Saturday, April 30, 2016

Ada Apa Dengan Cinta 10

"Cinta bagi aku adalah redha antara satu sama lain", beritahu saya kepada seorang sahabat. Pertanyaan yang diaju lewat media sosial saya jawab secara spontan, laju mengalir namun jujur.

Semalam, genap sepuluh tahun pernikahan saya dan suami. Ucapan tahniah yang pertama seperti biasa datang daripada emak, yang seingat saya belum gagal melakukannya sepanjang sepuluh tahun ini. Saya di pejabat, mengisi sepuluh minit waktu wajib bekerja sebelum bergerak ke kampus universiti bagi menghadiri kelas pasca-siswazah. Dalam kelas yang saya hanya mampu fokus pada sepuluh minit pertama, seorang teman dari Padang Indonesia sempat terjerit kecil apabila saya memberitahu telah membeli tiket tayangan Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) dan bakal menontonnya pada petang hari yang sama, bersempena sambutan ulangtahun pernikahan. Beliau turut tertawa malu apabila saya memicit lengannya yang sedang membelek naskah Tuan Direktur milik saya, memberitahu yang Hamka itu berasal dari kampung halamannya, sedangkan beliau belum pernah membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.


HARI ULANGTAHUN PERNIKAHAN

Saya dan suami bergerak ke Alamanda Putrajaya dengan motosikal, mengharung kehangatan tengah hari. Kesuntukan masa, kami memesan beberapa makanan segera dari kaunter panggung wayang dan bersantap dengan gelojoh di dalam panggung. Tidak ada santapan di bawah cahaya lilin, tidak ada kiriman bunga, tidak ada kad ucapan, tidak ada hadiah, malah sejujurnya tidak ada ucapan selamat ulang tahun perkahwinan di antara satu sama lain. Mujur teringat untuk bergambar sebelum memasuki panggung, dan mujur juga wefie dengan satu kali ketik itu berhasil baik.

Sejak empat tahun kebelakangan, saya perlahan-lahan telah kurang aktif di atas talian. Satu keputusan yang menghadiahkan saya sebuah ketenangan. Namun saya beri pengecualian bersempena hari ulangtahun tersebut. Saya pos gambar berkenaan di ruang Facebook, sesuatu yang tidak saya lakukan secara rutin, tidak pada ulangtahun perkahwinan ke-7, ke-8 mahupun yang ke-9. Tindakan itu, didahului dengan niat untuk meraikan dan jujurnya, sedikit berkehendakkan perhatian.

Puluhan like dan belasan komen bukan sesuatu yang hebat bagi kebanyakan pengguna media sosial. Tetapi bagi saya yang telah memilih untuk pasif, jumlah tersebut umpama 'sesuatu'. Begitupun saya mengingatkan diri, perlakuan seumpama itu menyamai dadah - dalam dos yang terkawal, ia membantu dan merawat. Jika berlebihan, ia mengundang ketagihan, merosak lalu membunuh.


ADA APA DENGAN CINTA 2

Nicholas Saputra muncul di layar. Tidak setampan Rangga dalam mini drama terbitan Line pada 2014, namun lebih realistik. Dian Sastro, matang dan masih jelita. Keduanya kekal dengan kehendak watak yang sama sebagaimana versi 2002. Seorangnya seniman underground, seorang lagi seniwati berkelas. Keduanya unik, tersendiri.

Dari minit ke jam, saya masih dalam sedar penuh. Sedar bahawa saya sedang menonton sebuah filem di panggung, sedar yang hari berkenaan adalah hari Jumaat, 29 April 2016, hari ulang tahun perkahwinan saya dan suami yang ke sepuluh. Kesedaran ini menjelaskan yang saya tidak tenggelam dalam dunia filem, dunia cerita, dunia watak dan perwatakan, dunia Cinta dan Rangga - satu isyarat yang saya tidak akan keluar dari panggung dengan jiwa yang terkesan, atau bakal melara berhari-hari oleh sebuah kepesonaan.



Rangga 2016 adalah seorang pria dengan status yang lebih baik berbanding sebelumnya. Rambutnya kemas meski raut wajahnya sama - seringkali muram. Sebuah watak yang khas, hanya padan dimainkan Nicholas. Kesuraman raut wajah itu adalah pancaran isi hatinya. Sejenak saya terfikir, naskah seni agung sering terlahir dari detik suram dalam hidup seorang seniman. Syarat bagi menjadi ahli seni, seorang perlu berkorban bahagia, menghirup derita, menelan sengsara lalu berhasil mengenyangkan masyarakat.

Kami keluar dari panggung dengan perasaan senang. Kesudahan AADC2, boleh dijangka dan boleh diterima. Meski klise, itu bukan soal kerana penonton hanya mahukan kesudahan hubungan Cinta dan Rangga. Maka sama ada basi atau segar, yang penting adalah jawapan. Penantian itu berakhir dan diperasakan pula dengan jenaka kecil di penghujung.


PERJALANAN

"Aku tau aku cinta bila aku takut kehilangan orang tu." Beritahu saya lagi kepada sahabat tadi.

Jika kami datang dalam kepanasan, perjalanan pulang kami diiringi hujan. Begitulah perkahwinan, berpanas berhujan bersama. Detik yang mungkin tidak dialami pasangan yang tiada keperluan kepada motosikal. Kadang kala ia bukan soal tidak mampu berkereta, tetapi isu-isu kecil seperti kesuntukan masa kerana jika memandu kereta, kami akan bermasalah untuk pulang tepat waktu kerana perlu mengambil anak di sekolah dan rumah pengasuh. Tidak ada bibik, orang tua, atau adik beradik yang boleh ditumpangkan sementara kami berduaan menyambut anniversary. Maka berpeluh panas dan kemudian kebasahan sejuk itu menjadi satu bentuk pengorbanan serta kos yang perlu dibayar untuk empat jam berdua. Berdua ada masanya lebih baik.

"Cinta sampai syurga tu may be applicable kepada anak kepada emak, kepada bapak," tambah saya lagi. Pertanyaan sahabat saya dari awal tadi adalah pandangan saya terhadap petikan kata "cinta sampai syurga" yang sering dipakai dalam status dan kapsyen netizen - love you till jannah.

Menggunakan pengalaman sepuluh tahun pernikahan, saya dengan berani tidak meletak jaminan terhadap terma 'cinta sampai syurga' bagi pasangan suami isteri. Cinta sampai syurga berpinsipkan cinta tanpa syarat. Ia boleh terpakai untuk mengungkap cinta antara ibu bapa-anak-adik beradik. Logiknya, biar apa pun terjadi di antara mereka, air dicincang tidak pernah putus. Tuhan telah mengikat hati mereka umpama saraf yang mesti berhubung untuk tubuh berfungsi. Terputus bererti tubuh tidak akan berfungsi dengan sempurna.

"Bagi aku cinta sampai syurga tu terlalu tinggi... how nak justify?"

Mampukah anda bercinta tanpa syarat dengan pasangan yang halal? Bagaimana jika dikhianati? Curang? Disakiti? Ditinggalkan? Dinodai?

"Cinta bagi aku adalah redha antara satu sama lain. Be it saat manis atau pahit, tak kira betapa tercederanya perasaan, kau redha dan sanggup terus berdoa. Tapi tetap ada batas dalam perkara hak dan had. Selagi mana human-right tu dilunas sewajarnya, yang lain-lain kita boleh give and take. Afterall hidup ni memang takkan sempurna."

Apabila Rangga mengajak Cinta ke Punthuk Setumbu saat hari telah jauh malam, dia juga mengajarkan bahawa spontaneous adalah prinsip pengembaraan, garisan yang membezakan antara pengembara (backpacker) dengan pelancong (tourist). Pelancong mendatangi sebuah tempat dengan itinerari, manakala pengembara penuh dengan kejutan. Lebih penting, pengembaraan tidak menuju destinasi, sebaliknya menuju perjalanan.

Melayari kapal perkahwinan, adalah meletakkan lautan sebagai medan. Rumahnya kapal, yang berlabuh hanya sebagai persinggahan, terkadang sekejap, terkadang lama. Mungkin juga seperti perkhidmatan komuter KTM yang terkadang pantas dan cekap, terkadang rosak di pertengahan, terkadang lewat dan tidak efisien. Prinsipnya, kenderaan itu tidak pernah berhenti untuk bergerak, membentuk satu kitaran berulang dalam hayatnya. Hanya terpulang sama ada perkhidmatannya bertambah baik, mendatar sama, atau semakin buruk. Pengakhiran hanya terjadi apabila munculnya teknologi terkini yang tidak mampu ditambah baik kepada badan kenderaan yang telah tua. Lalu jalan terbaik adalah memberhentikan perkhidmatan dan dikuburkan. Begitulah hakikat rumahtangga. Perkahwinan adalah perjalanan, bukan destinasi.


DUM LAGA KE HAISHA

Ketika netizen tanah air dilanda wabak Dilwale dan Bhajrangi Bhaijaan, saya menonton Dum Laga Ke Haisha di Astro BollyOne HD. Saya rakamkan ke dalam dekoder Beyond dan sempat berkongsi jalan ceritanya dengan sahabat yang tadi (perbualan font biru). Jalan ceritanya ringan tetapi pelajarannya banyak.


Filem ini mengisahkan Prem yang terpaksa mengahwini Sandhya, si gempal yang berpendidikan tinggi. Prem dihimpit perasaan malu dan rendah diri, memikirkan jalan hidupnya yang tidak seindah temannya yang terlihat bahagia bersama isteri yang lebih cantik. Di penghujung filem, Prem dan Sandhya menyertai pertandingan "Dum Lagao", sebuah pertandingan di mana suami perlu memikul isteri di belakang badan dan berlari merempuh halangan. Bukan mudah bagi keduanya kerana Sandhya bertubuh gempal, logiknya berat untuk dipikul. Ironinya kemenangan bukan berfaktorkan ringannya isteri atau kuatnya suami. Kemenangan boleh terhasil daripada kerjasama antara keduanya. Justeru, perkahwinan bukan perlumbaan kecantikan dan kesempurnaan. Pasangan yang mampu berkerjasama dan mengurus dengan betul, itulah pemenang.

Prem tidak berhenti memikul Sandhya di tapak pertandingan sebaliknya terus berlari membawanya ke rumah. Kemenangan perkahwinan mereka tidak dipertontonkan di khalayak, sebaliknya dinikmati bersama, berdua. Mereka meraikan cinta, bukan kejuaraan.


SASTERA

Saya mungkin tidak dihadiahkan sejambak bunga sempena ulangtahun perkahwinan semalam. AADC2 juga tidaklah begitu mempesona. Saya pergi kepanasan, pulang kebasahan. Hanya membawa pulang naskah The Prisoners' Diaries bagi menambah koleksi Goodreads saya yang tidak seberapa.

Hadiah yang sebenar saya peroleh semasa perjalanan pulang, di atas motor, dalam kebasahan. Ia berupa sebuah ilham, percikan semangat, seolah momentum untuk mengembalikan saya kepada sesuatu yang saya paling inginkan - kembali menulis.

Terakhir saya menulis secara peribadi (tanpa keperluan akademik) adalah dua tahun lalu. Tulisan yang saya harapkan sebagai come back, tetapi sayang, berakhir di situ sahaja. Oh Tuhan, kebuntuan apakah yang membelenggu saya? Ke mana perginya bunga-bunga perkataan yang dulunya lancar di hujung jari ini?

Sebagaimana saya perlahan-lahan meninggalkan media sosial, begitu saya menjauhi sastera. Hanya kadang kala saya sempat berkelana melalui biografi atau travelog yang berkualiti. Malah terhadnya bunga bahasa yang boleh saya lakarkan lewat kertas cadangan dan kajian kesusasteraan tidak mampu membawa saya kepada penulisan peribadi. Akal dan jiwa saya seolah terkunci, terperosok sehingga susah dicari. Saya hingga berfikir, sekiranya saya boleh bahagia dengan membaca, maka tak mengapalah kalau saya bersara menulis.

Syukurlah Tuhan tidak mengizinkan.

"Resah di dadaku… 
Dan rahasia yang menanti di jantung puisi ini, 
dipisah kata-kata. 
Begitu pula rindu. 
Lihat tanda tanya itu. 
Jurang antara kebodohan dan keinginanku, 
memilikimu sekali lagi…"

Saya tidak tahu harus berterima kasih yang sebenarnya kepada siapa. Riri Riza atau Aan Mansyur? Terbitnya nukilan ini adalah hadiah ulangtahun perkawinan buat diri saya sendiri. Setidaknya boleh menjadi sebuah titipan sejarah hari esok. Antara cinta dan redha, AADC2 dan Dum Laga Ke Haisha, pengembara dan perjalanan, saya menyiapkan diri untuk menempuh berpuluh anniversary lagi.

Dengan izin Tuhan.



Jangan takut menghadapi cinta. Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah yang menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta. Jika hatimu diberiNya nikmat pula dengan cinta sebagaimana hatiku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut Tuhan kembali. Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain. Kalau dia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi - Tenggelamnya Kapal van der Wijck.


No comments:

Post a Comment