan untuk menonton sebuah filem yang diadaptasi daripada sebuah novel. Saya pernah membebel mengenai perkara yang sama (Ayat-ayat Novel Versi Filem). Saya percaya, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak terutama pembaca tegar sesebuah novel yang diadaptasi ke filem. Novel dan filem memberikan impak yang berbeza terhadap corak penceritaan masing-masing. Filem memberikan cerita dan imej visual secara serentak. Penonton secara langsung akan mendapat gambaran latar tempat dan watak hasil garapan produksi filem. Contohnya, sekiranya watak Hariz dalam Ombak Rindu dipegang oleh Aaron Aziz, maka itulah gambaran yang terpaksa diterima oleh penonton mengenai watak Hariz. Ianya berbeza dengan novel yang memerlukan pembaca membina imaginasi tersendiri berbekalkan panduan penulis. Bermakna, setiap pembaca akan mungkin mempunyai imaginasi yang berbeza terhadap latar tempat dan watak. Oleh itu, gambaran watak Hariz dalam novel Ombak Rindu juga adalah berbeza-beza bagi setiap pembaca.

Hanya pembaca tegar sahaja yang tahu bagaimana seronoknya melayari pembacaan dengan lakaran imaginasi sendiri.


Di antara beberapa karya adaptasi novel ke filem, saya kira hanya Ketika Cinta Bertasbih sahaja yang betul2 menepati kisah sebenar tanpa terlalu merosakkan imaginasi pembaca. Tapi ini tidak bermakna filem perlu menurut sepenuhnya intipati novel. Adunan semula untuk meringkas, memperbaik dan memperkemas jalan cerita dan latar watak adalah juga penting kerana tidak mungkin setiap plot dalam novel sesuai dimasukkan ke dalam filem. Asalkan cerita asal dan watak-wataknya tidak dirosakkan, ayat-ayat novel versi filem pasti setidak-tidaknya mampu memberi kepuasan minimum.

Ombak Rindu mungkin tidak sebaik dan sekemas yang saya harapkan. Cukuplah ianya berjaya meringkaskan jalan cerita versi novel tanpa mencacatkan. Malah perubahan pada beberapa latar watak juga saya kira satu usaha untuk memperbaik. Ini berbeza dengan apa yang saya kesalkan dalam filem Ayat-Ayat Cinta yang ketara merosakkan beberapa latar watak terutama watak Aishah isteri Fahri. Begitu juga kelihangan watak bapa Maria telah merosakkan jalan cerita termasuk maklumat dakwah yang sangat penting.


Alangkah bagus kalau filem Melayu Malaysia boleh melebar lebih dari 2 jam asalkan plotnya disusun kemas, skrip yang baik dan tidak meleweh2.

Secara peribadi, saya rasa kekuatan Ombak Rindu versi filem ini adalah pada Aaron Aziz. Lakonan Aaron adalah terbaik. Terbaik kerana sangat bersahaja. Seperti yang saya katakan tadi, saya bukan peminat Aaron. Maka harapnya tidak timbul unsur bias di sini. Saya bukan pengikut tegar Aaron dalam sebarang drama bersiri. Malah, saya pernah berasa hairan melihat kegilaan orang ramai terhadap Aaron. Sebab sebelum ni, saya tidak tahu apa hebatnya Aaron Aziz.

Nak kata hensem, hensem lagi Hans Isacc.

Tetapi saya mula mengagumi beliau dalam filem KL Gangster. Lakonan selamba. Effortless.

Melalui Ombak Rindu, saya lebih mengagumi lakonan beliau. Terutamanya babak Hariz dan Izzah di dalam bilik di rumah Pak Dolah. Serta-merta saya rasa ralat kenapa beliau bukan warganegara Malaysia yang dengan tidak adilnya menghalang beliau daripada dicalonkan di dalam FFM.

Maya Karin bagi saya not bad. Cuma masih canggung melihatnya bertutur dengan intonasi Bahasa Melayu yang asli. Saya membayangkan watak Izzah inidipegang oleh Fazura. Lebih klasik, kekampungan dan effortless.

Lisa Surihani juga tidak kurang bagus. Hanya untuk watak Mila, imaginasi saya melihat alangkah cantiknya jika watak ini dilembutkan sedikit lagi. Tak perlulah Mila terjerit-jerit memberontak setiap kali keinginan tak dipatuhi. Dengan kedudukan, kuasa dan pesonanya, Mila mungkin hanya perlu bertegas dalam nada yang lembut tetapi persistent.

Secara keseluruhan, Ombak Rindu adalah Aaron Aziz. Tanpa Aaron Aziz, Ombak Rindu mungkin tidak berombak mana pun. Kerana saya amat pasti, sekurang-kurangnya separuh jumlah penonton yang berkejar ke panggung untuk menonton filem ini adalah kerana Aaron. Tetapi itu tidak pelik kerana kombinasi ego dan air mata Hariz yang diperan Aaron adalah pesona yang langsung tidak menghampakan.

Kerana Aaron Aziz, saya mengerti apa itu 'menangis lelaki'.


Tuesday, December 14, 2010

Teori Konyol Tentang Hidup

Semasa membaca Padang Bulan, aku jumpa satu perkara yang menarik dalam mozaik Rahasia 23 oktober.


Pada muka surat 28, Andrea Hirata menceritakan tentang teori konyol yang beliau cipta sendiri lantas berpegang kepadanya sepanjang hidup. Teori Andrea Hirata itu ialah, sekiranya musim hujan di kampungnya bermula pada petang 23 Oktober, maka musim hujan itu akan bermula, berjalan dan berakhir dengan baik. Manakala kalau hujan bermula sebelum atau selepas dari jangka waktu itu, keadaan akan menjadi sebaliknya.

Apa yang menarik mengenai mozaik ini ialah, aku rasa ramai antara kita yang mungkin mempunyai teori masing-masing tentang sesuatu dalam hidup. Teori yang pelik, yang kalau dikongsikan dengan orang lain akan menjadi sangat lucu dan nonsense. Tapi kita tetap berpegang kepada teori itu dan senang menggunakannya.

Teori yang konyol tentu saja sehingga tak pernah kukisahkan pada siapa pun. Ia telah menajdi rahasiaku yang terpendam lama.

Aku turut ada beberapa teori konyol sendiri yang tak pernah aku ceritakan. Antaranya, aku tak boleh memakai sesuatu dalam keadaan terbalik. Contoh, kalau nak pakai tuala, aku takkan pakai dalam keadaan terbalik, kalau dah terpakai terbalik, aku sanggup bukak dan betulkan semula. Atau pakai comforter, mesti pada kedudukan yang betul. Kalau bercorak, kepala corak mesti bahagian atas. Dan jangan harap aku nak berselimut dengan membalikkan comforter tu, maksudnya, bahagian luar jadi bahagian dalam dan sebaliknya. Aku akan rasa tak selamat buat macam tu.

Psycho kot?

Walau apapun, teori konyol macam ni lah yang mewarnakan kehidupan kita. Bunyinya kadang childish, tapi bak kata Andrea lagi:

Namun, bukankah adakalanya, menyerahkan diri pada godaan dan memelihara rahasia, menjadi bagian dari indahnya hidup ini?

Cuma jangan sampai teori konyol itu menyusahkan atau menyesatkan sudahla. Huh!

saye: sarung kasut kaki kanan dulu

Tuesday, October 13, 2009

10 Bahaya Terlalu Kenyang


Semasa membaca novel Laskar Pelangi, saya menemui banyak quote yang menarik untuk dikongsi bersama. Antaranya dialog yang diucapkan Lintang dalam Bab 11: Langit Ketujuh (m/s: 108) berbunyi;

"Jangan kekenyangan kalau makan malam, itu akan membuat telingamu tuli dan otakmu tumpul"

Terkesan dengan dialog itu, saya segera teringat akan kata-kata Imam Ghazali tentang perut yang kenyang, yang pernah saya baca entah di mana. Dengan bantuan search engine, saya menemui ini (sumber: Madrasah Ad-Diniah Al-Bakriah);

Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin telah menukilkan tentang 10 bahaya terlalu kenyang:

  1. Banyak makan menyebabkan hati menjadi keras
  2. Banyak makan membangkitkan segala anggota dalam berbuat perkara yang sia-sia dan kejahatan
  3. Banyak makan membinasakan kecerdikan dan kepintaran serta menyebabkan sedikit faham dan kurang pengetahuan
  4. Banyak makan mengurangkan amal ibadat kerana manusia apabila banyak makan menyebabkan berat badannya yang membawa kepada mengantuk dan malas
  5. Banyak makan menyebabkan kurang selesa ketika menunaikan ibadat
  6. Banyak makan ditakuti jatuh kepada yang haram atau syubhat
  7. Banyak makan menyebabkan hati sentiasa risau berkenaannya, memenatkan badan untuk mencari serta menyediakannya. Begitu juga untuk memakannya dan melepaskan mudharatnya
  8. Banyak makan menyebabkan bersangatan sakit ketika mati kerana kesakitan dan kesusahan ketika mati bergantung kepada sekadar mana kesedapan dunia yang dinikmati oleh kita
  9. Banyak makan menyebabkan kurang pahala akhirat
  10. Banyak makan menyebabkan banyak hisab diakhirat


Thursday, February 26, 2009

Ayat-ayat Novel Versi Filem


Sekiranya korang seorang pembaca tegar, maka korang akan bersetuju dengan pendapat aku. Bahawasanya, adaptasi ayat-ayat novel ke filem adalah merupakan pemusnah jurus bayangan.

*ambek napas*

Aku baru je abes baca twilight bila dengan tergedik2nya menonton movienya secara bernafsu. Aku maklum terlebih dulu bahawa aku akan kecewa. Bahawa imaginasi aku akan musnah. Bahawa kerakusan aku terhadap new moon akan pudar. Tapi apakan daya, lakaran stephanie meyer terhadap susuk edward cullen terlalu mempesona. Maka aku pun membesarkan 2 biji mata, menonton sambil membaca subtitle english yang begitu durjana terjemahannya. Tuhan, rupanya aku 2 kali kecewa. Lebih kecewa berbanding selepas menonton versi filem ayat-ayat cinta.

*mengalirkan air mata*

Kerosakan kisah novel di dalam filem adalah satu pengkhianatan. Setidak-tidaknya kepada jalan cerita itu sendiri. Aku benci adaptasi novel ke filem. Betol2 benci ni. Benci benci!


Wednesday, July 16, 2008

Dari TTD ke AAC

Bukanlah sesuatu yang pelik pun apabila Faisal Tehrani (FT) mengaruk tentang apa saja. Lebih-lebih lagi sesuatu yang berkait tentang diri dan bidangnya. Rungutan terbaru beliau mengenai Ayat-Ayat Cinta (AAC) vs. Tunggu Teduh Dulu (TTD) membikin daku tersengih-sengih beberapa ketika. Tajuknya saje sudah begitu buatku teruja. Apatah lagi isinya. Daku malas la nak copy paste petikan-petikan rungutan tu. Sebab malas nak mintak izin dari tuan punya blog. Kalau rajin pi baca sendiri >> Tunggu Teduh Dulu & Ayat-ayat Cinta: Prasangka Pembaca, Panel Sastera dan Editor.


Daku meletakkan diri sebagai pembaca. TTD mula ku baca ketika ia tersiar dalam ruangan akhbar tempatan (tak ingat bila dan di mana) satu masa dulu. Daku mengikutinya setiap minggu tanpa jemu. Iya, ceritanya memang ku suka. Malangnya ketika itu TTD tidak dijual di pasaran. Hanya boleh dibeli melalui web dan talian. Maka daku yang agak kurang mengakses internet pada ketika itu memang tidak begitu peduli untuk mendapatkannya. Lebih-lebih lagi ketika itu daku tinggal di Kluang, Johor. Kepayahan mendapatkan apa-apa terbitan menyebabkan daku tak kisah sama sekali kalau terlewat membaca hasil karya terbaru pengarang yang diminati.

TTD memang indah. Sebab itu ia menyebabkan daku panasaran untuk membaca sambungannya. Kisah cinta takkan boleh lari dari pena pengarang mana pun. Begitu juga FT meski beliau tidak memasukkan perkataan cinta itu dalam setiap tajuk karyanya sebagaimana pengarang AAC. Kisah cinta dalam TTD memang manis. Latar TTD lebih cenderung kepada Malaysia. Bermakna semasa kita menguliti TTD, kita lebih menjiwai Malaysia, lebih menjiwai jati diri kita.

Manakala mengenai AAC pula telah daku ceritakan dalam entri sebelum ini >> Dari Salina ke Ayat-Ayat Cinta

Kenapa orang marah bila pembaca melebihkan karya luar? Ada banyak sebab. Tapi sebagai pembaca, mereka akan pertahankan hak dan kebebasan mereka. Bagi daku, ini bukan masalah kualiti dan pengarang semata. Banyak yang perlu dibahaskan. Kerajaan dan sistem yang kita guna pakai selama ini juga perlu disalahkan. Penerapan nilai budaya yang terlalu minima dari zaman sekolah telah membuatkan rakyat dihukum kerana tidak cintakan bangsa, bahasa bla bla bla. Kalau budak darjah 4 taktau siapa bapa kemerdekaan, siapa yang harus dipersalahkan? Nah, anda jawab sendiri.

TTD dan AAC keduanya diolah dengan teliti mengikut acuan masing-masing. Pengolahan mendalam seseorang penulis mengenai sesuatu yang berbentuk teknikal, saintifik, agama dll selalunya tidak membuat daku kagum pun. Hanya apabila pengolahan itu dilakukan secara halus tanpa menampakkan unsur-unsur menggurui, ringan dan mudah difahami dengan sekali baca, maka bagi daku pengarang itu memang super. Malah pengarang perlu ingat bahawa tidak semua pembaca itu rajin. Kalau meleret-leret mulalah pembaca mengantuk dan bosan. Sudahnya, bye bye la bab-bab yang seterusnya tu.

Bukan senang membandingkan sesebuah hasil karya apabila ianya mengaitkan 2 buah negara (Malaysia - Indonesia). Teringat rungutan Mass mengenai lirik lagu berbaur Indonesia. Selalunya perdebatan dalam isu sebegini memang akan ada yang mengaku "saya bercakap dari pandangan seorang pembaca/pendengar/peminat bla bla bla". Iya, sebenarnya itulah yang sepatutnya. Akhirnya hanya khalayak yang menentukan. Kerana mereka ada kuasa beli. Maka sejauh dan sehebat mana kritik dan komen golongan professional dalam bidang masing-masing pun, siapa yang boleh mempertikaikan kuasa beli pengguna yang akan menyumbang kepada isi poket pengarang, penyanyi, pencetak, penerbit, komposer dan yang sewaktu dengannya?


Sunday, July 13, 2008

Dari Salina ke Ayat-ayat Cinta

Saya membaca Ayat-Ayat Cinta (AAC) kira-kira setahun lalu. Setelah terlalu terpesona, saya bersetuju dengan kata-kata Pak Samad bahawa Hamka kecil telah lahir. Kalau emak dan ayah membawa bersama kenangan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, saya akan membawa kenangan AAC setelah Salina. Kehadiran Habiburrahman El Shirazy (Kang Abik) dalam dunia buku saya memang sangat bermakna kerana saya telah menambah satu lagi senarai penulis kegemaran yang akan saya nantikan keluaran karya barunya di kedai buku. Yang menggeramkan, Kang Abik senang membuat pembacanya resah dengan menulis dwilogi, trilogi dan entah apa-apa lagi. Susah sekali untuk puas dengan Kang Abik kerana kesukaannya yang satu ini. Mungkin terlalu mudah pula untuk Kang Abik menyusun ayat demi ayat sehingga menjadi lembaran panjang bagi sebuah cerpen lalu dinovelkan, atau terlalu panjang bagi sebuah novel lalu didwilogikan dan seterusnya. Kenapalah tidak dimampatkan sahaja ke dalam satu buku maka saya takkan terkebil-kebil di tempat tidur memikirkan apakah kesudahannya watak itu dan watak ini?




Sebelum Kang Abik, saya selalu terpenjara di antara karya-karya Faisal Tehrani (FT). Kerana FT adalah penulis bertaraf selebriti dan prolifik pula. Mengenai gaya penulisan, saya sebenarnya lebih gemarkan Saharil Hasrin Sanin kerana tulisannya lebih spontan dan segar. Tetapi Saharil telah menemui dunia baru. Dia lebih senang menconteng nampaknya. Saya juga pernah paling sukakan ruangan Rosie Menulis dalam Majalah Eh! beberapa tahun dulu. Sayangnya, sejak Rosie menjadi editor, jarang sekali dapat menemui luahan jujur Rosie berbanding tulisannya mengenai fesyen yang tidak saya minati. Ah rindu pula pada majalah-majalah Eh! lama di kampung.


Berbalik kepada karya FT, saya senang sekali dengan Cinta Hari-Hari Rusuhan, 1515 dan Surat-Surat Perempuan Johor. Mungkin kerana meminati sejarah tetapi jarang berpeluang menggalinya maka dengan adanya karya sebegini, sejarah bolehlah saya hadamkan macam makan kuaci.

Ada perbezaan di antara Kang Abik dengan FT. Namun jujur saya katakan, saya lebih menyenangi Kang Abik. Sebab bagi saya Kang Abik seperti bersahabat dengan pembacanya. Dia tidak menggurui, mesra, ramah dan tidak pantas menghukum. Saya pasti ramai lagi yang menyenangi karya Kang Abik kerana kalau tidak, takkan muncul Fenomena Ayat-Ayat Cinta. Lebih jelas, tidak akan muncul AAC di panggung.

Obsesnya saya pada karya Kang Abik ini sehingga saya berusaha mendapatkan karya versi asal (Bahasa Indonesia) meski telah membacanya dalam versi Bahasa Malaysia. Hal ini kerana kesegaran dan keindahan sesuatu karya sastera itu telah hilang sebaik ia diterjemah ke bahasa lain. Itulah yang menjadi masalah utama untuk saya mengunyah isi buku yang sepatutnya manis tetapi menjadi pahit oleh terjemahan. Jerihnya menghabiskan karya Dr. 'Aidh Bin Abdullah AlQarni, Ibn Hazm el-Andalusy, atau karya si kecil Randa Ghazy. Kerana isi bahasanya terlalu kelat dan saya merasa dungu untuk menelaah ayat demi ayat. Justeru memang menyenangkan kalau dapat membaca susunan dan gaya bahasa Kang Abik yang asli. Sayang sekali, toko buku online di Indonesia tidak melakukan penghantaran ke Malaysia. Kalau tidak, saya pasti terpaksa google currency exchange pula.

Meladeni novel AAC berulang kali tidak pernah menjemukan. Kalau ditanya watak siapa yang paling saya suka di dalamnya, sudah tentu Maria. Saya juga menyenangi Aisha. Justeru saya sangat sakit hati apabila watak wanita mulia ini 'digedikkan' dalam filemnya. Dua perkara yang saya sukai berkenaan filem AAC adalah Fedi Nuril ldan lagu Jalan Cinta. Selebihnya saya bersetuju dengan satu pandangan yang mengatakan lebih baik menonton Mira Edora berbanding lemas oleh pengkhianatan Hanung terhadap AAC.


Saturday, April 12, 2008

Detektif Indigo Kembali

Saya membeli novel ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Setiap tahun saya akan cuba untuk tidak terlepas acara ini. Malah kehadiran saya ke PWTC kali ini dengan tujuan yang lebih jelas. Bukan sekadar berlegar di situ sepanjang hari sebaliknya fokus untuk mendapatkan novel Faisal Tehrani (FT). Maka sebaik sahaja mendapatkan novel tersebut, saya terus pulang. Saya juga berkesempatan berjumpa dengan FT. Saya tahu dia tidak cam saya lagi. Semasa menandatangani novel yang saya beli, FT bertanyakan nama. Dan saya tidak terkejut yang dia masih ingat nama saya walaupun tidak ingat rupa saya (katanya saya sangat ‘lain’ kini). Memang ramai orang mudah meningati nama saya yang unik ini (thanks kepada mak dan ayah) berbanding rupa saya yang biasa-biasa. Hehe.


Detektif Indigo Kembali merupakan novel ketiga dalam siri Detektif Indigo. Oh saya mencampakkan novel ini entah di mana-mana selama beberapa hari sebelum mula mengunyah isinya. Kerana mahu benar-benar meladeni isi novel ‘word by word’, saya kini lebih suka bersabar dalam pembacaan. Oleh kesibukan dan kemalasan, saya memilih untuk membaca sekurang-kurangnya satu bab sebelum masuk tidur atau ketika menjamu lunch setiap hari. Satu sikap pemalas yang tidak boleh dimaafkan. Oh!

Saya sememangnya rindukan sebuah siri novel khas remaja yang boleh dibaca oleh segenap lapisan umur dan setanding siri Harry Potter. Dan ia mestilah karya asal yang ditulis dalam Bahasa Malaysia. Novel ini pastinya sangat hebat sehingga boleh membuat saya terbayang-bayang akan setiap wataknya di realiti dan kemudian timbul pula keinginan untuk menyambung ceritanya dalam versi saya sendiri. Itulah apa yang selalu saya lakukan selepas membaca novel atau menonton sesebuah filem yang hebat atau menyeronokkan di peringkat penilaian saya.

Di antara siri Detektif Indigo, novel ketiga ini lebih ‘mengghairahkan’. Perkataan ghairah saya gunakan bagi sebarang tulisan yang mampu membuat saya menjadi rakus untuk menghabiskan isinya secepat mungkin. Satu kelemahan saya, sentiasa sabar dan tekun di awal dan pertengahan cerita, namun rakus di penghujung. Saya sering tidak meladeni novel dengan baik di penghujung.

Saya kira dalam Detektif Indigo Kembali, FT mengalami masalah yang hampir serupa dengan masalah saya di atas. Sabar dan tekun di awal dan pertengahan, namun rakus di penghujung. Kekemasan dan keindahan plot di awal dan pertengahan telah dimusnahkan pada bahagian penamat. Seolah-olah kalau sedang berlumba lari, ia bermula dengan baik, tidak terlalu laju atau perlahan, tetapi begitu pantas ke penamat dan selepas itu tersembam.

Saya turut mendapati FT mempunyai watak favouritenya sendiri. Saya kira Chen Chung dan Mihrimah Maryam kerap muncul dalam banyak plot ceritanya. Mungkinkah kerana mereka mempunyai kuasa telepati dua hala, maka perwatakan mereka lebih senang diketengahkan memandangkan suara hati mereka boleh didengar? Saya kepingin mendampingi watak Rabiah Zaitun dengan lebih lanjut. Bagaimana isi hati wanitanya, kecekapannya juga tahap indigonya. Begitu juga dengan Isamu Nakamura dan Ruzbihan.

Watak-watak baru yang dibawa FT dalam siri kali ini tidak kurang menarik. Saya jadi sungguh-sungguh rakus untuk mendampingi watak Hasan dan Husin yang awalnya kelihatan misteri. Sayang sekali misteri itu tidak terus menambah misterinya lebih-lebih lagi novel ini menampakkan kemunculan sambungannya kelak. Apakah watak kembar misteri ini akan dikembangkan pada siri akan datang ataupun dimatikan begitu sahaja? Saya percaya FT tidak akan begitu mudah membuang watak yang cukup menarik ini.

Namun siri Detektif Indigo bagi saya tetap satu kebanggaan. Dalam pada penulis Bahasa Malaysia cuba melahirkan banyak novel remaja dan kanak-kanak, sekali lagi, garapan FT akan mengungguli dari segi kualiti. Iya, kualiti sesuatu karya tidak akan menjadi faktor besar untuk menarik ramai pembaca. Namun harus diakui, karya FT yang selalu ambitious sebiginilah yang menempatkan FT sebagai penulis prolifik muda yang tersohor meski hanya di kalangan pengikut sastera dan penulisan Bahasa Malaysia.

Saya mahu sekali mengelaskan siri Detektif Indigo sebagai Harry Potter Malaysia. Sayang, ia belum mencapai tahap itu. Saya perlu terus menunggu.