Saturday, April 30, 2016

Ada Apa Dengan Cinta 10

"Cinta bagi aku adalah redha antara satu sama lain", beritahu saya kepada seorang sahabat. Pertanyaan yang diaju lewat media sosial saya jawab secara spontan, laju mengalir namun jujur.

Semalam, genap sepuluh tahun pernikahan saya dan suami. Ucapan tahniah yang pertama seperti biasa datang daripada emak, yang seingat saya belum gagal melakukannya sepanjang sepuluh tahun ini. Saya di pejabat, mengisi sepuluh minit waktu wajib bekerja sebelum bergerak ke kampus universiti bagi menghadiri kelas pasca-siswazah. Dalam kelas yang saya hanya mampu fokus pada sepuluh minit pertama, seorang teman dari Padang Indonesia sempat terjerit kecil apabila saya memberitahu telah membeli tiket tayangan Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) dan bakal menontonnya pada petang hari yang sama, bersempena sambutan ulangtahun pernikahan. Beliau turut tertawa malu apabila saya memicit lengannya yang sedang membelek naskah Tuan Direktur milik saya, memberitahu yang Hamka itu berasal dari kampung halamannya, sedangkan beliau belum pernah membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.


HARI ULANGTAHUN PERNIKAHAN

Saya dan suami bergerak ke Alamanda Putrajaya dengan motosikal, mengharung kehangatan tengah hari. Kesuntukan masa, kami memesan beberapa makanan segera dari kaunter panggung wayang dan bersantap dengan gelojoh di dalam panggung. Tidak ada santapan di bawah cahaya lilin, tidak ada kiriman bunga, tidak ada kad ucapan, tidak ada hadiah, malah sejujurnya tidak ada ucapan selamat ulang tahun perkahwinan di antara satu sama lain. Mujur teringat untuk bergambar sebelum memasuki panggung, dan mujur juga wefie dengan satu kali ketik itu berhasil baik.

Sejak empat tahun kebelakangan, saya perlahan-lahan telah kurang aktif di atas talian. Satu keputusan yang menghadiahkan saya sebuah ketenangan. Namun saya beri pengecualian bersempena hari ulangtahun tersebut. Saya pos gambar berkenaan di ruang Facebook, sesuatu yang tidak saya lakukan secara rutin, tidak pada ulangtahun perkahwinan ke-7, ke-8 mahupun yang ke-9. Tindakan itu, didahului dengan niat untuk meraikan dan jujurnya, sedikit berkehendakkan perhatian.

Puluhan like dan belasan komen bukan sesuatu yang hebat bagi kebanyakan pengguna media sosial. Tetapi bagi saya yang telah memilih untuk pasif, jumlah tersebut umpama 'sesuatu'. Begitupun saya mengingatkan diri, perlakuan seumpama itu menyamai dadah - dalam dos yang terkawal, ia membantu dan merawat. Jika berlebihan, ia mengundang ketagihan, merosak lalu membunuh.


ADA APA DENGAN CINTA 2

Nicholas Saputra muncul di layar. Tidak setampan Rangga dalam mini drama terbitan Line pada 2014, namun lebih realistik. Dian Sastro, matang dan masih jelita. Keduanya kekal dengan kehendak watak yang sama sebagaimana versi 2002. Seorangnya seniman underground, seorang lagi seniwati berkelas. Keduanya unik, tersendiri.

Dari minit ke jam, saya masih dalam sedar penuh. Sedar bahawa saya sedang menonton sebuah filem di panggung, sedar yang hari berkenaan adalah hari Jumaat, 29 April 2016, hari ulang tahun perkahwinan saya dan suami yang ke sepuluh. Kesedaran ini menjelaskan yang saya tidak tenggelam dalam dunia filem, dunia cerita, dunia watak dan perwatakan, dunia Cinta dan Rangga - satu isyarat yang saya tidak akan keluar dari panggung dengan jiwa yang terkesan, atau bakal melara berhari-hari oleh sebuah kepesonaan.



Rangga 2016 adalah seorang pria dengan status yang lebih baik berbanding sebelumnya. Rambutnya kemas meski raut wajahnya sama - seringkali muram. Sebuah watak yang khas, hanya padan dimainkan Nicholas. Kesuraman raut wajah itu adalah pancaran isi hatinya. Sejenak saya terfikir, naskah seni agung sering terlahir dari detik suram dalam hidup seorang seniman. Syarat bagi menjadi ahli seni, seorang perlu berkorban bahagia, menghirup derita, menelan sengsara lalu berhasil mengenyangkan masyarakat.

Kami keluar dari panggung dengan perasaan senang. Kesudahan AADC2, boleh dijangka dan boleh diterima. Meski klise, itu bukan soal kerana penonton hanya mahukan kesudahan hubungan Cinta dan Rangga. Maka sama ada basi atau segar, yang penting adalah jawapan. Penantian itu berakhir dan diperasakan pula dengan jenaka kecil di penghujung.


PERJALANAN

"Aku tau aku cinta bila aku takut kehilangan orang tu." Beritahu saya lagi kepada sahabat tadi.

Jika kami datang dalam kepanasan, perjalanan pulang kami diiringi hujan. Begitulah perkahwinan, berpanas berhujan bersama. Detik yang mungkin tidak dialami pasangan yang tiada keperluan kepada motosikal. Kadang kala ia bukan soal tidak mampu berkereta, tetapi isu-isu kecil seperti kesuntukan masa kerana jika memandu kereta, kami akan bermasalah untuk pulang tepat waktu kerana perlu mengambil anak di sekolah dan rumah pengasuh. Tidak ada bibik, orang tua, atau adik beradik yang boleh ditumpangkan sementara kami berduaan menyambut anniversary. Maka berpeluh panas dan kemudian kebasahan sejuk itu menjadi satu bentuk pengorbanan serta kos yang perlu dibayar untuk empat jam berdua. Berdua ada masanya lebih baik.

"Cinta sampai syurga tu may be applicable kepada anak kepada emak, kepada bapak," tambah saya lagi. Pertanyaan sahabat saya dari awal tadi adalah pandangan saya terhadap petikan kata "cinta sampai syurga" yang sering dipakai dalam status dan kapsyen netizen - love you till jannah.

Menggunakan pengalaman sepuluh tahun pernikahan, saya dengan berani tidak meletak jaminan terhadap terma 'cinta sampai syurga' bagi pasangan suami isteri. Cinta sampai syurga berpinsipkan cinta tanpa syarat. Ia boleh terpakai untuk mengungkap cinta antara ibu bapa-anak-adik beradik. Logiknya, biar apa pun terjadi di antara mereka, air dicincang tidak pernah putus. Tuhan telah mengikat hati mereka umpama saraf yang mesti berhubung untuk tubuh berfungsi. Terputus bererti tubuh tidak akan berfungsi dengan sempurna.

"Bagi aku cinta sampai syurga tu terlalu tinggi... how nak justify?"

Mampukah anda bercinta tanpa syarat dengan pasangan yang halal? Bagaimana jika dikhianati? Curang? Disakiti? Ditinggalkan? Dinodai?

"Cinta bagi aku adalah redha antara satu sama lain. Be it saat manis atau pahit, tak kira betapa tercederanya perasaan, kau redha dan sanggup terus berdoa. Tapi tetap ada batas dalam perkara hak dan had. Selagi mana human-right tu dilunas sewajarnya, yang lain-lain kita boleh give and take. Afterall hidup ni memang takkan sempurna."

Apabila Rangga mengajak Cinta ke Punthuk Setumbu saat hari telah jauh malam, dia juga mengajarkan bahawa spontaneous adalah prinsip pengembaraan, garisan yang membezakan antara pengembara (backpacker) dengan pelancong (tourist). Pelancong mendatangi sebuah tempat dengan itinerari, manakala pengembara penuh dengan kejutan. Lebih penting, pengembaraan tidak menuju destinasi, sebaliknya menuju perjalanan.

Melayari kapal perkahwinan, adalah meletakkan lautan sebagai medan. Rumahnya kapal, yang berlabuh hanya sebagai persinggahan, terkadang sekejap, terkadang lama. Mungkin juga seperti perkhidmatan komuter KTM yang terkadang pantas dan cekap, terkadang rosak di pertengahan, terkadang lewat dan tidak efisien. Prinsipnya, kenderaan itu tidak pernah berhenti untuk bergerak, membentuk satu kitaran berulang dalam hayatnya. Hanya terpulang sama ada perkhidmatannya bertambah baik, mendatar sama, atau semakin buruk. Pengakhiran hanya terjadi apabila munculnya teknologi terkini yang tidak mampu ditambah baik kepada badan kenderaan yang telah tua. Lalu jalan terbaik adalah memberhentikan perkhidmatan dan dikuburkan. Begitulah hakikat rumahtangga. Perkahwinan adalah perjalanan, bukan destinasi.


DUM LAGA KE HAISHA

Ketika netizen tanah air dilanda wabak Dilwale dan Bhajrangi Bhaijaan, saya menonton Dum Laga Ke Haisha di Astro BollyOne HD. Saya rakamkan ke dalam dekoder Beyond dan sempat berkongsi jalan ceritanya dengan sahabat yang tadi (perbualan font biru). Jalan ceritanya ringan tetapi pelajarannya banyak.


Filem ini mengisahkan Prem yang terpaksa mengahwini Sandhya, si gempal yang berpendidikan tinggi. Prem dihimpit perasaan malu dan rendah diri, memikirkan jalan hidupnya yang tidak seindah temannya yang terlihat bahagia bersama isteri yang lebih cantik. Di penghujung filem, Prem dan Sandhya menyertai pertandingan "Dum Lagao", sebuah pertandingan di mana suami perlu memikul isteri di belakang badan dan berlari merempuh halangan. Bukan mudah bagi keduanya kerana Sandhya bertubuh gempal, logiknya berat untuk dipikul. Ironinya kemenangan bukan berfaktorkan ringannya isteri atau kuatnya suami. Kemenangan boleh terhasil daripada kerjasama antara keduanya. Justeru, perkahwinan bukan perlumbaan kecantikan dan kesempurnaan. Pasangan yang mampu berkerjasama dan mengurus dengan betul, itulah pemenang.

Prem tidak berhenti memikul Sandhya di tapak pertandingan sebaliknya terus berlari membawanya ke rumah. Kemenangan perkahwinan mereka tidak dipertontonkan di khalayak, sebaliknya dinikmati bersama, berdua. Mereka meraikan cinta, bukan kejuaraan.


SASTERA

Saya mungkin tidak dihadiahkan sejambak bunga sempena ulangtahun perkahwinan semalam. AADC2 juga tidaklah begitu mempesona. Saya pergi kepanasan, pulang kebasahan. Hanya membawa pulang naskah The Prisoners' Diaries bagi menambah koleksi Goodreads saya yang tidak seberapa.

Hadiah yang sebenar saya peroleh semasa perjalanan pulang, di atas motor, dalam kebasahan. Ia berupa sebuah ilham, percikan semangat, seolah momentum untuk mengembalikan saya kepada sesuatu yang saya paling inginkan - kembali menulis.

Terakhir saya menulis secara peribadi (tanpa keperluan akademik) adalah dua tahun lalu. Tulisan yang saya harapkan sebagai come back, tetapi sayang, berakhir di situ sahaja. Oh Tuhan, kebuntuan apakah yang membelenggu saya? Ke mana perginya bunga-bunga perkataan yang dulunya lancar di hujung jari ini?

Sebagaimana saya perlahan-lahan meninggalkan media sosial, begitu saya menjauhi sastera. Hanya kadang kala saya sempat berkelana melalui biografi atau travelog yang berkualiti. Malah terhadnya bunga bahasa yang boleh saya lakarkan lewat kertas cadangan dan kajian kesusasteraan tidak mampu membawa saya kepada penulisan peribadi. Akal dan jiwa saya seolah terkunci, terperosok sehingga susah dicari. Saya hingga berfikir, sekiranya saya boleh bahagia dengan membaca, maka tak mengapalah kalau saya bersara menulis.

Syukurlah Tuhan tidak mengizinkan.

"Resah di dadaku… 
Dan rahasia yang menanti di jantung puisi ini, 
dipisah kata-kata. 
Begitu pula rindu. 
Lihat tanda tanya itu. 
Jurang antara kebodohan dan keinginanku, 
memilikimu sekali lagi…"

Saya tidak tahu harus berterima kasih yang sebenarnya kepada siapa. Riri Riza atau Aan Mansyur? Terbitnya nukilan ini adalah hadiah ulangtahun perkawinan buat diri saya sendiri. Setidaknya boleh menjadi sebuah titipan sejarah hari esok. Antara cinta dan redha, AADC2 dan Dum Laga Ke Haisha, pengembara dan perjalanan, saya menyiapkan diri untuk menempuh berpuluh anniversary lagi.

Dengan izin Tuhan.



Jangan takut menghadapi cinta. Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah yang menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta. Jika hatimu diberiNya nikmat pula dengan cinta sebagaimana hatiku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut Tuhan kembali. Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain. Kalau dia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi - Tenggelamnya Kapal van der Wijck.


Thursday, April 28, 2016

Pilar Cahaya oleh Halimah Alaydrus

Pilar CahayaPilar Cahaya by Halimah Alaydrus
My rating: 5 of 5 stars

Empat pilar cahaya dalam dunia Islam yang dinukilkan dengan kehalusan seni bahasa dan ketinggian ilmu tasawuf. Air mata adalah pendamping sepanjang menjamah isi buku ini. Meskipun bukunya tipis dari segi halaman, namun kepuasannya umpama menghadam sebuah kitab agung yang tebal. Sangat disyorkan!

View all my reviews

Wednesday, July 23, 2014

SENI DAN ILMU DALAM KONSEP BERAGAMA

Merupakan artikel respond terhadap salah satu liputan majalah Xinguang isu ke-6 ("A man's heart plans his way. Do not be greedy" & "KNOWLEDGE is like gold, the more you get, the happier you will be") .






Pertama kali mengenali Madam Mah ketika Majlis Konvokesyen Kolej Universiti New Era ke-15 yang lalu, saya begitu teruja berkongsi kisahnya dengan ahli keluarga dan kenalan. Di sisi saya, hanya seorang yang berjiwa kental dan berani, mampu melakukan seperti Mah. Tidak seperti kebanyakan warga seusianya, Mah ternyata tidak letih menuntut ilmu lantas membolehkannya terus menyumbang kepada masyarakat.

Kekaguman saya terhadap Mah bertambah melalui liputan Xinguang Star baru-baru ini. Sikap realistik, rendah diri serta kepercayaan terhadap konsep ketuhanan yang tinggi jelas terpancar menerusi kata-katanya. Ini sekaligus menepati prinsip rukunegara Malaysia yang pertama iaitu “Kepercayaan kepada Tuhan”.

Meskipun saya bukan berlatar belakangkan bidang seni, saya amat menghormati dan menghargai nilai seni dalam kehidupan manusia. Namun, melihat kepada nilai seni yang dibawa generasi Y masa kini, begitu banyak yang tidak seiring dengan nilai manusia beragama. Hal ini mungkin disebabkan nilai seni hari ini banyak dipengaruhi oleh budaya Barat yang mempopularkan prinsip bahawa seni tiada hubungan dengan agama akibat dasar sekularisme mereka yang mengasingkan hal keduniaan dengan agama. Konsep seni ini lebih cenderung kepada ‘seni untuk seni’ dan bukannya ‘seni untuk masyarakat’ yang mana nilainya lebih besar dan bermakna.

Namun begitu, seni yang diungkapkan Mah ternyata berbeza dengan konsep ‘seni untuk seni.’ Seni Mah adalah ‘seni untuk masyakarat’. Ini jelas dinyatakan oleh Mah sendiri bahawa beliau ingin memupuk kesedaran terhadap kecantikan ciptaan Tuhan dan kasih sayangNya kepada manusia melalui setiap karya beliau.

Seniman yang mengamalkan konsep ‘seni untuk seni’ berpegang kepada prinsip kebebasan berkarya tanpa mengambil kira kesan positif atau negatif. Hal ini berbeza dengan kerangka dasar seni yang meliputi falsafah kehidupan manusia. Menerusi konsep ‘seni untuk masyarakat’ pula, seni bukan sahaja mampu membangunkan akhlak masyarakat, tetapi juga sesuai dijadikan sebagai bahan perantaraan yang dapat menghubungkan jiwa manusia kepada penciptanya.

Malah rekod sejarah ketamadunan Cina menyatakan bahawa orang Cina pada zaman kegemilangan dinasti beraja dahulu, tidak menerima seni (lukisan) yang cantik tanpa tema yang memberikan manfaat terhadap keimanan dan akhlak. Inilah yang membezakan seni timur dan barat.

Mensyukuri bakat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya, Mah mengibaratkan ilmu umpama emas, lebih banyak kita peroleh, kita menjadi lebih gembira. Perjalanan menuntut ilmu jaraknya adalah seluruh kehidupan. Justeru, ianya tidak terhad kepada sebarang peringkat umur. Namun bagi generasi muda, ingatlah bahawa usia muda juga tidak datang berkali-kali. Menghiasi seluruh perjalanan hidup dengan jalan ilmu adalah sebaik-baik pilihan yang ada bagi seorang belia yang berjaya. Ingatlah bahawa ilmu itu adalah lebih baik daripada harta kerana ilmu menjaga manusia dan manusia menjaga harta.

Hubungan ilmu dan agama sangat berkait rapat di antara satu sama lain. Sebagai manusia, kita memerlukan kedua-duanya. Malah ilmuan ulung seperti Albert Einstein juga pernah melafazkan kata-kata hikmat berbunyi “ilmu tanpa agama adalah lumpuh, agama tanpa ilmu adalah buta”. Begitu jelas betapa pentingnya meletakkan ilmu dan agama seiring di dalam apa jua bidang kehidupan.

Meskipun berbeza bangsa, agama dan bidang, kisah Madam Mah membuatkan saya begitu terinspirasi. Ya, dengan semangat satu Malaysia (1Malaysia), saya mengagumi Mah tanpa perlu menjadi Cina atau Kristian.







Wednesday, February 1, 2012

Ahmad Al Kebab

Buku yang paling senang nak baca. Cepat dan mudah. Tak perlu banyak fikir, tak perlu mengulang perenggan, tak perlu bukak Kamus Dewan. Pendek kata, senanglah!

Itulah Almad Al Kebab. Karya Wan Azlan - sebuah novel parodi, baca tak kering gusi.


credit gambar kepada KakWa (kakaknya dr. sudugarpu).

Akhir-akhir ini, istilah parodi jadi terkenal. Menurut Kamus Dewan Online, parodi adalah karya sastera, seni, dsb yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yg me­lucukan atau menyindir.

Novel ini bermula dengan watak Dimanosajo, seorang warga Thailand yang menjalankan perniagaan kebab sebagai punca rezeki di Kota Permaisuri. Unsur parodi hanya muncul dengan meluas (dan jelas) selepas terhentinya (seketika) watak Dimanosajo yang awalnya disangkakan sebagai watak utama dalam karya ini.

Parodi bermain di sekitar watak Sediakawal, Sakurakura, Sihuruhara, Mergastura, Murrahan dan Sifar. Kambing menjadi burung unta. Pening lalat menjadi Tahi Lalat. Sayuran menjadi ikan. Pintu menjadi perut (penyebab kepada munculnya Al Kebab).

Ya. Ahmad Al Kebab memparodikan Ahmad Albab.

Selain sesuai sebagai bacaan pelbagai peringkat umur, Ahmad Al Kebab boleh menjadi permulaan bagi yang mahu bermula atau mahu kembali berjinak2 kepada naskah penuh teks.

Mari jadi manusia lively.


Thursday, December 22, 2011

Ombak Rindu Vs Hafalan Shalat Delisa: Salah Siapa Karya KitaTerkebelakang?

Adalah normal bagi sesebuah karya yang menjadi fenomena untuk memasuki ruang diskusi yang akan diisi dengan kritikan, pujian dan kutukan. Ianya membuktikan bahawa karya tersebut mempunyai aura tersendiri sehingga diperdebatkan sebegitu rupa.

Sebelum ini, satu ulasan berkenaan filem Ombak Rindu (OR) telah dinaikkan di blog ini. Ulasan ini sebetulnya cenderung menyentuh isu adaptasi karya novel ke filem. Ia sama sekali tidak memberi tekanan terhadap isu moral yang menjadi kontroversi dalam filem ini. Namun kemelut Ombak Rindu yang dimainkan beberapa pihak di sana-sini telah membangkitkan beberapa persoalan di benak saya. Malah, sewaktu artikel ini ditulis, beberapa status di facebook yang memaut trailer Hafalan Shalat Delisa (HSD) telah dinaikkan dengan sebahagian besarnya mengaitkan atau membandingkannya dengan OR. Hampir kesemua status ini termasuk deretan komen yang diberikan menjurus kepada kritikan yang menonjolkan kerendahan mutu dan nilai karya filem anak tempatan. Situasi ini benar-benar membuatkan saya terfikir, salah siapa semua ini?



Bukan tidak ada karya kita yang bermutu tinggi. Tetapi bagaimana dengan sambutannya? Kita sendiri yang banyak mengkritik kebobrokan karya tempatan, kita sendiri juga sebenarnya tidak sedar dengan kewujudan karya-karya terbaik yang pernah terbit atau telah diharamkan.

Adakah fenomena OR membuka mata kita untuk mencari karya-karya ini? 

HSD berkait rapat dengan tragedi alam. Malah, kalau kita amati, Indonesia sendiri akrab dengan pelbagai tragedi tidak kira tragedi alam mahupun tragedi manusia. Rakyat negara jiran ini telah bertahun bergelumang dengan tragedi dan perjuangan sebagai rencah kesinambungan hidup. Sedarkah kita bahawa tragedi dan perjuangan ini telah sekian lama mencorak pemikiran seterusnya menjadi pencetus kepada lahirnya karya mereka?

Bagaimana dengan pemikiran kita?

Kalau kita fikir pengkarya perlu menghasilkan karya yang bernilai, bermoral, kritis dan menonjolkan tahap pemikiran yang tinggi, maka kita perlu mula membuktikan telah menjadi manusia yang bernilai, bermoral, kritis dan mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Kerana pengkarya tidak mahu rugi menghasilkan karya yang tidak boleh dijiwai oleh penontonnya seterusnya merencatkan keuntungan.

Perhatikan sahaja facebook kita. Isu apakah yang paling banyak kita naikkan? Kisah peribadi? Dialog suami isteri? Perkembangan anak-anak? Maklumat agama? Isu semasa? Isu politik? Ekonomi? Ilmiah? Nah, masing-masing lebih tahu facebook sendiri. Itulah antara cerminan pemikiran kita. Dan kita tidak malu pula memperlekeh karya tempatan yang hakikatnya mencerminkan jiwa dan minda sebenar kita. Maka bagaimana pula anda mengandaikan pemikiran pengkarya kita?

Hanya pengkarya dengan jati diri yang tinggi sahaja yang sanggup menongkah arus. Tetapi berapa ramai yang sanggup melaburkan berjuta-juta ringgit untuk mengangkat moral, etika dan pemikiran manusia yang belum tentu memberi pulangan? Sedangkan penonton/pembaca hanya melabur RM8 - RM30 untuk menghadam idea dan usaha insan lain.

Saya tentu sekali bukan seorang pengkarya semasa. Namun pengalaman menghasilkan beberapa karya kecil membuatkan saya faham perit jerih berkarya. Ianya umpama anda bersusah-payah memasak, dan orang yang menghadam makanan itu dengan mudah memberi komen "tidak sedap! Sedap lagi makanan Indonesia".
Seperti mana saya bukan peminat Aaron Aziz (telah disebut dalam ulasan OR), saya juga bukan peminat OR. Namun saya kira, menghukum OR sebagaimana yang dilakukan ramai sekarang ini agak tidak adil. Berapakah peratus kerosakan dilakukan oleh OR sehingga disifatkan sebagai tragedi murahan di sini? Berapa banyakkah penderhakaan plot OR terhadap nilai agama dan kemanusiaan? Adakah di antara anda di luar sana yang pernah cuba membandingkan jumlah kerosakan itu dengan tingkat kerosakan dan penderhakaan yang disajikan dalam banyak filem Melayu yang lain? Jika tidak, anda sama sekali terlalu bias!

Cuba kaitkan sebentar perenggan di atas dengan tragedi Superman Faizal Tahir yang telah dihukum Vs trend pakaian tidak senonoh sesetengah selebriti wanita tanah air yang tidak pernah dihadapkan ke muka pengadilan sebagai satu bentuk pengajaran kepada diri sendiri dan individu lain. Dapatkah anda menterjemahkan konotasinya? Adilkah kita menghukum satu pihak sedangkan pihak yang lain terus ghairah berkarya dalam kemaksiatan?

Di sisi saya, OR memang bukan sebuah filem moral. Ia hanya sebuah filem yang mempertaruhkan idea asal sebuah novel yang laris, barisan pelakon pujaan dan dendangan lagu yang menusuk jiwa untuk bermain dengan emosi penonton rakyat Malaysia yang memang gemarkan melodrama. Ia adalah kehendak pasaran sendiri.

Sekiranya kita masih diulit perkembangan lilitan terbaru hijab muslimah, ghairah mempromosi konsert rock tanah air, masih hanyut mengulit majalah fesyen/keluarga terkini, rasanya lebih molek kita muhasabah diri. 

OR bagaimanapun masih lebih baik dalam beberapa sisi moralnya berbanding lambakan filem-filem tempatan sebelum ini. Ia telah menunjukkan satu peningkatan dan telah pun mendapat sambutan (di sini saya menegaskan bahawa saya 100% menolak keperluan wujudnya adegan ranjang atas sebab apa sekalipun). Sebagai penonton/pembaca yang menikmati hasil kerja pengkarya, buktikan bahawa kita telah bersedia untuk menerima dan memberi sambutan terhadap sebuah karya yang kuat dengan isu kemanusiaan, jati diri dan moral hasil dari ilmu dan pemikiran yang tinggi. Dan semoga lebih ramai pengkarya filem/novel kita akan mampu menghasilkan karya bermutu yang bukan hanya mampu menjadi medan sebaran dakwah dan moral, tetapi mampu meraih keuntungan berganda hasil sambutan pasaran yang hakikatnya adalah terhad.

Berilah peluang kepada karya kita untuk bergerak di atas landasan 'sokong dan dorong' rakyatnya sendiri. Kurangkan kritikan membunuh. Keparahan nilai moral dalam karya perlu dibimbing, dipapah, dimotivasikan serta dirawat. Jangan biarkan ianya jadi seperti pokok-pokok yang mati selepas dicaci-maki oleh satu kaum di Pulau Solomon (sumber).

Karya kita, cerminan bangsa kita. 


Tuesday, December 13, 2011

Ibu Berkerja... Antara Tuntutan, Kemahuan dan Kelebihan

Jujur, saya merancang untuk menaikkan entri ini selepas menghadam luahan maklin di sini.

Maaf maklin. Ini bukan serangan balas atau serangan peribadi. Ini hanya satu perbezaan pandangan yang tidak semestinya betul dan sesuai dipakai oleh pihak yang lain. Pandangan ini juga tidak semestinya valid sepanjang masa, malah saya sendiri tidak mampu menjangka apakah akan terus berpeluang menjadi wanita berkerja sehingga ke akhirnya.

Bagi saya, perbezaan pandangan dan prinsip mengenai tugas dan tanggungjawab seorang ibu sebahagian besarnya ditentukan oleh pengaruh latar belakang masing-masing. Hal ini semestinya berkait rapat dengan cara kita dibesarkan. Seseorang yang dibesarkan oleh ibu surirumah, pastinya cenderung memilih untuk menjadi surirumah atau mempunyai isteri surirumah terutama setelah melihat kaedah membangunkan keluarga dengan seorang isteri/ibu surirumah telah berjaya memanusiakan generasinya. Begitulah sebaliknya bagi seseorang yang dibesarkan ibu berkerja, pastinya cenderung memilih untuk berkerjaya atau mempunyai isteri berkerjaya kerana melihat kelebihan kaedah membangunkan keluarga dengan seorang isteri/ibu berkerjaya dalam membentuk generasinya.

Pandangan ini boleh jadi juga dipengaruhi oleh perasaan ingin memperbaiki kesilapan yang dilsayakan generasi terdahulu. Sebagai contoh, seseorang yang merasa rendah diri dibesarkan oleh ibu surirumah mungkin cenderung memilih untuk berkerjaya/memilih isteri berkerjaya. Manakala seseorang yang merasa terabai dibesarkan oleh ibu berkerjaya mungkin cenderung memilih untuk menjadi surirumah/memilih isteri surirumah.

Begitu juga tuntutan hidup yang kadang-kala tidak memberi peluang kepada kita untuk memilih apa yang kita mahukan kecuali menurut apa yang sepatutnya dilsayakan. Seorang wanita yang mana dengan kerjayanya mampu menjadikan institusi keluarganya lebih stabil dari beberapa segi, sudah tentulah diperlukan untuk berkerja. Dan sebuah keluarga yang dipimpin seorang suami dengan kerjaya atau status tertentu, mungkin memerlukan si isteri menjadi surirumah.

Terdapat juga situasi ibu tunggal yang tiada pilihan lain selain berkerja. Ada juga wanita berpendidikan tinggi yang telah mempunyai profession hebat terpaksa mengorbankan kerjayanya kerana diuji Allah dengan anak/anak-anak yang mungkin memerlukan perhatian berganda (baca: kurang sihat).

Tidak kurang ramai juga yang memilih untuk menjadi surirumah/berkerja tanpa apa-apa tekanan atau tuntutan sebaliknya merasakan itu adalah pilihan terbaik untuk dilaksanakan.

saya faham prinsip seorang ibu yang mahu menjadi segala-galanya untuk anak masing-masing. Mengasuh, memasak serta menyediakan segala keperluan keluarga dengan tangan sendiri. Berpegang kepada alasan inilah, sesetangah wanita sanggup mengorbankan kerjaya demi membangunkan keluarga masing-masing dengan kudrat sendiri. Ironinya, melalui pengalaman saya adik-beradik (juga suami), dibesarkan oleh ibu yang berkerja tidak sedikit pun mencalarkan kedudukan ibu kami dalam senarai individu yang paling penting dalam hidup kami. Ibu berkerjaya kami adalah tetap ratu yang tidak akan mampu digugat oleh sesiapa pun insan hebat yang lain.

Seorang ibu tetap seorang ibu. Kita tidak perlu bermatian menjelaskan kenapa dan mengapa kita melsayakan sesuatu tindakan dengan meletakkan satu prinsip seolah-olah ianya sesuai dan berkesan terhadap orang lain. Jatuhkah taraf seorang ibu apabila melepaskan anak-anaknya untuk dijaga oleh orang lain ketika dia keluar berkerja? Adakah itu dikira sebagai satu pertaruhan? Tidak bertanggungjawabkah seorang ibu yang tidak mengasuh perut ahli keluarganya dengan air tangannya sendiri setiap hari? Adakah itu satu penderhakaan sehingga kurangnya mendapat redha Ilahi berbanding seorang ibu yang mampu melsayakannya?

Walau apapun jawapan yang diyakini benar oleh seseorang, saya percaya bahawa seorang ibu akan terus mengungguli takhta jiwa anak-anaknya yang dididik untuk redha dengan pengorbanan dan bahagian masing-masing.

Dalam entri maklin yang saya pautkan di perenggan paling atas, maklin ada menyebutkan yang anak-anaknya tidak faham apa itu kerjaya. Saya ingin merungkaikan kenyataan itu dengan beberapa soalan. Adakah anak-anak lahir dengan terus memahami apa itu makan? Adakah anak-anak lahir dan terus mampu berjalan? Apakah anak-anak lahir dengan terus memahami siapa itu ibu?

Anak-anak membesar dengan mempelajari apa itu kehidupan. Maka, sudah tentu mereka tidak faham apa itu kerjaya dengan mudah. Untuk itu, ibubapalah yang perlu memainkan peranan untuk memahamkan anak-anak apa itu kerjaya dan apakah keperluannya. 


credit picture to Anam Ahmed and Astrolable.com

Kita semua maklum, apa pun pilihan seorang ibu sama ada untuk berkerjaya atau menjadi surirumah sepenuh masa, pasti ada pro dan kontra masing-masing. Tanpa perlu saya menjelaskan kelebihan menjadi surirumah sepenuh masa (kerana majoriti anda tahu apakah kelebihannya), biar saya senaraikan kelebihan menjadi ibu berkerjaya di pihak saya. Ia tidak mesti benar kepada orang lain. Dan ia memang mestinya memiliki kelemahannya tersendiri. Kita juga perlu maklum bahawa tidak ada satu perkara yang paling betul dan sempurna. Dengan memahami prinsip kos lepas, kehidupan ini meletakkan pilihan di tangan masing-masing. Perlu diingat, kita tidak hanya bercakap tentang hari ini, tetapi juga hari-hari mendatang.

>> Kerjaya makan gaji di syarikat swasta membolehkan anda memiliki akaun KWSP (EPF) yang diisi setiap bulan dari pendapatan sendiri dan juga dari caruman oleh majikan. Secara kasar, sekiranya pendapatan anda ialah RM2000 sebulan, anda mencarum sebanyak RM220 manakala majikan mencarum sebanyak RM240, menjadikan jumlah caruman bulanan anda sebanyak RM460. Jumlah terkumpul selama setahun (termasuk bonus minimum sebulan) adalah RM5980. Ini tidak termasuk sekiranya anda mempunyai elaun tambahan, bayaran overtime dan semua bayaran pendapatan lain yang akan dikira dalam peratus caruman EPF. Sila jumlahkan sendiri bagi yang berpendapatan melebihi angka contoh yang diberikan. Simpanan ini juga menerima dividen tertentu dari EPF setiap tahun. Malah jumlah caruman bulanan juga akan meningkat dari tahun ke tahun dengan adanya kenaikan gaji. Simpanan hari tua ini sedikit sebanyak bakal memberi manfaat kepada keluarga masing-masing pada masa akan datang.

>> Kerjaya makan gaji di agensi kerajaan sehingga satu tempoh tertentu membolehkan anda menikmati bayaran pencen setiap bulan setelah bersara kelak. Sekali lagi bayaran tetap ini bakal memberi manfaat kepada keluarga dan anak-anak pada masa depan. Mungkin ada yang berfikir, waktu itu anak-anak telah berkerja dan mempunyai pendapatan masing-masing. Namun sekiranya seorang ibu mempunyai pendapatan tetap sendiri setiap bulan, sudah tentu dia tidak perlu mengharapkan anak-anak dari segi kewangan sekaligus memberi ruang untuk anak-anak bernafas sewaktu proses membina keluarganya pula. Ini juga adalah salah satu kaedah seorang ibu menzahirkan kasih-sayangnya.

>> Ilmu dan pengalaman dari kerjaya seorang ibu membolehkannya memotivasi, membimbing, menasihat serta menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak terutama dalam proses pengajian dan sewaktu berkerja kelak. Pengalaman saya sendiri begitu banyak mendapatkan pandangan dan idea emak berkenaan sebarang bentuk tugasan atau ketika berhadapan sebarang masalah terutama berkaitan pelajaran dan kerja. Dari sinilah seorang ibu mampu melebarkan sayap baktinya kepada anak-anak seterusnya meraih redha Ilahi.

>> Ibu berkerjaya mempunyai 'masa untuk diri sendiri' iaitu ketika tidak bersama anak-anak. 'Masa' ini digunakan untuk segala keperluan dan kepentingan peribadi termasuk tuntuan kerjaya dan sosial. Wanita dalam kelompok ini sama ada menyedarinya atau tidak, mempunyai satu tempoh (lebih kurang 9 jam sehari) untuk 'bebas' dari persekitaran rumah dan persekitaran yang melibatkan keluarga. Tempoh ini memberikan mereka ruang tersendiri yang jarang diperoleh oleh golongan surirumah sepenuh masa di mana ruang ini adalah berguna bagi tujuan 'refresh' dan 'exposure'. Keletihan selepas tempoh berkerja lazim terubat setelah menemui suami dan anak-anak di rumah. Dengan adanya tempoh tidak bersama anak-anak ini, seorang ibu pasti akan sangat menghargai masa lain yang dapat diluangkan bersama keluarganya. Malah anak-anak sendiri akan sangat menghargai setiap kali ibunya dapat meluangkan masa bersama. Dalam hubungan apa sekalipun termasuk hubungan suami isteri, saya percaya kita semua memerlukan ruang untuk diri sendiri berbanding 24/7 terpaksa menghabiskan masa dengan satu atau beberapa individu yang sama. Sekiranya bekerja di pejabat memerlukan tempoh rehat, tugas dan tanggungjawab dalam rumah juga memerlukan 'pelepasan' tertentu.

>> Kerjaya membolehkan seorang wanita menyalurkan khidmat kepakaran dan tenaga masing-masing kepada agama, bangsa dan negara. Ianya adalah sumbangan yang tidak kurang mulia dengan membangunkan sebuah institusi keluarga. Khidmat ini sememangnya tidak akan mampu dilaksanakan dengan mudah tanpa pengorbanan dari banyak pihak yang penting. Namun terlupakah kita bahawa setiap pengorbanan itu pasti diselangi dengan hikmah? Sedikit rujukan dari luahan Ustaz Hasrizal dalam entri Hari Jongkang Jongket.


>> Masih ramai di antara ibu berkerja mampu menyediakan masakan sendiri untuk keluarga yang dilsayakan mengikut kemampuan dan cara masing-masing. Hal ini membuktikan bahawa ibu berkerja mampu melaksanakan dua profession dalam satu masa iaitu berbakti kepada keluarga dan berbakti kepada masyarakat.

>> Ramai juga di antara wanita berkerja ini mendapat sokongan dan bantuan dari golongan suami yang dengan rela hati berkongsi tugas dan tanggungjawab di rumah tidak kira memasak, membasuh, mengemas dan mengasuh (atas kesedaran bahawa kedua-duanya berkerja). Kerjasama antara suami isteri tentunya pengerat hubungan kekeluargaan lantaran saling rasa menghargai dan dihargai (Kenyataan ini sama sekali tidak menafikan terdapat golongan suami yang isterinya surirumah turut mempunyai kesedaran yang sama. Malah terdapat juga golongan suami yang isterinya berkerja tetapi bersikap seperti 'raja').

>> Bertahun-tahun menimba ilmu di menara gading, tidak teringinkah para ibu golongan siswazah untuk menyalurkan khidmat bakti serta menggunakan ilmu dan kepakaran yang ada untuk manfaat masyarakat di mana hikmahnya (baca: pahala) bukan hanya diperoleh oleh diri ibu itu sendiri tetapi juga oleh setiap jiwa yang telah berkorban melepaskannya berkerja (baca: suami dan anak-anak)?

>> Advantage bagi ibu berkerja adalah berpeluang 'menghulur' kepada orang tua masing-masing dengan hasil titik peluhnya sendiri. Terutama bagi golongan siswazah, pasti ada yang pernah mendengar orang tua masing-masing menyebut "susah payah mak/ayah sekolahkan kamu, kamu pulak taknak berkerja." Namun saya juga setuju bahawa tidak semua orang tua kita bersetuju anak perempuan masing-masing mempunyai kerjaya.

>> Apa juga pendapatan yang diperoleh seorang wanita bergelar isteri adalah merupakan hak mutlaknya dan tidak boleh diusik oleh suami tanpa izin dan redha isteri (Your money is my money, and my money is my money!). Namun ini adalah peluang bagi seorang isteri dan ibu untuk mendapat redha Ilahi dengan berkongsi hasil pendapatannya untuk kegunaan keluarga sekiranya perlu.

>> Kerjaya sama sekali tidak menutup peluang seorang ibu untuk memberikan penyusuan sepenuhnya kepada bayi masing-masing dengan bantuan ilmu dan teknologi terkini. Namun sememangnya tidak mudah untuk melaksanakan tanggungjawab ini kerana seorang ibu berkerjaya memerlukan disiplin untuk mengepam susu di pejabat yang terkadang gagal dipatuhi sepenuhnya akibat tuntutan kerja yang tidak menentu. Itu tidak termasuk dengan persekitaran tempat mengepam yang lazim tidak kondusif di pejabat, bebanan mengangkut gadjet untuk mengepam, cabaran memastikan stok susu mencukupi, keletihan serta tekanan dari pelbagai pihak. Namun kita semua tentu telah biasa mendengar kenyataan bahawa semakin banyak cabaran dan kesukaran untuk kita melaksanakan sesuatu tanggungjawab, semakin besar pula ganjaran (pahala) yang bakal kita peroleh sekiranya tetap berusaha dan berjaya melsayakannya.

>> Tanpa niat mendoakan kemudaratan, kita harus sentiasa bersedia tentang kemungkinan-kemungkinan buruk yang boleh berlsaya kepada sesiapa sahaja. Sekiranya patah sebelah sayap, seorang ibu berkerja masih mampu terbang dengan sebelah lagi sayapnya yang kuat dan kukuh (insyaAllah). >> Rezeki adalah pemberian Allah namun usaha adalah pilihan manusia. Ilmu dan pengalaman yang diraih tanpa rehat dan henti akan 'mencantikkan' resume seorang wanita berkerjaya untuk dinilai 'for better offer'.

>> Seorang ibu berkerjaya lazim mendapat penghormatan dari suami dan anak-anak sekiranya mampu membahagikan antara tugas kerjaya dan tanggungjawab di rumah. Ianya memang tidak mudah justeru keupayaan melaksanakannya akan menyerlahkan keunggulan seorang wanita.

Dari pengalaman saya sendiri, tidak pernah terlintas di fikiran untuk mempersoalkan kenapa emak tidak duduk di rumah dan mengasuh anak-anak dengan tangan sendiri. Malah dari usia kecil, saya telah faham bahawa pada waktu pagi, emak akan keluar berkerja dan hanya pulang pada waktu petang. Saya menyedari yang emak mempunyai tanggungjawab lain yang tidak boleh dilonggarkan tanpa sebab yang kukuh. Dua tiga bulan sekali, kami adik-beradik akan pasti ditinggalkan emak selama sekurang-kurangnya seminggu kerana mempunyai kursus, tugasan luar, mesyuarat atau persidangan di luar daerah. Emak juga pernah menjadi 'weekend mother' selama beberapa tahun bagi memenuhi tuntutan berkerja di daerah/negeri lain. Kesemua ini kami lalui tanpa banyak kerenah. Dan saya percaya, instead of merungut, emak dan ayah memilih untuk mencipta alternatif tertentu bagi memastikan kesinambungan hidup berjalan dengan lancar dan terbaik melalui pilihan yang ada. Hidup tetap diteruskan dan kami menjadi dewasa dengan mengagumi unggulnya wanita yang melindungi dan membesarkan kami dari dalam rahimnya, dari genggaman tangannya, dari pelukannya, dari keringat dan tenaganya, dari pandangan matanya, dari butir nasihatnya dan dari doa-doanya. Emak adalah yang terbaik, terhebat, termulia, paling mithali dan sejati, anugerah Allah yang tidak pernah akan sama dengan apa juga yang boleh dinilaikan.

Apa pun pertikaian yang dibangkitkan mengenai tugas dan tanggungjawab seorang ibu, saya yakin bahawa sebahagian besar golongan ibu akan sentiasa meletakkan prioriti kepada keluarga. Anak-anak adalah permata yang tidak ada galang gantinya walau berapa ramai anak yang diamanahkan kepada kita.

Kepada ibu surirumah, berbahagialah kerana anda telah mengorbankan kepentingan diri demi membangunkan keluarga dengan tangan sendiri. Sesungguhnya tiada apa yang lebih bernilai melainkan kasih dan keikhlasan seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan yang terbaik buat anak-anaknya.

Kepada ibu berkerjaya, berbahagialah kerana anda telah mengorbankan sebahagian masa dan tenaga yang boleh dinikmati bersama anak-anak demi bakti kepada agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya tiada apa yang lebih unggul berbanding seorang wanita serba boleh di mana di tangannya terhayun buaian, dan di tangannya jugalah tergoncang dunia.

Apa pun pilihan kita, ia datang dengan pakej kelebihan dan kelemahan. Tidak mungkin ada satu kaedah yang paling tepat dan sempurna. Kita telah melihat generasi yang terbangun dari tangan ibu surirumah dan dari tangan ibu berkerjaya. Masing-masing telah mampu membentuk pemimpin masa kini dan masa akan datang dalam pelbagai bidang dan cabang.

Untuk itu, tepuk dada tanya selera.



Friday, December 9, 2011

Menangis Lelaki - Edisi Ombak Rindu dan Aaron Aziz

Saya tiba-tiba teringat istilah 'menangis lelaki' yang keluar dari mulut sorang sahabat. Bunyinya janggal tetapi unik. Bukan tidak biasa melihat lelaki menangis. Dalam hindustan terutamanya. Tetapi kebanyakannya tak begitu menepati kedalaman maksud 'menangis lelaki'. Sehinggalah saya menemuinya dalam Ombak Rindu versi filem.

Membaca ulasan daripada pengkritik filem/wartawan nyata lebih adil. Ulasan begini hampir menyeluruhi segenap aspek Ombak Rindu termasuk novel dan penulis. Kerana apa yang boleh didapati daripada ulasan kebanyakan bloggers lebih cenderung kepada isu aksi ranjang dan Aaron Aziz.

Jujur, saya bukan peminat Aaron. Tapi, sebab utama saya keluar menonton Ombak Rindu adalah Aaron juga. Akibat terlanjur menonton klip video OST-nya, naluri 'orang awam' saya jadi penasaran untuk menonton.

Advantage untuk saya pada kali ini ialah, saya tidak pernah membaca novel Ombak Rindu. Maka risiko filem ini menjadi pemusnah jurus bayangan memang tidak ada sama sekali. Tetapi, meskipun tisak pernah membaca novel Ombak Rindu, saya memang dapat rasakan babak-babak dalam filem ni melompat-lompat. Pastinya untuk memampatkan isi cerita yang agak panjang sedangkan durasi filem yang dibenarkan hanyalah 2 jam.

Sebenarnya, amat menakutkan untuk menonton sebuah filem yang diadaptasi daripada sebuah novel. Saya pernah membebel mengenai perkara yang sama (Ayat-ayat Novel Versi Filem). Saya percaya, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak terutama pembaca tegar sesebuah novel yang diadaptasi ke filem. Novel dan filem memberikan impak yang berbeza terhadap corak penceritaan masing-masing. Filem memberikan cerita dan imej visual secara serentak. Penonton secara langsung akan mendapat gambaran latar tempat dan watak hasil garapan produksi filem. Contohnya, sekiranya watak Hariz dalam Ombak Rindu dipegang oleh Aaron Aziz, maka itulah gambaran yang terpaksa diterima oleh penonton mengenai watak Hariz. Ianya berbeza dengan novel yang memerlukan pembaca membina imaginasi tersendiri berbekalkan panduan penulis. Bermakna, setiap pembaca akan mungkin mempunyai imaginasi yang berbeza terhadap latar tempat dan watak. Oleh itu, gambaran watak Hariz dalam novel Ombak Rindu juga adalah berbeza-beza bagi setiap pembaca.

Hanya pembaca tegar sahaja yang tahu bagaimana seronoknya melayari pembacaan dengan lakaran imaginasi sendiri.


Di antara beberapa karya adaptasi novel ke filem, saya kira hanya Ketika Cinta Bertasbih sahaja yang betul2 menepati kisah sebenar tanpa terlalu merosakkan imaginasi pembaca. Tapi ini tidak bermakna filem perlu menurut sepenuhnya intipati novel. Adunan semula untuk meringkas, memperbaik dan memperkemas jalan cerita dan latar watak adalah juga penting kerana tidak mungkin setiap plot dalam novel sesuai dimasukkan ke dalam filem. Asalkan cerita asal dan watak-wataknya tidak dirosakkan, ayat-ayat novel versi filem pasti setidak-tidaknya mampu memberi kepuasan minimum.

Ombak Rindu mungkin tidak sebaik dan sekemas yang saya harapkan. Cukuplah ianya berjaya meringkaskan jalan cerita versi novel tanpa mencacatkan. Malah perubahan pada beberapa latar watak juga saya kira satu usaha untuk memperbaik. Ini berbeza dengan apa yang saya kesalkan dalam filem Ayat-Ayat Cinta yang ketara merosakkan beberapa latar watak terutama watak Aishah isteri Fahri. Begitu juga kelihangan watak bapa Maria telah merosakkan jalan cerita termasuk maklumat dakwah yang sangat penting.


Alangkah bagus kalau filem Melayu Malaysia boleh melebar lebih dari 2 jam asalkan plotnya disusun kemas, skrip yang baik dan tidak meleweh2.

Secara peribadi, saya rasa kekuatan Ombak Rindu versi filem ini adalah pada Aaron Aziz. Lakonan Aaron adalah terbaik. Terbaik kerana sangat bersahaja. Seperti yang saya katakan tadi, saya bukan peminat Aaron. Maka harapnya tidak timbul unsur bias di sini. Saya bukan pengikut tegar Aaron dalam sebarang drama bersiri. Malah, saya pernah berasa hairan melihat kegilaan orang ramai terhadap Aaron. Sebab sebelum ni, saya tidak tahu apa hebatnya Aaron Aziz.

Nak kata hensem, hensem lagi Hans Isacc.

Tetapi saya mula mengagumi beliau dalam filem KL Gangster. Lakonan selamba. Effortless.

Melalui Ombak Rindu, saya lebih mengagumi lakonan beliau. Terutamanya babak Hariz dan Izzah di dalam bilik di rumah Pak Dolah. Serta-merta saya rasa ralat kenapa beliau bukan warganegara Malaysia yang dengan tidak adilnya menghalang beliau daripada dicalonkan di dalam FFM.

Maya Karin bagi saya not bad. Cuma masih canggung melihatnya bertutur dengan intonasi Bahasa Melayu yang asli. Saya membayangkan watak Izzah inidipegang oleh Fazura. Lebih klasik, kekampungan dan effortless.

Lisa Surihani juga tidak kurang bagus. Hanya untuk watak Mila, imaginasi saya melihat alangkah cantiknya jika watak ini dilembutkan sedikit lagi. Tak perlulah Mila terjerit-jerit memberontak setiap kali keinginan tak dipatuhi. Dengan kedudukan, kuasa dan pesonanya, Mila mungkin hanya perlu bertegas dalam nada yang lembut tetapi persistent.

Secara keseluruhan, Ombak Rindu adalah Aaron Aziz. Tanpa Aaron Aziz, Ombak Rindu mungkin tidak berombak mana pun. Kerana saya amat pasti, sekurang-kurangnya separuh jumlah penonton yang berkejar ke panggung untuk menonton filem ini adalah kerana Aaron. Tetapi itu tidak pelik kerana kombinasi ego dan air mata Hariz yang diperan Aaron adalah pesona yang langsung tidak menghampakan.

Kerana Aaron Aziz, saya mengerti apa itu 'menangis lelaki'.