Thursday, July 14, 2016

Sultan

Jika dibandingkan dengan populariti Shah Rukh Khan (SRK), jenama Salman Khan (SK) kurang mendapat tempat di Malaysia. Terima kasih kepada gabungan SRK-Kajol melalui Dilwale yang kemudian telah mencetus fenomena Bhajrangi Bhaijaan (BB). Sekurang-kurangnya respon pelik yang saya terima sepanjang mengaku sebagai peminat SK sedikit berkurang.

*nota: BB viral di Malaysia selepas kegilaan Dilwale meskipun Dilwale ditayangkan lewat 6 bulan selepas BB

Saya tidak menonton filem Bollywood sekadar mengikut trend semasa. Saya sememangnya pengikut tegar industri Bollywood sejak hujung 90-an. Majoriti penonton filem Bollywood di Malaysia mungkin menggilai SRK atas pelbagai alasan - kualiti lakonan, romantis, kacak? Saya pula melawan arus, meminati SK tanpa sebab yang jelas. Mungkin itu yang dinamakan cinta. Haha.

Lebih dikenali dengan gelaran 'Bhai' atau 'Bhaijaan' di India, SK merupakan pelakon yang menerima bayaran tertinggi dalam industri Bollywood pada ketika ini (dianggarkan sekitar RM35 juta bagi satu filem selain menerima percentage keuntungan filem). 10 daripada filemnya melepasi kutipan 1 bilion rupee berbanding 6 filem SRK. Filem-filem SK sangat sinonim dengan tayangan pada musim perayaan terutama Aidilfitri. Tayangan pada hari perayaan melibatkan kos tempahan yang tinggi menyebabkan penerbit hanya berani mempertaruh filem-filem pelakon bertaraf bintang. Malah filem Raees lakonan SRK yang asalnya mempunyai tarikh tayangan yang sama dengan filem Sultan (6 Julai 2016), terpaksa menangguh tarikh tersebut bagi mengelak risiko kerugian sekiranya bertembung dengan filem lakonan SK.

Semenjak 2012, keluarga saya telah terbiasa dengan perancangan saya untuk ke panggung dari minggu awal Hari Raya. Orang lain sibuk berziarah raya, saya kemaruk nak tengok hindustan. Orang lain bajet untuk duit raya, saya pula terpaksa menambah bajet bagi menonton di panggung. Kerana selalunya pada musim perayaan, saya tidak boleh ke panggung sendiri, atau hanya bersama suami dan anak-anak. Pakej Hari Raya wajib ada emak, adik-beradik, makcik-makcik, dan anak-anak buah sekaligus. Satu tiket sahaja berharga RM15 tidak termasuk popcorn.

Di Malaysia, panggung yang menayangkan filem lakonan SK biasanya terhad. Sungguh selama ini saya terpaksa menempuh susah payah ke tengah KL kerana hanya panggung yang terletak di lokasi padat sahaja yang menayangkan filem Bollywood terutama filem bukan lakonan SRK. Yang bagusnya, filem-filem sebegini tidak mempunyai ramai penonton. Maka pembelian tiket dan pemilihan tempat duduk juga bukan masalah. Hanya selepas fenomena BB pada 2015 menyebabkan saya terpaksa merancang pembelian tiket dengan lebih teliti kerana secara tidak langsung penonton Malaysia mula tertarik untuk menonton filem lakonan SK. Pasca-BB membolehkan filem terbaru beliau - Sultan, ditayang di lebih banyak lokasi. Ternyata pemilik panggung wayang di Malaysia telah merasa yakin akan kemampuan filem SK memandangkan tayangan tengah malam yang saya hadiri (11.40pm) turut memuatkan hampir setengah panggung.



Sultan adalah sebuah filem klise yang diadun dengan cemerlang. Filem ini memfokus kepada watak Sultan Ali Khan, juara sukan gusti dari Haryana yang mana kejayaan dalam kerjayanya telah mencetus konflik dalam hidupnya. Plot filem berkisar cinta pandang pertama, bangkitnya seorang lelaki yang tidak berwawasan setelah dihina orang yang dicintai, masalah tingkah laku setelah menempa kejayaan, pengorbanan kareer demi keluarga, kepentingan mendahulukan keluarga berbanding yang lain, konflik diri, kisah si gagal (loser) yang bangkit bekerja keras, malah topik feminisme turut diketengahkan.

Saya tidak berminat untuk menulis sinopsis filem ini secara khusus. Sultan adalah sebuah filem yang berbaloi untuk ditonton selama hampir tiga jam. Di sisi saya, acuan paling pintar dalam filem ini adalah penggunaan korus title tracknya yang begitu serasi meski diulang berkali-kali. Tambahan lagi apabila disertakan dengan sari kata yang menjelas maksud setiap bait lirik, sekaligus membawa penonton 'masuk' ke dalam cerita.


khoon mein tere miTTi
miTTi mein tera khoon
oopar Allah neeche dharti
beech mein tera junoon
re sultan! 

there is this earth in your blood
and your blood in this earth
there is God above, and the earth below
and in between, there is your passion
O Sultan!

Secara peribadi, saya menyukai Sultan. Filem ini bukanlah filem terbaik SK tetapi adalah antara lakonan terbaik beliau yang pernah saya tonton. Sebagai peminat SK, saya arif dengan kualiti lakonan beliau yang tidak seberapa. Selain kesesuaian watak Sultan dengan peribadi SK, kerja keras beliau menjayakan watak Sultan terlahir pada fizikalnya. Apabila Sultan murung, fizikal SK sendiri tampak sangat letih dan berserabut. Malah fizikal letih ini turut mengekori beliau di luar lokasi penggambaran pada ketika itu (penggambaran sekitar awal 2016, SK sedang menjadi hos sebuah program realiti TV). Buat pertama kalinya, beliau kelihatan 'tua' di dalam filem, selari dengan kehendak jalan cerita.



Oleh kerana saya mengikuti berita penggambaran filem ini, saya tahu bahawa penggambaran dimulakan dari adegan belakang, iaitu pada masa Sultan telah tua, berjambang dan lesu. Watak Sultan pada usia muda dilakonkan kemudian, di mana beliau muncul dengan wajah yang segar dan bersih. Ini antara bukti profesionalisme, komitmen dan kemajuan teknologi industri Bollywood.



Sebahagian daripada plot filem ini berlokasi di Haryana, sebuah negeri yang terletak di utara India. Watak utamanya, Sultan dan Aarfa merupakan Muslim. Terdapat beberapa adegan berhampiran atau di dalam masjid serta sebuah majlis pernikahan dalam budaya Muslim India yang biasa ditonton dalam filem-filem Bollywood. Penonton dari kalangan Muslim Malaysia yang tidak banyak menonton filem Bollywood mungkin akan mudah mempersoal akidah Muslim yang digambarkan dalam filem sebegini kerana ritual penganut Islam yang dipaparkan adalah berbeza dengan ajaran syariah di Malaysia. Semasa BB menjadi viral di Malaysia, saya mendapati ada sesetengah komen netizen meminta agar penonton lain berhati-hati kerana Islam yang digambarkan dalam BB dikatakan syiah atau sesat.

Saya ingin berkongsi pengalaman dan sedikit pengetahuan berkenaan perkara ini (kredit kepada sahabat saya atas perkongsian maklumat ini). Cadangan saya, apabila menonton filem terutama dari negara luar, lapangkan dada dan kepala. Dalam perkataan lain, buka hati dan fikiran. Apa yang dipaparkan dalam sesebuah filem adalah gambaran keadaan dan kehidupan sesuatu bangsa, negara, budaya, dan agama di sana. Ia memberitahu kepada kita bahawa perkara sebegini wujud di atas bumi. Sama ada apa yang dipaparkan itu menepati syariah atau pun tidak, anggaplah itu sebagai peluang untuk kita berfikir dan menambah ilmu. Paling penting, sebagai manusia yang beragama, setiap seorang daripada kita perlu memiliki akidah yang kukuh sebagai benteng pertahanan daripada dipengaruhi ajaran yang tidak sesuai. Dengan akidah yang kuat, tidak kira apa yang kita lihat, dengar atau baca, kita tidak akan mudah terpengaruh.

Sekiranya saya boleh menukar apa yang ada di dalam filem ini mengikut acuan sendiri, saya mahu kemuncak cerita diubah. Menjelang kemuncak, Aarfa melawan arus menyokong Sultan ke perlawanan akhir ketika doktor dan sahabat memberi nasihat agar beliau menarik diri. Saya lebih gembira sekiranya jalan cerita disudahkan secara anti klimaks, iaitu Aarfa sendiri memohon Sultan untuk menarik diri. Plot twist bakal memberi satu pelajaran lain, bahawa perlawanan dalam hidup tidak mesti disudahkan di tengah gelanggang. Sebagai manusia, kita terkadang berhadapan dengan pilihan yang sukar. Mengalah memang bukan pilihan seorang pemenang. Tetapi ada sesuatu yang perlu disampaikan dengan mengalahnya seorang pemenang. Menarik diri demi mengelak risiko kecederaan lebih parah, merendahkan diri untuk menurut permintaan isteri yang pernah dikecewakan, dan mengorbankan impian demi keluarga, adalah pelajaran yang saya harap boleh disampaikan melalui Sultan.


Tetapi pengakhiran sebegitu tidak berlaku. Sultan adalah pemenang. Dan perlu terus menang. Bagi Sultan, mengalah bukan pilihan. Pilihan yang ada hanya dua, menang atau kalah secara terhormat. Sultan berubah dari seorang lelaki berperangai badut kepada seorang ahli gusti tegar dalam tempoh tiga minit title tracknya. Oleh yang demikian, kemenangan sebagai ending sudah dijangka. Menariknya, kemuncak yang stereotaip itu disegarkan melalui monolog Sultan berkenaan pelajaran yang beliau terima dari kisah hidupnya sendiri.

Saya tidak mampu mengingat kesemua tiga perkara yang dipelajari Sultan sewaktu menghampiri gelaran juara Pro-Takedown. Namun yang paling terkesan pada diri saya adalah mesej berikut:

  • "Sekiranya kamu mahu dihormati, kamu harus terlebih dahulu menerima penghinaan". - Falsafah ini sedikit berbeza berbanding yang selalu diajarkan kepada kita iaitu sekiranya kamu mahu dihormati, kamu harus terlebih dahulu menghormati orang lain. Belajar menerima penghinaan mempunyai risiko tersendiri. Adakah dengan menerima penghinaan itu kita belajar untuk tidak menghina orang lain, atau kita akan menghina pula apabila kita telah berada pada kedudukan terhormat? Sultan berubah kerana rasa terhina, kemudian menjadi angkuh setelah menempa kejayaan. Lalu Tuhan menghantar peringatan dengan sedikit ujian hidup, kembali merasa terhina. Hikmahnya, ujian itu membimbing Sultan menghargai sesuatu dengan nilai.
  • "Musuh sebenar adalah diri sendiri." - Betapa seringnya kita berperang dalam diri sendiri ketika memilih, membuat keputusan, mahupun memahami perasaan sendiri. Malah di dalam agama Islam, jihad yang paling tinggi tahapnya adalah jihad melawan hawa nafsu sendiri. Sultan menempa kejayaan atas kecekalannya mengatasi musuh yang disedarinya sebagai diri sendiri iaitu sikap tidak berwawasan (awal cerita), angkuh (pertengahan cerita), dan  kemudian putus semangat.



Banyak lagi pelajaran yang boleh diambil daripada filem ini. Meskipun secara asasnya ia sebuah filem biasa, adanya Ali Abbas Zafar sebagai pengarah dan SK sebagai watak utama membolehkannya sangat berjaya dalam kutipan box office. Kutipan minggu pertama di India sahaja (tidak termasuk luar India) mencecah RM122 juta (2.08 bilion Rupee), yang tertinggi setakat ini, berbanding filem Dhoom 3 yang mengutip RM112 juta bagi tempoh yang sama (sebelum Sultan, Dhoom 3 merupakan filem yang mendapat kutipan paling tinggi bagi tempoh satu minggu).

Sudah tentu Sultan jauh lebih berkualiti berbanding Dilwale. Mungkin tidak seunik dan secantik Bajirao Mastani, tetapi Sultan memenangi nilai moral dan pengajaran. Ia juga mungkin tidak sehebat BB yang menyentap perasaan melalui climax ending, tetapi ia mampu membuat penonton teruja menafsir makna pada pengakhirannya, beberapa saat sebelum tersiarnya perkataan "THE END".