Showing posts with label seni. Show all posts
Showing posts with label seni. Show all posts

Wednesday, February 1, 2012

Ahmad Al Kebab

Buku yang paling senang nak baca. Cepat dan mudah. Tak perlu banyak fikir, tak perlu mengulang perenggan, tak perlu bukak Kamus Dewan. Pendek kata, senanglah!

Itulah Almad Al Kebab. Karya Wan Azlan - sebuah novel parodi, baca tak kering gusi.


credit gambar kepada KakWa (kakaknya dr. sudugarpu).

Akhir-akhir ini, istilah parodi jadi terkenal. Menurut Kamus Dewan Online, parodi adalah karya sastera, seni, dsb yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yg me­lucukan atau menyindir.

Novel ini bermula dengan watak Dimanosajo, seorang warga Thailand yang menjalankan perniagaan kebab sebagai punca rezeki di Kota Permaisuri. Unsur parodi hanya muncul dengan meluas (dan jelas) selepas terhentinya (seketika) watak Dimanosajo yang awalnya disangkakan sebagai watak utama dalam karya ini.

Parodi bermain di sekitar watak Sediakawal, Sakurakura, Sihuruhara, Mergastura, Murrahan dan Sifar. Kambing menjadi burung unta. Pening lalat menjadi Tahi Lalat. Sayuran menjadi ikan. Pintu menjadi perut (penyebab kepada munculnya Al Kebab).

Ya. Ahmad Al Kebab memparodikan Ahmad Albab.

Selain sesuai sebagai bacaan pelbagai peringkat umur, Ahmad Al Kebab boleh menjadi permulaan bagi yang mahu bermula atau mahu kembali berjinak2 kepada naskah penuh teks.

Mari jadi manusia lively.


Friday, December 17, 2010

Essei Film Critics 2005

Entri ini dedikasi untuk put sebab memuji saya (puji ke?) dalam satu entri di blog beliau mengenai essei film untuk subjek film critics di msu pada tahun 2005. Selain Mr. Norman yang vogue dan kelasnya yang tak ubah seperti sardin dalam tin, kejadian bertukar-tukar pringles (yang kemudian diketahui tiada logo halal) semasa sesi menonton filem juga adalah detik-detik terindah sepanjang menjadi pelajar universiti.

Esei 13 muka surat ini adalah satu tulisan serius kerana ianya merupakan assignment yang menyumbang kepada A untuk subjek ini (Alhamdulillah). Semoga bermanfaat.

Monsoon Wedding: Mengangkat Nilai Sosial Dan Budaya Masyarakat Di India

Ideologi dalam konteks filem secara amnya bermaksud kepercayaan atau fahaman. Dengan kata yang lebih luas, ideologi merupakan satu set idea dan kepercayaan yang didokong oleh seseorang individu, kumpulan, kelas dan masyarakat. Secara umumnya, ideologi dalam filem boleh dipecahkan kepada bangsa/etnik, kelas sosial, umur, agama dan jantina. Esei ini akan memberi kritikan berkenaan aspek ideologi dalam filem Monsoon Wedding.


India di dalam Monsoon Wedding mendekati India yang asli – masyarakat pelbagai agama, pertembungan antara budaya lama dan gaya hidup kontemporari, dan tentu saja tidak mengetepikan realiti sistem kelasnya (1). Filem arahan Mira Nair ini mengangkat kehidupan kontemporari masyarakat Punjabi di bandar Delhi dengan pendekatan terhadap budaya dan cara hidup masyarakatnya secara maksimum.

Sejak permulaan filem, cerminan terhadap kehidupan masyarakat India terutamanya di bahagian utara ditonjolkan melalui penggunaan bahasa yang pelbagai. Watak-wataknya yang begitu fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris sememangnya memberi gambaran yang tepat terhadap penduduk di bandar itu yang begitu banyak menggunakan bahasa bekas tinggalan penjajah British sebagai bahasa komunikasi harian. Memang benar, penggunaan Bahasa Inggeris di India cukup dominan malah terdapat antara rakyatnya yang lebih fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris berbanding bahasa kebangsaan mereka sendiri, Bahasa Hindi. Namun ini tidak bermakna bahasa ibunda itu dilupakan terus. Watak-watak yang mewakili generasi lama atau veteran dalam filem ini didapati banyak bertutur dalam Bahasa Hindi selain turut menyelitkan Bahasa Punjabi sekali-sekala. Malah pada satu-satu masa, watak-watak dalam filem ini akan bertutur dalam ketiga-tiga bahasa tersebut langsung menambahkan kesan realistik masyarakat India Delhi masa kini(1).

Perlambangan watak sebagai budaya boleh diketengahkan bagi menggambarkan kedudukan sosial dan budaya masyarakat India di dalam filem ini. Meneropong ke dalam kehidupan sebuah keluarga dari kelas menengah bawah di Delhi, Lalit (Naseeruddin Shah) merupakan ikon seorang bapa yang resah memikirkan persiapan perkahwinan anak perempuannya Aditi (Vasundhara Das) yang memakan belanja besar dengan kewangan yang terhad (1). Apatah lagi, upacara perkahwinan dalam msyarakat Punjabi merupakan satu temasya yang besar dan penting di mana ia menghimpunkan sanak saudara dan kaum keluarga dari jauh dan dekat. Pelaburan yang besar untuk satu upacara perkahwinan bukanlah suatu yang pelik jika dibincangkan dalam konteks masyarakat India.

Persiapan yang besar digambarkan dengan wujudnya watak P.K. Dubey (Vijay Razz) perunding majlis perkahwinan yang menguruskan segala hal dari penyediaan khemah dan segala perhiasannya. Permintaan besar dari Lalit untuk menyempurnakan majlis perkahwinan anaknya itu sehingga beliau sendiri terpaksa meminjam untuk mencukupkan segala perbelanjaan. Lalit ingin memastikan segala persiapan adalah yang terbaik supaya majlis berjalan dengan sempurna untuk menjaga air muka keluarga di hadapan pihak lelaki di samping menjaga statusnya dalam kumpulan sosial yang beliau sertai.

Watak Aditi pula menjelaskan gadis kontemporari India yang memiliki cinta di luar pengetahuan ibu bapanya tetapi sanggup menerima perkahwinan yang diatur kerana percaya kisah cintanya tidak akan membawa ke mana-mana. Meski terbelenggu dengan desakan emosi sendiri, Aditi tetap mengharungi apa sahaja yang diaturkan untuknya sebagai rasa hormat dan kasih terhadap keluarga yang membesarkannya selama ini. Aditi juga menjadi gambaran gadis India moden yang bersifat terbuka, jujur dan bijak apabila dia tanpa memerlukan masa yang panjang mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Vikram dan mengambil risiko berterus-terang dengan bakal suaminya Hemant (Parvis Dabas).

Delhi yang digambarkan oleh Nair dalam Monsoon Wedding adalah begitu jelas. Suasana bandarnya yang sesak, kecoh, hingar-bingar, panas, hiruk-pikuk, bising dan berdebu menjadi latar tempat dalam banyak adegan yang ditunjukkan berkali-kali dari waktu pagi, tengah hari, senja sehinggalah menjelang malam. Delhi yang dipenuhi manusia sepanjang waktu ini merupakan cerminan negara India sebagai sebuah negara yang mempunyai peratus kepadatan penduduk yang terbesar di dunia.

Elemen muzik, lagu dan tarian dengan masyarakat India ternyata tidak boleh diasingkan. Tidak seperti filem-filem Bollywood, Nair telah memanfaatkan elemen muzik, lagu dan tarian dalam filem ini tanpa dipaksa-paksa lantas memperlihatkan kesan realistik padanya.

Penggunaan muzik dan lagu adalah dari lagu-lagu klasik, lagu-lagu lama kepada lagu-lagu moden di mana kebanyakannya adalah lagu-lagu tempatan. Penonton mungkin sedar bahawa lagu-lagu yang terdapat dalam filem ini juga diambil daripada filem-filem Bollywood yang lain. Adegan menyanyi secara spontan boleh dilihat ketika ahli keluarga berkumpul bersama pada malam selepas majlis pertunangan Aditi dan Hemant. Apabila salah seorang ahli keluarga mula menyanyikan bait-bait lagu, ianya disambut oleh beberapa ahli keluarga yang kemudian turut sama menyanyi dan menari. Malah seluruh ahli keluarga boleh menyanyikan lagu Gori Gori Banki Chori yang merupakan lagu daripada filem Bollywood lama termasuklah anak-anak muda yang secara luarannya kelihatan tidak menonjolkan ciri-ciri anak tempatan. Ini menjelaskan betapa kuatnya elemen muzik dan betapa berkesannya pengaruh filem Bollywood dalam hati masyarakat India secara umum.

Penggunaan elemen muzik yang agak banyak dan pelbagai ini memberi seolah-olah satu kepuasan bagi penonton untuk menterjemahkan keunikan budaya masyarakat India yang begitu akrab dengan lagu-lagu dan bunyian. Lagu tradisional contohnya dinyanyikan sewaktu upacara berinai yang dihadiri oleh kaum wanita yang sekali-sekala akan berlagak seperti lelaki. Lagu klasik pula dialunkan dengan begitu gemersik pada malam hari menceritakan kesedihan anak gadis untuk berangkat keluar dari rumah ibu bapanya setelah berkahwin kelak. Manakala lagu rancak yang lebih moden ditarikan dengan meriah pada malam sebelum upacara perkahwinan berlangsung dan ketika upacara perkahwinan sendiri. Muzik dan lagu seolah-olah menjadi satu simbol pengukuhan masyarakat ini di mana ianya menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka (2).

Upacara perkahwinan Aditi dan Hermant yang meriah dan perkahwinan kecil-kecilan P.K. Dubey dan Alice (Tilotama Shome) yang berselang-seli antara keduanya memperlihatkan perbezaan kelas atau kasta sosial India secara tidak langsung. Persoalan tentang kelas ini turut boleh dilihat sewaktu adegan Alice cuba bergaya dengan aksesori milik majikannya semasa mengemas salah sebuah bilik. Keinginan Alice yang besar dengan kemampuannya yang terbatas ini diperhatikan oleh P.K. Dubey dan pekerja-pekerjanya yang kemudian menganggap perbuatannya itu sebagai cubaan mencuri. Watak Alice digarap sebagai seorang wanita pendiam, pemalu, berpenampilan suram, tidak cantik, tidak mengenakan sebarang solekan, yang mana merupakan gambaran watak seorang pembantu rumah. Ini termasuklah keadaan rumah P.K. Dubey yang kecil, kosong, tidak cantik dan kekampungan meski berada di tengah-tengah ibu kota Delhi. Semua ini menceritakan secara tidak langsung akan perbezaan taraf kehidupan berdasarkan kasta dalam masyarakat meskipun mereka masih mampu berada dalam satu bumbung dan saling bergaul mesra.

Nair turut memanfaatkan elemen warna semaksimum mungkin untuk menggambarkan kerencaman manusia dalam masyarakat ini. Paling ketara, warna-warna garang dan terang banyak dipakai oleh watak-watak wanita terutamanya. Ia adalah simbol kepada kemeriahan, kemewahan dan keceriaan dalam masyarakat itu sendiri. Malah dalam satu adegan Lalit tidak bersetuju apabila P.K. Dubey mahu menyediakan khemah berwarna putih dan meminta menggantikannya dengan warna merah menguatkan lagi gambaran kepercayaan mereka terhadap warna sebagai salah satu simbol dalam kehidupan.

Pakaian dalam filem ini merupakan satu perbincangan yang lebih menarik. Penonton boleh melihat bagaimana sebahagian besar watak-wataknya dipakaikan dengan kostum-kostum yang dengan secara jelas menggambarkan identiti bangsa India itu sendiri. Ia turut memberitahu kita bahawa masyarakat India begitu akrab dengan pakaian tradisi mereka seperti salwar dan kurta berbanding pakaian-pakaian ala barat yang lebih banyak dipakai di mana-mana negara Asia yang lain. Sari, kurta dan salwar dipakai ke mana-mana sahaja. Majlis rasmi, upacara keagamaan, ke luar berjalan hatta membuat kerja di dapur sekalipun, pakaian-pakaian kebangsaan ini tidak pernah dipinggirkan(2).

Keunikan budaya India yang tidak terdapat dalam budaya mana-mana bangsa di dunia yang lain tentunya pada budaya menyentuh kaki yang seakan-akan menyembah orang yang lebih tua atau berpangkat lebih tinggi dalam keluarga untuk memohon restu. Setelah itu, orang yang diberi penghormatan itu akan meletakkan tangan ke atas kepala oarang yang menyentuh kakinya sebagai tanda memberi restu. Sebagaimana filem-filem Bollywood lain mahupun filem-filem berkisar masyarakat India, tradisi ini tidak pernah ditinggalkan kerana ia merupakan cerminan paling berkesan untuk menggambarkan masyarakat ini. Lebih menarik, sewaktu adegan tari-menari, ada watak-watak yang memusing-musingkan duit di atas kepala penari atau mana-mana ahli keluarga sebelum melemparkan duit tersebut, juga sebagai tanda restu mereka(2).

Mengetengahkan watak adik Aditi, Varun (Ishaan Nair), yang mempunyai minat yang agak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya akan mempersoalkan keterbukaan golongan ibu bapa di India untuk menerima perubahan dalam dunia mereka. Mungkin tidak ada janggalnya bagi seorang lelaki untuk menjadi tukang masak profesional di mana-mana negara lain seperti di Malaysia atau negara-negara barat tetapi gambaran yang diberikan Nair melalui Monsoon Wedding menerangkan betapa keadaan ini masih sukar diterima oleh masyarakat India. Budak lelaki yang bercita-cita menjadi tukang masak mungkin dianggap lelaki lembut, lembik dan sebagainya.

Hal yang sama turut memperjelaskan berkenaan pemikiran masyarakat India apabila Nair cuba melontarkan kritik sosialnya tentang isu sumbang mahram yang masih dianggap tabu dan selalu disembunyikan dalam masyarakat ini(1). Hal ini digambarkan melalui watak Ria (Shefali Shetty) yang mengalami trauma oleh kejadian dirinya dirogol oleh pakciknya pada usia yang masih kecil(1).

Kepelbagaian agama dan perkahwinan campur yang berleluasa di India ditonjolkan secara halus dan hampir tidak kelihatan dalam filem ini. Alice, penganut Kristian yang berasal dari Bihar mengahwini P.K. Dubey yang beragama Hindu yang dilakukan melalui upacara agama Hindu pada akhir cerita. Malah penyelitan bangunan masjid di tengah bandar secara tidak langsung menceritakan tentang terdapatnya kepelbagaian anutan agama dalam negara tersebut.

KESIMPULAN

Kritikan terhadap aspek ideologi budaya masyarakat dan sosial dalam filem Monsoon Wedding telah memberi gambaran yang cukup jelas melalui garapan yang dibuat dalam filem ini. Monsoon Wedding merupakan gambaran India yang begitu tulen dan telus dengan mengangkat gaya hidup masyarakat Punjabi moden di tengah-tengah bandar Delhi.

Persoalan terhadap ideologi ini dilihat daripada beberapa sudut termasuklah penggunaan bahasa dan watak-watak di dalam filem. Masyarakat India dalam Monsoon Wedding dilihat bertutur dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Hindi dan Bahasa Punjabi. Dari segi watak, Lalit digarap sebagai ikon bapa dalam masyarakat India yang stereotaip manakala watak gadis India moden yang menghormati keputusan ibu bapa ditonjolkan melalui watak Aditi.

Suasana kehidupan masyarakat India di Delhi diperlihatkan secara jelas dengan adegan latar bandarnya. India yang padat dengan manusia ini begitu sesak, sempit dan bising sekaligus menggambarkan sikap masyarakat itu sendiri.

Penggunaan elemen muzik, lagu-lagu dan tarian yang secara spontan merupakan perlambangan terhadap keakraban budaya India dengan elemen yang disebutkan tadi. Kesan yang diberikan begitu ketara apabila kita sebagai penonton turut terbawa-bawa oleh kerancakan muzik dan lagu-lagu yang terdapat di dalamnya.

India dan sistem kasta adalah isu yang paling sinonim di mana persoalan ini ditonjolkan secara halus. Cerminan terhadap India melalui isu ini memberitahu bahawa dalam era masa kini yang sepatutnya bersifat terbuka, kedudukan kelas dan kasta masih berleluasa dalam masyarakat di India.

Elemen warna turut menjadi gambaran masyarakat India yang gemarkan warna-warna ceria dan terang dalam apa jua keadaan tidak kira pakaian mahupun perhiasan dalam upacara dan perayaan. Warna-warna ini mencerminkan keghairahan masyarakat ini dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Selain itu, pakaian adalah cerminan identiti paling ketara dalam filem ini. Penggunaan pakaian-pakaian tradisi secara maksimum seolah-olah merupakan satu kebanggaan dan dedikasi pengarah filem ini terhadap negaranya.

Keunikan budaya India yang mana warga muda akan menyentuh kaki warga tua sebagai memohon restu ada diselitkan dalam filem ini. Hal ini merupakan satu kemestian yang tidak boleh ditinggalkan kerana ia adalah gambaran asas mengenai budaya tradisi India.

Persoalan pemikiran masyarakat India yang mula membangun dan kadang kala masih sempit dalam beberapa perkara boleh dilihat contohnya berkenaan cita-cita seorang remaja lelaki untuk menjadi tukang masak dan isu sumbang mahram yang dianggap begitu memalukan bagi si mangsa.

Akhir sekali, filem ini turut menceritakan kepelbagaian anutan dan kepercayaan agama yang terdapat dalam masyarakat India meski mereka hidup sebagai satu bangsa yang sama dan dari rumpun yang serupa.

Kesimpulannya, persoalan ideologi berkenaan budaya dan kemasyarakatan yang begitu menyeluruh dalam filem Monsoon Wedding ini telah memungkinkan penonton untuk berkongsi pengalaman dan memahami tradisi kebudayaan India dengan begitu jelas.

RUJUKAN

1. Noor Azam Shairi, Filem Bollywood Gaya Mira Nair, Enjin Carian Utusan Online, www.utusanonline.com.my

2. Culture of India - Wikipedia, the free encyclopedia, http://en.wikipedia.org


Monday, January 4, 2010

Gema Zafana - Kebanggaan Warga Johor


Date: 29 December 2009

Kalau bercakap pasal zapin, otomatik aku akan rasa bangga gilos menjadi warga johor. Tetiba berkobar-kobar ngaku orang johor. Aku ni bukan le jenis yang suka nak expose2 kan diri nak jadi orang glamer dengan menari, tapi kalu ada show zapin, mmg aku suka sgt tgk. Even masa wedding aku dulu pun ambik budak2 zapin. Dah kata suka kan... heh heh!

Alhamdulillah tercapai jugak hasrat terpendam bertahun aku nak tgk gema zafana. Dulu masa Yayasan Warisan Johor  (YWJ) buat show yang sama pada tahun 2004, aku tak dapat pegi sebab takde geng. Hohoh! Dan tahun ni, awal2 aku dah tau akan ada show ni pada penghujung tahun sebab dah cek kalender Istana Budaya (IB). Walaupun mengah ngan perut 34 minggu aku ni, aku tetap gagahkan diri untuk pegi.

Nasib baik masa beli tiket masih ada seat kat Stalls pada tarikh yang aku plan nak pegi. Kalu tak, sangap lagi la kena tgk show dari Upper Circle macam masa tgk teater muzikal P.Ramlee n PGL dulu. Aku pegi show hari terakhir. Bertembung la tgk show dengan Tun Mahathir, Tun Siti Asmah, Ghani Othman (MB Johor) dan beberapa orang penting negeri Johor yang aku tak kenal sangat. Pengalaman aku tgk Tun secara in person ni... alahai.... walaupun aku cukup menyampah ngan Tun, tapi bila tgk dia secara live, depan bijik mata, aku hanya melihat seorang tua yang telah berjasa. Sungguh!

Pegi show kebudayaan kat IB ni memang tak sama macam gi tgk teater popular. Aku dah agak majoriti audien akan well-dressed sebab masa ku gi tgk show YWJ yang lain iaitu keroncong pada pertengahan 2004, mmg gitew. Sebab tu masa gi tgk teater aku dok pelik apsai ramai pakai sempoi2, siap pakai jeans ngan t-shirt jes. Ohoh. Memula aku dah kata ngan asben, pakaila baju batik sebab aku konpiden ramai pakai baju batik. Tapi dia tamau, takut terover plak. Tapi bila sampai IB je, ha... i told u, mmg macam gi kenduri kawen kat hotel besar2! Tambah lagi ada VVIP. Amek kau!

Kalau nak suh cite pasai zapin, i tell u aku mmg tatau sgt. Almost zero! Yang aku tau sket2, zapin ni asalnya dari Yaman. Kemudian dah serap ngan budaya Melayu sampai jadik macam2 jenis zapin. Antara zapin yang dipersembahkan malam tu ialah Dodoi Anak, zapin Syahadat, Semerah Padi, zapin Berperi, Renjis Direnjis, zapin Sarawak, zapin Pekan, zapin Kota Iskandar, zapin Budi dan lain-lain (sumber Utusan Malaysia).


Opening Gema Zafana memang gempak abes. Kembang2 idung aku ngan rasa bangga. Tapi pastu agak meleret n bosan masa lagu2 slow. Second half lebih enjoy sebab penuh ngan zapin rancak. Bila tengok ada group India ngan Cina kuar, aku cam bley baca je, pasni mesti ada geng hiphop. Aik betul plak tuh! Hahah. Secara umum, aku mmg cam dapat baca susunan show ni, even aku tak mahir langsung pasal zapin. Bagi aku show n terlalu lama dan meleret. Sebahagian lagu2 yang dibawa bukan lagu yang popular menyebabkan orang cam aku n bosan sket. Tambah2 lagi, semua lagu nak abeskan lirik. Ada yang ulang2 corus plak, menyebabkan lagi la lambat nak abes. Patut satu lagu bwat pendek n ringkas je dah cukup. Yang penting mesej sampai n audiens terhibur n tak nguap. Zzzz... maklumla, malam hari keje... hee.


Satu lagi aku rasa IB dah kena wat renovation besar-besaran la. Seatnya sangat sempit n tak selesa. Sian abg asben aku balik ngan sakit2 pinggang. Dah le dia tak paham n tak enjoy sgt sepanjang show. Rimas aku dengar dia mendengus. Len kali gi show kebudayaan, malas aku nak bawak dia lagi. Ngeh ngeh! Ow ye, sound system juga teramat la kuat n membingitkan, dulu tak penah aku g IB sound dia gini. Memang spoil abes la.

Gambar2 pulak memang tak banyak sebab aku sampai masa show dah nak start sgt n balik sebaik saje show tamat sebab esoknya kena keja. Show dari 8.30 mlm (lambat sket start sebab Tun sampai lambat) n habis kul 11.50mlm (pun sebab VVIP lambat masuk hall masa second half).

Heheh. Yang lain2 aku curik dari blog Jari Jari Bercerita. Mana la dia amek gambo2 ni, kalau dia snap sndri mmg i tabik u pasai aku mmg tak berani nak angkat camera masa show berjalan. Maklumla, aku kan penonton berhemah. Auw!

saye: anak wilayah yang selalu bangga dengan johornya :)


Tuesday, February 10, 2009

PGL - Cinta Laksamana dan Puteri Yang Tidak Dirasakan

Andai tidak kerana produksinya yang bukan calang-calang, juga kerana pelakonnya bertaraf jaguhan, rasanya tidak sanggup melaburkan ringgit bagi kerusi paling murah untuk menonton dari sudut yang paling menyeksakan. Kelekaan dan sikap bertangguh memang mendatangkan akibat. Namun mujur, pementasan PGL dengan kemunculan Tiara yang terakhir ini sekurang-kurangkan dapat juga disaksikan.


Permulaan yang mantap meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap perjalanan pementasan ini. Keseluruhan separuh masa pertama dipenuhi dengan latar Majapahit yang pekat dengan suasana dan muzik Jawa. Agak bosan juga rasanya setiap kali berlangsungnya adegan cinta antara Puteri dan Laksamana. Entah kenapa, mungkin tiada keserasian antara keduanya. Tiada emosi yang sampai. Malahan saya berkali meminta diri supaya bersabar kerana percaya, apabila pementasan melangkah ke separuh masa kedua, latar cerita yang berpindah ke Melaka akan menjadi lebih baik. Mujurlah pegunaan magis dan ilusi yang diselitkan berjaya menyelamatkan pementasan ini daripada terus meredupkan hati saya yang telah berkobar lama dari saat membeli tiket. Dan yang paling mengesankan adalah lakonan dan nyanyian Bayan oleh Ida Mariana. Oh, two thumbs up!


Tidak seperti Teater Muzikal P. Ramlee, PGL sama sekali tidak banyak menggunakan prop. Prop pelbagai guna rekaan Raja Malik sememangnya praktikal kerana sentiasa berubah-ubah antara stupa, keraton dan gunung tetapi apabila berulang kali digunakan, menimbulkan perasaan bosan sehingga saya merasa muak dan berdoa semoga prop itu dibawa masuk dan tidak akan digunakan lagi.


Saya berharap akan jatuh cinta pada Hang Tuah. Namun, kemunculannya yang tidak gah ditambah kekangan yang saya hadapi di tempat duduk menyukarkan saya menyeluruhi raut tampan sang laksamana. Mujur, cinta saya pada Hang Tuah terbit melalui nyanyian mantapnya. Superb! Suara Stephen Rahman-Hughes mengatasi lakonannya yang jangan tidak itu. Mungkin ciri kemelayuan tidak ada pada Stephen dan sejujurnya cinta saya tidak lebih hanya pada rautnya yang tajam memikat. Hehehe!

Pujian harus diberikan pada AC Mizal dan Adlin Aman Ramli kerana tanpa keduanya, PGL seakan tidak bernyawa. AC Mizal sememangnya lebih menyerlah di pentas teater. Watak gila-gila dan riangnya hilang ditelan bengis Gusti Adipati Handaya Ningrat. Adlin pula berjaya menyuntik mood berbeza melalui watak Sultan Mahmud Melaka berbanding yang dilakukannya di dalam filem.


Selebihnya, saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak mampu menyelami cinta agung sebenar di dalam teater muzikal PGL ini. Menonton dari sudut tepi dan paling atas sekaligus mengecilkan ruang pandangan di beberapa sudut terutamanya bahagian paling hadapan pentas dan paling belakang pentas menyebabkan saya terpaksa menjenguk-jenguk dan ketinggalan dalam banyak adegan kerana tidak nampak atau tidak jelas. Saya kira, upper circle di IB adalah satu kerugian paling besar bagi penonton dan pembuat teater kerana sungguh, tidak akan ada pementasan atau persembahan berkualiti yang akan sampai ke atas sana. Saya memang patut kesal berkali-kali kerana masih gagal menghayati teater sepenuhnya kerana tidak dapat melihat wajah dan ekspresi pelakon sendiri apatah lagi mahu merasai emosi mereka. Pengajaran berulang kali, sila beli tiket untuk Grand Circle 2 supaya boleh berada selaras dengan pentas sekaligus menonton pementasan dengan lebih fokus dan beremosi.

Secara peribadi, saya lebih berpuas hati dengan pementasan Teater Muzikal P. Ramlee yang lalu. Tetapi untuk menyalahkan PGL sepenuhnya adalah tidak adil kerana sebagai penonton tiket paling murah, rasanya saya tidak layak mengkritik.


Wednesday, July 16, 2008

Dari TTD ke AAC

Bukanlah sesuatu yang pelik pun apabila Faisal Tehrani (FT) mengaruk tentang apa saja. Lebih-lebih lagi sesuatu yang berkait tentang diri dan bidangnya. Rungutan terbaru beliau mengenai Ayat-Ayat Cinta (AAC) vs. Tunggu Teduh Dulu (TTD) membikin daku tersengih-sengih beberapa ketika. Tajuknya saje sudah begitu buatku teruja. Apatah lagi isinya. Daku malas la nak copy paste petikan-petikan rungutan tu. Sebab malas nak mintak izin dari tuan punya blog. Kalau rajin pi baca sendiri >> Tunggu Teduh Dulu & Ayat-ayat Cinta: Prasangka Pembaca, Panel Sastera dan Editor.


Daku meletakkan diri sebagai pembaca. TTD mula ku baca ketika ia tersiar dalam ruangan akhbar tempatan (tak ingat bila dan di mana) satu masa dulu. Daku mengikutinya setiap minggu tanpa jemu. Iya, ceritanya memang ku suka. Malangnya ketika itu TTD tidak dijual di pasaran. Hanya boleh dibeli melalui web dan talian. Maka daku yang agak kurang mengakses internet pada ketika itu memang tidak begitu peduli untuk mendapatkannya. Lebih-lebih lagi ketika itu daku tinggal di Kluang, Johor. Kepayahan mendapatkan apa-apa terbitan menyebabkan daku tak kisah sama sekali kalau terlewat membaca hasil karya terbaru pengarang yang diminati.

TTD memang indah. Sebab itu ia menyebabkan daku panasaran untuk membaca sambungannya. Kisah cinta takkan boleh lari dari pena pengarang mana pun. Begitu juga FT meski beliau tidak memasukkan perkataan cinta itu dalam setiap tajuk karyanya sebagaimana pengarang AAC. Kisah cinta dalam TTD memang manis. Latar TTD lebih cenderung kepada Malaysia. Bermakna semasa kita menguliti TTD, kita lebih menjiwai Malaysia, lebih menjiwai jati diri kita.

Manakala mengenai AAC pula telah daku ceritakan dalam entri sebelum ini >> Dari Salina ke Ayat-Ayat Cinta

Kenapa orang marah bila pembaca melebihkan karya luar? Ada banyak sebab. Tapi sebagai pembaca, mereka akan pertahankan hak dan kebebasan mereka. Bagi daku, ini bukan masalah kualiti dan pengarang semata. Banyak yang perlu dibahaskan. Kerajaan dan sistem yang kita guna pakai selama ini juga perlu disalahkan. Penerapan nilai budaya yang terlalu minima dari zaman sekolah telah membuatkan rakyat dihukum kerana tidak cintakan bangsa, bahasa bla bla bla. Kalau budak darjah 4 taktau siapa bapa kemerdekaan, siapa yang harus dipersalahkan? Nah, anda jawab sendiri.

TTD dan AAC keduanya diolah dengan teliti mengikut acuan masing-masing. Pengolahan mendalam seseorang penulis mengenai sesuatu yang berbentuk teknikal, saintifik, agama dll selalunya tidak membuat daku kagum pun. Hanya apabila pengolahan itu dilakukan secara halus tanpa menampakkan unsur-unsur menggurui, ringan dan mudah difahami dengan sekali baca, maka bagi daku pengarang itu memang super. Malah pengarang perlu ingat bahawa tidak semua pembaca itu rajin. Kalau meleret-leret mulalah pembaca mengantuk dan bosan. Sudahnya, bye bye la bab-bab yang seterusnya tu.

Bukan senang membandingkan sesebuah hasil karya apabila ianya mengaitkan 2 buah negara (Malaysia - Indonesia). Teringat rungutan Mass mengenai lirik lagu berbaur Indonesia. Selalunya perdebatan dalam isu sebegini memang akan ada yang mengaku "saya bercakap dari pandangan seorang pembaca/pendengar/peminat bla bla bla". Iya, sebenarnya itulah yang sepatutnya. Akhirnya hanya khalayak yang menentukan. Kerana mereka ada kuasa beli. Maka sejauh dan sehebat mana kritik dan komen golongan professional dalam bidang masing-masing pun, siapa yang boleh mempertikaikan kuasa beli pengguna yang akan menyumbang kepada isi poket pengarang, penyanyi, pencetak, penerbit, komposer dan yang sewaktu dengannya?


Tuesday, July 1, 2008

P. Ramlee The Musical

Sabtu hari cuti dan daku terpaksa bangun awal. Berkemas lebih kurang, siap-siap langsung ke Putrajaya umah kawan mak ku memenuhi undangan lunch come gathering dorang. Aku, encik asben dan acucute tompang sekaki sebab kami ada plan baik punya petang tuh. So after makan free patut kami berdesup ke KL. Tapi biasalah, kalu dah berkumpul ngan kawan2 lama, takdenya ble gerak cepat. Lepas aku sindir dua tiga kali, baru la ngan tersengih2 nya mak ajak gerak.

Lepas terdesak dek beberapa sebab, antara nak ngan tanak, antara keinginan dan rasa berkira (duit... ngeh ngeh) encik asben akhirnya berjaya mendapatkan tiket paling murah (RM33) teater muzikal P.Ramlee pada tarikh akhir pementasan. Ini adalah kali kedua aku menyaksikan persembahan kat Istana Budaya (IB). Kali pertama masa persembahan Malam Keroncong oleh Yayasan Warisan Johor tahun 2004. Pelikkan. Bagi seorang yang mangaku kononnya pencinta seni, dengan jujur aku kata ini adalah kali pertama daku menonton teater sebegini. Before this setakat teater peringkat universiti pernahlah tengok. Huhu.

Salah masuk jalan sana sini, tambah ngan jem sana sini, akhirnya kami sampai 5 minit ke pukul 3 ptg, waktu sepatutnya tayangan bermula. Ingatkan IB betul-betul straight ngan ketepatan masa dan etika berpakaian. Sebab masa first time datang dulu nampak cam dorang straight. Tapi kali ni, dah le ramai yang lambat sampai, ramai gak yang pakai t-shirt je. Waa pelik aku? So bila tengok ramai lagi yang baru sampai, kami pun sempoi je masuk tanpa perlu terkejar-kejar. Sit kami paling atas. Oh, aku tak sangka di situ tempatnya. Coz dulu amik tiket paling murah gak tapi duk bawah sekali. Takde la terok sgt. Tapi takpe... now dah tau so next time kena pilih sit betul2.

Bila duk atas sekali, of course la kita tengok dari sudut atas. Ini bermakna, pelakon takkan memandang ke arah kita... maka kita jarang sekali dapat tengok reaksi dan mimik muka sebanar. Worst, kita hampir tak dapat cam muka pelakon, penari dll. Kesimpulan dari semua tu, kita hanya dapat menikmati persembahan 70%. Tak sepenuhnya. Bermaksud... hmm... tak puas. Kurang emosi. Aku sket menyesal... tapi takpelah... nasib baik teaternya bagus... memang berbaloi.


Sedikit tentang P.Ramlee Muzikal, paling aku suka part P.Ramlee gadoh ngan Norizan. Waaaaaa aku sangat suke lakonan Melissa Saila. Yang tak berapa best tentang teater ini ialah ada banyak nyanyian yang tak dapat aku tangkap butir liriknya. Macam nyanyian Emelda pun tak jelas. Jadi aku terpaksa tengok subtitle kat tepi stage untuk tau apa cite nih? Ini menyebabkan kadang-kadang aku terlepas pandang apa yang pelakon bwat. Alahai... sayang ada part2 yang best tapi daku tak perasan sebab tengok menda lain. Wahuuu....

So next time, may be have to spent sket, amek sit tengah. Means sama paras ngan stage. Kalu duk bawah terpaksa mendongak plak. Hahha... sebab nak menghayati dan enjoy, kena la spent sket. Next time juga daku berikrar untuk tidak malas dan beri alasan untuk tgk teater atau any good performance lagi. Kalu terpaksa rebut, rebut. Sebelum ni banyak sangat aku terlepas sebab macam2 alasan. Paling menyesal tak dapat tgk Gema Zafana sebab takde kawan dan tak dapat tiket ke Ramli Sarip. Iyalah ingatkan tade sape nak tgk Encik Ramli Sarip tuh, ghopanya tak sampai seminggu tiket sold out. Padan muka.